Khilaf Dr Haron Din sebagai ketua kluster dakwah

SUBKY LATIF | .

ADALAH satu penghormatan kepada Datuk Dr. Haron Din dan PAS apabila beliau dilantik oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi untuk menjadi ketua kluster dakwah dalam satu jaringan yang dibentuk kerajaan bagi menasihatkan kerajaan.
     
Tentunya ia tepat dengan wawasan Presiden PAS TG Abdul Hadi Awang betapa PAS boleh sesuai memainkan peranan untuk menasihatkan kerajaan dan pemimpin-pemimpin kerajaan daripada bergabung sebagai sekutu kepada parti yang memerintah sekarang.
     
Sekalipun pelantikan itu menunjukkan adanya kelonggaran baru bagi Umno untuk menerima secara langsung peranan yang PAS sebagai pembangkang boleh sumbangkan kepada kerajaan tetapi pelantikan itu adalah justeru ketokohan dan kemahiran Dr. Haron Din sebagai seorang ahli ilmu.
    
Saya percaya beliau boleh memberikan sumbangan positif yang diharapkan.
    
Bagaimanapun ada khilaf dalam kalangan penyokong PAS terhadap penerimaan Dr. Haron atas pelantikan itu. Tidak disangsikan ada kebaikannya orang PAS dilantik dan orang PAS menerimanya secara terbuka, dan Dr. Haron boleh memenuhi tanggungjawabnya, tetapi ada pandangan supaya Dr. Haron tidak menerimanya.
     
Saya cenderung menerima pandangan itu, bukan kerana tidak setuju PAS sedikit persefahaman dengan kerajaan tetapi adalah disebabkan Dr. Haron adalah Mursyidul Am PAS. Jika beliau bukan Mursyidul Am, beliau adalah orang terbaik untuk mengetuai kluster dakwah itu.
    
Tanpa meremehkan pandangan baik dan penghormatan kerajaan kepada beliau dan kepada PAS, jika kerajaan merasakan pemimpin PAS wajar diberi penghormatan, maka perlantikan itu boleh dibuat terhadap orang lain yang bukan Mursyidul Am dan bukan Presiden.
    
Mursyidul Am adalah satu jawatan dan kedudukan yang paling berprestij pada jamaah Islam itu dan tidak sesuai dan tidak bebas duduk dalam mana-mana badan lain.
    
Sekalipun pemerintahan kita memakai sistem khalifah, maka Mursyidul Am tidak dikira patut duduk dalam apa-apa kedudukan di bawah khalifah.
    
Mursyidul Am mesti bebas daripada sebarang ikatan dan apa jua komitmen dengan pihak lain.
    
Tidaklah Mursyidul Am mesti terpisah dengan masyarakat, tetapi mungkin kedudukan itu dapat diibaratkan dengan seorang raja bertakhta. Raja bertakhta itu adalah tinggi kedudukannya dalam institusi masyarakat beraja. Maka tidak kena Raja mengetuai pertubuhan sukan atau badan-badan amal. Mengetuai pertubuhan seperti ini mendedahkan raja kepada kelemahan dan kekuatan. Ia tertakluk kepada teguran dan  cabaran.
     
Jika Raja hendak dilibatkan dengan mana-mana badan yang terbaiknya ialah sebagai penaung.
     
Saya suka mengambil kejadian yang dilalui Ustaz Zamihan yang dijadualkan berdebat dengan Dr. Maza, Mufti Perlis. Ustaz Zamihan adalah ketua pertubuhan Ahlis Sunnah wal-Jamaah. Berapa besar dan ramai mana anggotanya tidak penting. Tetapi Ahlis Sunah wal-Jamaah adalah institusi yang terangkum semua mazhab Islam selain Syiah. Nama jamaah yang diwakilinya adalah besar.
    
Kerana dia kerja dengan kerajaan. Jabatannya tidak memberi permit kepadanya, dia tidak dapat menyertai debat itu. Bagi memimpin badan seperti itu Ustaz Zamihan mesti membebaskan diri daripada sebarang ikatan yang menghalangnya bergerak bebas.
     
Mursyidul Am adalah satu institusi penting dalam PAS. Ia adalah kerja penuh masa dan perlukan tumpuan. Rakyat dan negara sendiri pun melihat ia institusi yang tinggi dari yang lain. Mungkin menerimanya adalah keputusan yang baik. Tetapi yang terbaik beri ia pada orang lain. – HARAKAHDAILY 1/3/2016

Share on Myspace