Usaha Azmin satu lawan satu terancam

SUBKY LATIF | .

USAHA Azmin Ali bagi mengekalkan strategi PRU13 satu lawan satu adalah satu pandangan yang betul yang wajar dikongsi oleh semua parti pembangkang.
     
Sekalipun PAS sudah terkeluar daripada muafakat besar pembangkang, usaha Azmin patut disokong seboleh-bolehnya. Jika ia tidak dapat dipenuhi, jadikanlah ia strategi terakhir setelah semua ikhtiar melalui jalan mati.
     
Dalam semua masa PAS jangan jadi pihak yang memecahkan strategi satu lawan satu itu! Ia adalah strategi yang terbaik.
     
Elakkan dalam tempoh Azmin hendak memastikan strategi itu diterus kita menempelaknya.
     
Nampaknya usaha Azmin itu mulai menempuh jalan sukar. Sekutu baru pembangkang itu, untuk negeri Selangor saja nekad untuk menentang di mana saja PAS bertanding baik DUN mahupun Parlimen.
     
Sebagai parti politik yang ada maruah PAS sekurang-kurangnya akan mempertahankan status PRU13 dulu ia tidak puas hati pembahagian itu dulu. Dengan ia secara teknikalnya tidak lagi terikat dengan pakatan dulu, tetapi hubungannya dengan PKR atas nama Pakatan Rakyat memberi ruang berunding atas apa yang boleh dan praktikal dalam semua pilihan raya menjelang PRU 14.
     
Jika ia hendak bertanding lebih daripada yang lalu maka ia perlu dirunding hingga saat terakhir. Jangan tutup pintu perundingan. Jika sekalipun PAS hendak bertanding di kawasan DAP ia juga mesti dimaklumkan secara baik dan dapat difahami oleh DAP.
     
Pada masa ini PAS hanya tiada tahaluf dengan DAP tetapi tidak bererti persefahaman pilihan raya tidak dapat dibuat. Jika PAS terpaksa bertanding dengan DAP, bukan dibuat atas tentangannya kepada DAP tetapi ia suatu yang tidak dapat dielak.
    
Apapun satu lawan satu adalah strategi yang ideal yang wajar diraikan.
    
Setakat ini strategi itu mulai sukar dicapai memandangkan ada parti yang hendak mengambil kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat dulu termasuk kawasan yang ditanding PAS.
    
PAS tidak boleh halang calonnya ditentang oleh pembangkang yang lain. Tetapi strategi PAS ialah kekal dalam kawasan yang ditandingnya dulu dan mahu berunding di beberapa kawasan lagi. Sekalipun PAS mahu kawasan tambahan tetapi tetap menyokong pertandingan satu lawan satu.
     
Tiada peraturan pembangkang tidak boleh bertembung dengan PAS di mana-mana. Ini berlaku, ia adalah ancaman kepada strategi yang Azmin sedang usahakan.
    
Jika PAS terpaksa menghadapi pertandingan tiga penjuru, bukan ia yang menggagalkan usaha Azmin, tetapi usaha Azmin itu dicabar oleh sekutu baru dalam perkongsian politik barunya.
    
Apakah usaha Azmin itu akan berjaya banyak bergantung kepada sikap anti PAS dalam kalangan parti pembangkang. Bukan masalah PAS jika pembangkang penuh dengan anti PAS. PAS mengambil bahagian dalam politik untuk memperjuangkan politik dan pemerintahan berasaskan Islam.
    
Ia telah ada sebelum adanya parti-parti pembangkang yang lain. PAS tidak pernah halang kewujudan lain-lain parti termasuk tidak menghalangnya untuk meletak calon di tempat PAS bertanding.
    
Pada masa ini PAS tetap merasakan PKR diperlukan. Maka pandangan dan politik PKR wajar diraikan, termasuk dalan stretegi satu lawan satu. Tetapi kalau pembangkang mengira satu lawan satu tidak termasuk kawasan yang ditanding PAS, maka PAS wajar mengambil sikap yang terbuka, bertanding di mana patut.
     
Jika satu lawan satu tidak berlaku bukan disebabkan oleh kemahuan PAS, tetap ia natijah daripada politik anti. – HARAKAHDAILY 15/2/2016

Share on Myspace