Umno Kedah sama saja, TV warna, TV hitam putih

SUBKY LATIF | .

KATA seorang Umno lama Kedah yang mentakwil kebijaksanaan Datuk Mukhriz mendakwa istana persoal geng Umno yang mahu menggulingnya:
     
Orang (Umno) sekarang sudah cerdik, pandai membeza TV hitam putih dengan TV berwarna, tak mudah telan bulat-bulat apa pemimpin kata.
     
Begitulah sepatutnya, ada perbezaan antara Umno zaman TV hitam putih dengan zaman TV berwarna, tidak mudah terima saja apa yang pemimpin kata. Zaman TV hitam putih tidak ramai orang Umno lulus universiti. Zaman TV berwarna ini mulai tidak ramai yang tidak masuk universiti. Sikap, pandangan dan cara berfikir pun sepatutnya berbeza.
     
Tetapi ia sebenarnya teori atau semata-mata sangkaan. Tak mudah dengar cakap pemimpin ada dalam semua zaman dan mudah dengar cakap pemimpin ada dalam semua zaman.
    
Sejak generasi kedua manusia, Qabil bin Adam tidak mudah dengar cakap bapanya. Adiknya Habil dengar apa bapanya kata. Zaman Firaun semuanya percaya dakwaan Firaun, dia adalah tuhan. Zaman jahiliyah Quraisy semua percaya apa Muhammad kata, tapi Abu Lahab dan Abu Jahal bukan sekadar tidak mudah dengar apa baginda kata, bahkan tak terima apa yang baginda kata.
     
Mungkin benar bagi rakyat Malaysia pada zaman TV berwarna ini, sudah ramai yang tidak mudah telan saja apa pemimpin kata, tidak sama seperti zaman TV hitam putih malah sebelum ada TV. Buktinya sikit-sikit demonstrasi sampai ratusan ribu. Tetapi bagi Umno sama saja bertivi hitam putih, TV warna dan tak bertivi rata-rata telan saja apa pemimpin kata seolah-olah ia sabda.
     
Umno Kedah tak mudah telan apa yang Mukhriz kata saja, tetapi telan apa yang PM Najib kata. Kadang-kadang tak sempat berkata, sekadar kerdip mata saja. Telan dan tak luah lagi.
     
Mereka tidak telan cakap Mukhriz kerana Mukhriz sekadar pemimpin di Kedah dan tidak disenangi oleh Najib. Kalau Mukhriz disenangi Najib, air liur Mukhriz pun mereka telan. Datuk Sri Bashah Hanipah yang setianya pada Najib mengalahkan setia Hang Tuah pada rajanya, semua Ketua Bahagian Umno Kedah telan cakapnya.
    
TV hitam putih sudah tidak ada. Mereka telan cakap Bashah kerana Bashah telan cakap Najib. Asal yang dinamakan Umno baik TV berwarna atau tidak, kebanyakannya telan cakap pemimpin  sekalipun ia pahit.
    
Jika yang bercakap dia tidak mudah terima bulat cakap pemimpin adalah betul bagi Umno Dr. Mahathir. Dia tidak mudah terima semua cakap Tunku. Ada yang diterima dan ada yang tidak. Sebagai pemimpin kecil Umno di Kedah di zaman TV hitam putih dulu, Umno Kedah tidak terima semua cakap Mahathir. Sebab dia pemimpin kecil dan tak terima semua cakap Tunku.
     
Tetapi apabila Mahathir jadi pemimpin besar Umno, TV berwana sudah ada, muntah Mahathir pun berebut menelannya.
    
Saya dengar pemimpin veteran Umno bercakap di TV berwarna, Mereka akui Dr. Mahathir di zamannya juga ada membuat silap, tetapi mereka pertahankan kesilapannya. Mereka akui Najib ada silap dan kelemahan, mereka bukan sekadar pertahankan kesilapan Najib, tetapi mahu Dr. Mahathir sama pertahankan Najib sama seperti mereka pertahankan Mahahir dulu.
    
Kalau Tunku yang memberi peluang kepadanya jadi wakil rakyat Mahathir tak terima semua cakapnya, masakan dia boleh telan yang tidak betul dari Najib.
    
Tak kiraTV hitam putih atau tidak, jika Mukhriz 10 tahun lagi jadi pemimpin besar Umno, depa kulum apa ada di mulutnya. – HARAKAHDAILY 5/2/2016

Share on Myspace