Kesabaran Sultan Kedah selalu terganggu

SUBKY LATIF | .

SETAKAT yang dilihat dari jauh Sultan Kedah yang berusia 88 tahun itu adalah Raja yang tidak banyak mengganggu kerajaan dan tiada tindakan baginda yang menyusahkan kerajaan dan Menteri Besarnya.
     
Tetapi sepanjang persemayaman baginda yang panjang itu sering kesabaran baginda teruji oleh perkembangan politik sekitar Menteri Besarnya.
     
Tidak ada Sultan sekarang bermenteri-besarkan semua Menteri Besar di negeri masing-masing sejak merdeka. Kecuali Sultan Kedah. Sejak Menteri Besar merdeka yang pertamanya selepas PRU 1959, Datuk Syed Omar Shahbudin hinggalah Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz yang dibuang oleh partinya, sekaliannya bersultankan baginda.
     
Setelah sekalian mereka diperkenan baginda, maka terserah penuh kepada mereka mentadbir negeri secara adil dan demokrasi dan baginda dikira Raja yang tidak terikat dengan kemahuan politik sekalian Menteri Besarnya.
     
Tiada mudah negeri yang politik menguasai semua meanugerah datuk kepada pembangkang. Sultan Kedah anugerah Datuk kepada Ustaz Fadzil Noor. Ustaz Fadzil mulanya tidak bersedia. Tahun berikutnya baginda menyasarkan sekali lagi.
     
Ujian kesabaran bainda dalam pemerintahannya ialah peristiwa pembunuhan Memali. Kerajaan atas pandangan Majlis Agama mengira kumpulan Ibrahim Libya bughah iaitu penderhaka. Tetapi baginda menziarahi pusara Ibrahim dan 13 lagi rakannya.
    
Ketika semua orang politik Kedah menyetujui Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman menghalalkan wang loteri bagi kegunaan institusi keagamaan, baginda dikatakan ada pendirian lain.
    
Demikian Sultan yang dua orang dari negeri itu menjadi Perdana Menteri, tetapi baginda tidak terkongkong dengan kerenah politik orang-orang yang memerintah.
    
Tetapi baginda adalah yang sentiasa dirundung berdepan ujian yang kesabarannya menghadapi pergolakan politik menukar Menteri Besar dalam masa pentadbiran masing-masing.
    
Negerinya tidak kaya tetapi orang politiknya berebut kuasa. Sejak baginda di peringkat dewasa baginda sudah berjumpa Umno yang berkuasa itu menukar Menteri Besar bermula dengan Datuk Syed Nahar. Beliau tidak dapat menghabiskan penggal terakhirnya terpaksa memberi laluan kepada Tan Sri Osman Arof.
     
Sesudah berpengalaman lama sebagai Menteri Besar, baginda berdepan pula gerakan menggulingkan Tan Sri Osman Arof. Tidak lama penggantinya Tan Sri Sanusi Junid jadi Menteri Besar, majoriti Adun Umno menemui Perdana Menteri Dr. Mahathir menggantikan anak emasnya Tan Sri Sanusi.
    
Sekali lagi bainda terpaksa memperkenankan Menteri Besarnya berhenti di tengah tempoh dan penggal yang belum tamat.
     
Datuk Seri Syed Razak yang menggantikan Sanusi Junid juga berhenti di tengah penggal tetapi bukan kerana digulingkan, kerana uzur yang tidak upaya menjalankan tugas.
     
Sesudah Umno dikalahkan dan Sultan pun menjangkau usia 88 tahun, sepatutnya baginda tidak menghadapi kerenah guling-mengguling Menteri Besarnya. Baginda terpaksa bertemu lagi dengan kerenah politik itu.
     
Ujian politik itu tidak setakat dalam pemerintahan Umno. Dalam pentadbiran PAS pun ada juga orang yang hendak menggulingkan Menteri Besar Tan sri Azizan Razak. Tak sempat krisis Ustaz Azizan sampai kepada istana. Pimpinan PAS tidak setuju cubaan mencabar Menteri Besarnya.
    
Tetapi yang mengganggui kesabaran Sultan tentang usaha menggulingkan Mukhriz dimulai oleh orang atas. Orang bawah dalam Umno Kedah itu ikut mabuk dilambong ombak.
    
Sepatutnya dalam usia Sultan sekarang baginda tidak diganggu lagi oleh perebutan kuasa. – HARAKAHDAILY 8/2/2016

Share on Myspace