Najib tak cukup masa untuk tadbir Kedah

SUBKY LATIF | .

ISYARAT tentang wibawa Menteri Besar baru Kedah untuk mentadbir negeri mendatangkan tanya apakah ia ditadbir dari Alor Setar atau dari Putrajaya?
     
Ketika MB itu ditanya wartawan tentang pembentukan exconya, dia kira-kira menjawab, menunggu isyarat daripada Perdana Menteri sebagai Presiden Umno. Mungkin dari segi adab dia boleh minta pengesahan Datuk Seri Najib tetapi jangan tunjukkan sangat kepada umum dia tiada kebebasan untuk membentuk sendiri kabinetnya dan kemudian minta komen daripada ketuanya itu.
     
Kerajaan negeri sekalipun daripada parti yang sama dengan kerajaan pusat, mengikut perjanjian persekutuan, negeri ada wibawa dan kebebasan sendiri yang tidak terikat pada arahan pusat.
     
Dia hendak dijadikan Menteri Besar bukanlah bermula dari meletupkan bom pada hari sidang media 30 Janauri lalu.
     
Najib sudah lama hendak membuang Mukhriz. Dia telah mengirim sekutu lamanya Tan Sri Ab. Rahim Tamby Chik untuk membayangkan perkara itu kepada Tun Dr. Mahathir dengan membawanya ke kerajaan pusat dan MB Kedah diserahkan kepada orang lain.
     
Najib tentu telah memberi isyarat kepada Datuk Seri Ahmad Bashah tentang cadangan mengeluarkan Mukhriz daripada Kedah. Tidak sekadar dia disuruh mengadakan sidang akhbar nyatakan apa hendak dibuat, tetapi tentulah ada isyarat supaya menggantikan Mukhriz. Kalau pun Najib tidak sebut dia jadi ganti, tetap sebagai orang parti paling kanan di Kedah selepas Mukhriz adalah dia sendiri. Maka dia patut angan-angankan jadi MB dan memikirkan barisan exconya.
     
Pada ketika dia dinamakan jadi MB, barisan exco itu jika pun tidak dipenuhkan tetapi 80 peratus sudah ada. Apabila pemberita tanya jangan sebut tunggu apa Najib mahu tapi katakan dalam penyusunan terakhir.
     
Jangan tunjukkan sangat kepada dunia, Kedah di bawahnya ditadbir oleh Najib, walaupun mungkin begitu yang Najib mahu. Najib sudah tentu hendakkan MB yang paling setia, tetapi bukan MB menunggu arahan Najib seperti Malaikat tunggu arahan Allah.
     
Alam manusia tidak sama dengan alam malaikat. Manusia ada otak dan kebebasan memikir tindakan yang patut dibuat supaya kuasa itu tidak berpusat atas satu orang. Malaikat tidak diberi wibawa itu. Sekalipun tugasnya sudah ditentukan tetapi untuk menjalankan tugas tertentu itu mesti tunggu suruhan Allah dulu.
    
Ahmad Bashah dengan Najib bukanlah seperti Malaikat terhadap Allah. Ahmad Bashah mesti membantu Najib meringankan kerjanya yang terhingga banyaknya sekarang. Terlalu banyak perkara di luar keupayaannya hendak diputuskan.
    
Jangan jadikan Najib seperti monyet dengan semangkuk guli kaca. Ia cuba genggam sebanyak-banyak guli dengan dua tanggan. Dua genggamnya sudah penuh guli. Ia cuba ambil lagi guli dalam mangkuk. Apabila ia hendak ambil lagi guli, guli yang digenggam terlepas.
     
Bashah buat dulu seperti lain-lain Menteri Besar buat. Jangan tambah kerjanya yang sudah berlebih itu.
    
Akhirnya apabila wartawan tanya Najib tentang barisn exco Kedah kerana Bashah menunggu kemahuannya, Najib kata, serah pada Bashah menyusunnya. Bashah mesti tunjukkan dirinya jauh lebih berguna daripada Mukhriz.

Jangan tunggu Najib suruh buat itu dan buat ini. Najib jangan jadikan MB seperti budak pejabat. Dan MB sendiri kena faham dia bukan budak pejabat tetapi adalah pentadbir negerinya. – HARAKAHDAILY 16/2/2016

Share on Myspace