Umar Abdul Aziz tidak beri BR1M

SUBKY LATIF | .

KHUTBAH Jumaat di Wilayah Persekutuan 26 Februari lalu adalah mengenai vandalisma dan sikap tidak bertanggungjawab dalam kalangan jemaah masjid.
   
Ia tentulah penyakit teruk masyarakat hingga terpaksa dijadikan topik perbincangan dalam khutbah.
     
Vandalisma atas harta awam berlaku di merata-merata. Besi kabel elektrik dicuri. Besi penutup lubang saluran air di jalan-jalan dikebas, papan tanda diconteng, kayu kerusi di perhentian bas dipatah, kepala paip di tempat awam kalau tidak tercabut dibiarkan tidak bertutup.
     
Perangai buruk itu melarat hingga ke masjid. Kipas dicuri, pembesar suara disimpan dalam bilik yang berkunci. Peti duit dikopak. Tandas kotor adalah biasa. Paip tidak bertutup adalah biasa. Demikian juga lampu dan kipas jika tidak ditutup siak terbiarlah sepanjang masa.
     
Masjid adalah tempat suci orang datang beribadat, untuk bertaubat, membersihkan diri daripada dosa dan untuk mendekatkan diri dengan Allah. Ia didatangi oleh setiap orang yang beragama. Orang beragama sepatut berdisiplin, baik dan mengelakkan dosa.
     
Mengapa peralatan masjid dicuri dan dirosakkan?
    
Jika di perhentian bas dan bangunan awam orang tidak teragak-agak membuat  curang kerana tidak ingat diri diperhati Allah dan malaikat-Nya, di masjid tempat semua mengingati Allah dan Allah sentiasa memerhatikan. Di masjid juga orang yang datang iktikaf dan solat seolah-olah tidak takutkan Allah dan masjid tidak diperhatikan Allah.
     
Masjid yang sudah dilengkapkan dengan hawa dingin, dinginnya seperti tidak memadai, semua kipas dipasang juga. Kadang-kadang ia ada beberapa orang, tetapi semua kipas dan lampu serta hawa dingin dipasang juga. Tiada sivik untuk berjimat dan menjauh perangai membazir.
     
Mengapa orang sembahyang buruk sangat perangai? Dan mengapa penyedia khutbah terpaksa menempelak sekalian jemaah tentang kejadian buruk itu.
    
Tidakkah ia mencerminkan keadaan sakit tenatnya umat Islam dan masyarakat? Mengingatkan mereka adalah wajib. Tetapi mengingatkan mereka saja tidak memberi apa-apa kesan. Khutbah itu masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Dan yang tidur semasa khutbah, ia tak masuk telinga pun.
    
Tidak pula khutbah itu bertanya adakah peyakit orang Islam itu justeru mereka yang sakit itu saja. Tidak mungkin buruknya orang Islam itu antaranya buruk pemerintahnya. Tidakkah buruknya Raja atau Presiden atau Perdana Menteri menyebabkan buruknya masyarakat hingga ke masjid?
    
Bukankah pemerintahan itu wujud bagi menjamin kesejahteraan masyarakat. Saya terkesan dengan satu riwayat. Arab Badwi yang terpencil dengan masyarakat hadhari mendapati hasil kebun mereka bertambah. Lalu mereka percaya mungkin wilayah itu ada pemerintah baru yang adil.
     
Kemudian mereka mengetahui khalifah baru mereka ialah Umar Abdul Aziz. Kesimpulan semua ialah pimpinan adil Khalifah umar Abdul Aziz itu membawa kesejahteraan kepada masyarakat dan wilayah.
    
Umar Abdul Aziz tidak memberi BR1M kepada peduduk bagi meringankan kehidupan mereka. Tetapi kerajaan yang adil dan melaksanakan maqasid syariyah menggandakan pendapatan umat.
    
Sebaliknya buruknya masyarakat hingga ke masjid, tidakkah justeru buruknya pemerintahan?
     
Jangan kata segala kepincangan itu terlepas daripada buruknya pemimpin dan sistem pemerintahannya. Pembuat khutbah patut mendalamkan lagi kandungan khutbahnya. Elok kerajaan eloklah orangnya. Kata pepatah Cina, buruk ikan bermula dari kepalanya. – HARAKAHDAILY 7/3/2016

Share on Myspace