Apa yang boleh dipercayai?

SUBKY LATIF | .

TERLALU banyak cakap-cakap dan berita yang tidak diketahui betul dan tidak betulnya. Tabung Haji kata tanah yang dibeli dari 1MDB sudah ada pembeli dengan ia dapat untung besar. Peguam Negara yang dulu diberhentikan 24 jam kerana sakit. Peguam Negara yang baru kata Perdana Menteri bersih dari hal derma RM2.6 bilion dalam akaun banknya.
    
PM kata duit RM2.6 bilion dalam akaun banknya derma dari keluarga istana Saudi. Berita dari Saudi kata ia bukan derma tapi pelaburan. MB Ahmad Bashah kata pejamnya bukan tidur tapi menghayati apa orang sedang cakap. Dua tahun Mukhriz jadi MB tak lulus. Sehari Bashah jadi MB sudah lulus.
    
Datuk Seri Anwar Ibrahim dua kali dipenjara kerana dituduh meliwat. Betulkah?
    
Orang yang dihukum mati kerana membunuh Altantuya yang lepas ke Australia kata, ada orang nak jatuhkan PM. PM kata GST untungkan negara dan TPPA akan mengkayakan rakyat dan negara. Dan macam-macam lagi yang kita tak tahu betulkah atau tidak betulkah.  
     
Kepercayaannya banyak orang payah percaya yang dicakapkan itu betul. Dan payah hendak mencari apa yang betul dengan segala yang dicakapkan itu. Bertuahlah apa yang dijanji dalam bajet itu betul dan mengutamakan rakyat itu betul.
    
Apabila yang dicakap itu dirasakan tidak betul, maka ia adalah bohong, temberang dan kelentong. Buruk padahnya yang tidak betul dikata betul dan yang tidak betul dikata betul.
     
Yang berkata benar biasanya berdepan ujian, hidupnya pahit dan digetik orang. Yang bercakap tidak benar, nampak disenangi di dunia.
     
Apa pun bercakap benarlah sekalipun teruja dan teruji dan hina di dunia dan akhirat jika suka temberang.
    
Saya terbaca tafsir ayat 118 surah at-Taubah oleh Ibnu Kasir dan Hamka. Kisah tiga orang sahabat, Kaab bin Malik, Hilal bin Umaira dan Mararah bin ar-Rabi’. Mereka tertinggal dalam Perang Tabuk. Mereka baru balik dari satu peperangan, tiba-tiba Rasulullah SAW mengajak Mujahidin berangkat ke Tabuk yang jauh dari Madinah dan panas terik.
     
Baginda tidak umumkan perang yang dihadapinya tapi perang Tabuk diumum supaya semua membuat persediaan.
     
Kaab tidak pernah tercicir dalam semua perang bersama Rasulullah. Untuk Tabuk itu dia sudah mmbuat persediaan. Dia ada dua kuda. Biasanya seekor saja. Ketika orang berangkat, ketiganya tidak berangkat. Mereka hendak pergi kemudian. Tidak pernah mereka tidak mahu serta, tetapi  bertangguh hingga tidak pergi langsung.
    
Mereka menyesal kerana tertinggal sedang rintangannya tidak ada. Semata-mata lalai. Mereka terpaksa menjawab mengapa mereka tidak serta. Ia suatu yang lebih payah daripada menyertai perang itu.
    
Mereka bercadang untuk memberi alasan kepada Nabi. Tetapi takut bohong menambah beban tidak ikut ke Tabuk. Apabila baginda balik ke Madinah, 80 orang yang tidak serta berdalih itu dan ini, baginda terima alasan yang diberi.
     
Kaab dan rakannya takut berbohong kepada Allah dan Rasul lalu mengaku mereka tiada sebab tidak pergi melainkan lalai. Mereka nyatakan jujurnya. Baginda tidak bebaskan mereka tapi serahkan kepada Allah. Tetapi baginda layan mereka dan semua orang tidak mahu bercakap dengan mereka.
    
Pemulauan itu lebih menyesakkan. Dua kawannya siang malam dirundung pilu di rumah. Kaab ke masjid. Nabi tak mahu lihat mukanya dan semuanya tidak bercakap dengannya. Setelah 50 hari terseksa turun ayat ini memaklumkan mereka diterima taubat.

Mereka diampun justeru jujur tidak mahu berbohong. Kesalahannya cuma lalai. Kerana jujurnya mereka dihukum 50 hari tetapi Allah rakamkan dalam Quran tentang kemulian dan kejujuran mereka.
    
80 yang berdalih tidak diketahui balasannya di akhirat.
    
Dan orang-orang yang lebih banyak bohong dari benar di tengah kita, nak jadi apa kemudian hari nanti? – HARAKAHDAILY 11/2/2016

Share on Myspace