Mencari ganti Zeti di bank negara

SUBKY LATIF | .

KITA sekarang sedang mencari siapakah yang akan menggantikan Tan Sri Dr. Zeti sebagai Gabenor Bank Negara yang baharu?
      
Perkhidmatannya akan tamat April ini. Boleh disambung tetapi beliau tidak mahu lagi dan kalau mahupun kemungkinannya tidak akan disambung.
      
Rakyat prihatin mahu gantinya ialah sama tegas dan sama wibawa dengannya. Dia tahu kerjanya dan dia tidak mahu orang luar suruh buat apa yang mesti dibuatnya.
     
Selepas Gabenor yang pertama, Almarhum Tun Ismail Ali, telah ada beberapa gabenor sebelum Dr. Zeti. Tetapi Dr. Zetilah yang terbilang dan dihormati di persada dunia.
     
Bank Negara ada Timbalan Gabenornya tetapi seingatnya belum ada yang jadi Gabenor. Zeti saja dari warga bank itu yang jadi Gabenor. Tentu ada yang kanan bersamanya, tetapi mengapa dia dipilih sedang dia orang perempuan? Ada tanyaan.
     
Mungkin orang perempuan senang disuruh dan diacu. Tetapi dia tidak mudah ikut apa orang luar mahu dan dia mengikut acuan yang ditetapkan oleh bank pusat. Dasar sudah ditetapkan dan gabenorlah yang wajar mentafsir dan mentadbirkan dasar itu.
     
Zeti berwasiat gantinya biarlah bukan orang politik, bukan seperti ganti Peguam Negara dan buka jadi seperti Pengerusi Tabung Haji. Satu wasiat yang ada 1001 pesanan yang tersirat.
     
Jika ganti yang tidak tepat jadi Zimbabwe negara anggota TPPA itu.
     
Tidak salah orang politik jadi Gabenor Bank. Tetapi biarlah dia seorang politik yang bermaruah. Nabi Yusuf di samping seorang Rasul adalah orang berotak politik. Politiknya yang bermaruah menyelamatkan Mesir purba daripada ancaman ekonomi dan kebuluran.
     
Kita ada orang politik yang tidak dicucuk hidungnya seperti Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam. Jika orang politik seperti ini ada maruah dan kelas, mereka tidak jadi orang politik yang hidung dicucuk.
     
Masyarakat umum adalah berkongsi husnuzzan dengan Zeti kemungkinan Gabenor yang baru itu nanti adalah dari spesies yang hidungnya dicucuk. Semuanya, dalam dan luar negeri, amat syak kerajaan Malaysia mahukan seorang gabenor yang hidungnya dicucuk.
     
Persepsi umum sekira tiga dasawarsa ini kita ada Peguam Negara yang ditambat lehernya. Apabila ada tanda-tanda dia hendak melepaskan leher dari tambatan, cepat-cepat dia digantikan.

Semua jabatan profesional berketuakan orang yang tengkuk berkalung besi berkaran. Bila-bila kalung itu akan disambar karan. Yang tidak ada kalung itu pada masa ini ialah Gabenor Bank Negara dan  Ketua Pesuruhjaya SPRM. Suhakam juga tiada kalung besi itu.
     
Sebelumnya Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara tidak pakai kalung itu. Dia dijadikan menteri dan gantinya diserahkan kalung itu tetapi tidak pasti dipakainya atau tidak. Apa pun PAC sekarang dirasakan tidak sama dengan yang sebelumnya.
    
Kini kita menunggu Gabenor baru Bank Negara. Mungkin hidungnya tidak dicucuk. Tetapi orang tidak percaya. Yang pertama yang patut dia buat, buktikan hidungnya tidak dicucuk. Inilah cabaran besar bagi ganti Dr. Zeti. Dia bukan abdi tetapi adalah Gabenor yang ada wibawa dan kemerdekaan diri.
     
Selepas merantai besi leher Gabenor baru, tidak mustahil rantai besi itu dihantar pula ke SPRM justeru Tan Sri Abu Kassim pun uzur dan membilang minggu saja untuk menamatkan perkhidmatan.
    
Oh Malaysia Tanah Airku! – HARAKAHDAILY 24/2/2016

Share on Myspace