Semua benci penipu

SUBKY LATIF | .

MENGENANG 40 TAHUN Perdana Menteri Najib dalam politik, maka kita semua diberitahu dalam satu media oleh Setiausaha Politiknya, Mohamad Fatmi Che Salleh, perkara yang paling tidak disukainya ialah orang yang menipu.
     
Benci kepada orang yang menipu adalah sifat yang baik dan ia bukan dibenci oleh Perdana Menteri saja jika apa yang setiausaha politiknya kata itu tidak tipu kita, ia adalah dibenci oleh semua.
    
Menipu itu adalah satu daripada ciri-ciri orang munafik dan orang munafik adalah dibenci Allah.
    
Orang munafik bukan sekadar tipu orang lain, bahkan dia tipu Allah. Dan Allah terangkan, malah dia tipu dirinya sendiri.
    
Kata Mohamad Fatmi, Perkara yang paling tidak disukainya (PM Najib) ialah orang yang menipu. Dia mahu semua orang jujur jika ada masalah agar ia boleh diatasi, kerana jika menipu masalah itu gagal diselesaikan.
     
Reaksi pertama saya terhadap penjelasan Setpol itu ialah, jangan dia tipu semua tentang PM itu sudahlah. Moga-moga dia berkata dari apa yang dia tahu tentang dan daripada pengamatannya. Jangan dia kata begitu kerana orang suruh dia kata begitu.
    
Dan jangan katanya itu jadi sebahagian daripada strategi Perdana Menteri menghadapi suasana secara umum kepercayaan orang kepadanya sebagai Perdana Menteri sangat rendah.
    
Percayakah orang akan apa yang Fatmi kata itu?
    
Dunia amat ajaib jika orang percaya kepadanya. Kita bimbang Najib pun mungkin tidak percaya semua apa yang Fatmi  kata. Kalau percaya pun sikit, tapi banyak yang tidak percaya.
    
Semasa Dr. Mahahir sebelum jadi Perdana Menteri, semasa Tun Abdullah Badawi belum masuk politik, dia pernah mengakui dia pernah berbohong. Saya kira dia jujur dan berani mengaku kelemahannya. Dia akui hal itu, pada sangkaan saya, dia tidak mahu lagi berbuat demikian.
    
Saya mahu mengatakan dia jujur memberitahu itu dan dia juga jujur atas niat tidak mahu mengulanginya lagi. Sekalipun dia betul-betul jujur, saya payah melupakan pengakuannya dia pernah berbohong, maka saya tertanya-tanya kemudian, bagaimana dia mungkin tidak berbohong lagi dan yang mana-mana pula kata-katanya tidak bohong dan yang mana pula bohong.
    
Mungkin itulah kelemahan saya, ada masanya payah percaya kepada orang yang berniat tidak mahu mengulang kesilapannya, sedang sepatutnya kita wajar terbuka kepada orang yang hendak berbuat baik.
    
Kita boleh terima PM paling tidak suka orang menipu. Orang yang kerjanya menipu juga tidak suka dan tidak percaya orang diketahuinya menipu, kerana penipu itu boleh tipunya. Si penipu itu tidak suka orang tipu orang lain tetapi dia menipu tak mengapa.
    
Tak usah bangkitkan tentang skandal bunuh Altantuya dan skandal beli kapal selam Perancis yang halnya dalam mahkamah luar negara. Tentang kes 1MDB. Semua kata ia kes tipu. PM saja kata tak tipu. Semua orang tak betulkan atau betul PM tak tipu.
    
Kes 2.6 bilion yang pernah masuk akaun pribadi PM. Yang kata ia derma adalah PM. Dia  tipukah atau tak tipu? Menteri Saudi kata, ia pelaburan, bukan derma. Saudi tipukah atau PM tidak menipu?
     
Fatmi yang jadi penasihat PM patut bantu PM redakan masalahnya, jangan tambah bebannya dengan mengata dia elok dan tak cacat.
    
Raja Mesir purba yang didatangi Nabi Musa dan Nabi Harun memang zalim. Haman dan Qarun jadi penasihatnya. Mereka halang Raja ikut nasihat baik daripada Nabi. Penasihat tambah Raja jadi lebih zalim. – HARAKAHDAILY 29/2/2016

Share on Myspace