Putera Saudi mana yang pemurah itu?

SUBKY LATIF | .

SEKARANG semua hampir tahu orang yang memberi derma 2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib.
     
Ia disebutkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohammad Afandi Ali ketika dia membersihkan kononnya PM Najib tidak rasuah dan tidak melakukan jenayah. Bahkan hampir semua yang dikatakan derma itu telah dipulangkannya kepada penderma.
     
Penderma itu ialah seorang Putera Raja Saudi. Tetapi tidak pula didedahkan nama anak raja Arab yang amat pemurah itu dan apakah yang membuatnya putera raja itu sudi memberi derma yang begitu banyak?
    
Sekarang orang hendak tahu siapa anak raja Saudi itu jika benar cerita itu?
    
Jika benar putera raja itu ada, bagamana dia boleh terbuka hati untuk memberi duit yang begitu banyak kepada Najib? Bukan sejuta dua. 2.6 bilion.
    
Mungkin putera itu ada dia betul dia memberi 2.6 bilion kononnya Najib merlukan duit bagi menghadapi pilihan raya.
    
Macam mana anak raja itu tahu Najib memerlukan derma yang besar dan bagaimana boleh memberi 2.6 bilion? Mengapa tidak satu bilion atau mengapa tidak dua bilion? Atau mengapa tidak setengah bilion?
     
Atau siapa yang mencadangkan 2.6 bilion itu?
    
Atau ada Najib yang menyuarakannya dan menyebut jumlah yanag dimintanya? Atau kakinya yang menyampaikan maksud Najib itu kepada anak raja?
     
Atau percayakah kita Najib tidak pernah menyebutkannya. Adakah anak raja itu sendiri sengaja hendak menderma sedang Najib tidak pernah meminta?
    
Ada yang menyangka bahawa Kandasamy, orang nombor satu 1MDB sekarang berbin Abdullah, sebelumnya bertugas dengan kerabat diraja sebuah negara di Teluk. Dialah yang diagak menghubungkan Najib dengan keluarga diraja yang pemurah itu. Wallah wa’lam.
       
Tentang duit, Najib bukanlah orang yang tidak suka banyak duit. Dia dengan duit samalah dengan semut dengan gula. Semut boleh mati kerana gula, tapi Najib tak tentu boleh mati kerana duit, tetapi dia suka duit.
     
Jika dia mahu duit sebesar itu, adakah dia hendak minta saja? Tiada orang siuman boleh memberi duit percuma sebesar itu, melainkan ada yang tidak betul pada orang banyak duit itu. Yang biasa orang buat ialah meminjam. Orang Islam yang kuat iman, tidak ambil bunga dari duit yang dipinjamkan.
     
Tetapi  duit itu bukan hutang. Ia derma. Tak perlu bayar balik. Suatu yang tak terfikir oleh sesiapa pun ada dalam dunia orang senang memberi derma begitu banyak dan orang tak terfikir mcam mana Najib boleh dapat derma begitu banyak dari seseorang. Ia adalah benda yanag tak masuk akal, kejadian itu boleh berlaku.
     
Apa yang menarik sangat putera itu pada Najib hingga memberi derma sebesar itu?  Derma 2.6 bilion itu tentulah kecil dibandingkan dengan duitnya yang ada. Orang tidak derma begitu banyak kiranya duitnya tidak banyak. Macam mana Najib boleh jumpa orang itu dan orang itu boleh terbuka hati pada Najib?
     
Kemudian, sesudah duit begitu banyak dalam akaun banknya. Untuk pilihan raya, dia pulangkan balik duit itu hampir kesemuanya. Gilakah dia tolak derma itu? Tak gilakah anak raja Arab duit yang didermanya dipulangkan balik?
     
Najib selalunya suka duit. Ada juga masanya dia tak mahu duit.
     
Derma itu untuk pilihan raya. Sudah dapat duit percuma dipulangkan balik. Payah hendak percaya hal macam itu boleh terjadi.
    
Apakah yang boleh dipercaya dalam kes yang dikatakan derma itu? Siapa yang dapat dipercayai? – HARAKAHDAILY 5/2/2016

Share on Myspace