Wartawan juga diajar sorokkan kebenaran

SUBKY LATIF | .

SAYA ikuti Forum Perdana TV1 dari kediaman Menteri Besar Perak.

Panelis ditanya tentang pesanan Islam kepada orang-orang beriman, apabila datang berita daripada orang fasik, hendaklah diteliti kesahihannya. Cara mana hendak mengesannya ia palsu atau tidak dan apa cara untuk menyekat perkhabaran palsu itu?
     
Moderator menyerahkan kepada Prof. Madya Dr. Sharifah Hayati Syed Ismail untuk menjelaskannya. Beliau telah menjelaskan maksud dan huraian tentang pesanan dan menerangkan ciri-ciri orang fasik itu tetapi kita tidak dapat penjelasan bagaimana hendak mengenal maklumat itu benar atau palsu dan apa keupayaan kita bagi menyekat penyebaran berita palsu.
     
Semua ulama telah menguraikan maksud pesanan dan orang Islam umumnya alim akan perkara itu tetapi perkhabaran palsu dan tersebar setiap saat dan minit. Orang Islam termasuk yang berilmu pun kadang-kadang terlibat dalam penyebarannya.
    
Berita palsu adalah sebahagian daripada kehidupan manusia sekarang termasuk orang Islam yang ada sedikit sebanyak iman dan ia tidak dapat disekat gara-gara dunia kini penuh dengan kemudahan teknologi. Semua ruang lingkup antara isi bumi dan langit memberi ruang kepada sumber dan tersebarnya maklumat, yang palsu seolah-olah mengalahkan yang benar.
     
Radio, TV, media cetak dan media maya mendedahkan semua dengan perkara palsu. Ia tersekat sama seperti sukarnya menyekat hasutan iblis. Kita tak nampak dia. Dia ada hingga ke dalam perut dan saluran darah kita. Bagi menjauhkan gangguan iblis orang beriman disuruh jangan lupa baca A’uzubillahi Minasyaithoni rajim. Kemudian mantapkan iman dengan ingatkan Allah setiap ketika. Sedetik saja terlupakan Allah, maka jadilah dia ingatkan iblis.
      
Orang fasik ada di tengah orang Islam. Dia adalah orang Islam yang jahat. Kita payah hendak memisahkan diri daripada orang fasik. Di kiri kanan ada orang fasik.
     
Amat payah bagi orang biasa utuk mengenali orang fasik dan berita palsu kecuali seseorang itu dilengkapkan dengan segala ilmu pengetahuan. Orang Islam mestilah di isi dadanya dengan semua cabang ilmu supaya dia kenal dengan ilmu apa yang betul dan tidak betul. Ahli hadis mudah faham hadis yang didengarnya sahih atau dhaif.
     
Orang tak tahu undang-undang percaya semua hujah para peguam, tetapi hakim tahu ia ada hujah atau loyar buruk. Wartawan diajar tentang mana berita yang boleh percayai atau tidak. Tetapi wartawan juga diajar bagaimana hendak menyorokkan kebenaran.
     
Masyarakat bukan Islam di negara maju tak kenal Islam, tak tahu kisah fasik dan tidak fasik. Bagi memungkinkan mereka tahu apa yang benar dan apa yang propaganda, maka mereka benarkan siapa saja memilik media dan media yang banyak itu akan melakukan siasat dan imbang yang memungkinkan pembaca tahu yang mana benar dan palsu.
      
Apabila kita dengar Dr. Maza cakap, kita rasa dia betul. Dengar pula Ustaz Zamihan, kita rasa dia betul. Tetapi apabila kita ada ilmu yang cukup kita tahu siapa lebih betul
   
Undang-undang dan denda tidak mampu menyekat kebanjiran berita palsu. Semua harta dan kelengkapan diguna unuk menyekat berita palsu, ia tak tersekat. Tetapi jika semua rakyat bebas daripada kejahilan berita palsu tidak laku sekalipun ia memenuhi ruang lingkup antara bumi dan langit. Berita palsu hanya akan tersebar dalam kalangan masyarakat yang jahil dan jahiliyah. – HARAKAHDAILY 25/2/2016

Share on Myspace