Baru dua presidennya mati dalam Umno

SUBKY LATIF | .

JIKA Dr Mahathir mati semasa Presiden Umno masih Datuk Seri Najib, maka baru dua saja daripada tujuh yang pernah jadi Presiden mati dalam Umno. Berbeza dengan PAS. Dari tujuh juga yang pernah menjadi Presiden, dua saja yang mati di luar PAS.

Presiden Umno yang mati dalam Umno setakat ini hanya Tun Razak Hussein dan Tun Hussein Onn, kedua-duanya berbiras, menantu Tan Sri Noah Omar. Dua sudah sah tidak mati dalam Umno iaitu Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman Putra.
    
Yang masih hidup, Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Badawi dan Najib sendiri. Tidak diketahui di mana mereka mati. Dr. Mahathir sudah tidak jadi ahli buat kali ketiga. Sekali dipecat, dua kali keluar dari Umno kerana memprotes Presidennya. Jika dia mati ketika Umno masih berpresidenkan Najib, maka dia akan mati di luar Umno.
     
Dua lagi yang belum mati iaitu Tun Abdullah dan Najib sendiri tidak diketahui. Tun Abdullah adalah seorang yang amat sabar. Apa jadipun, elokkah atau tak elokkah Umno, payah dia hendak meninggalkan Umno.
     
Apakah dia mati dalam Umno? Bergantung bila Umno akan mati? Jika Umno mati sebelum dia mati, bererti dia tidak mati dalam Umno sekalipun dalam hatinya ada tulisan kalimah Umno. Kalau matinya semasa Umno masih ada, matilah dia dalam Umno.
     
Hanya Allah yang tahu bila dan di mana seseorang akan mati. Tun Abdullah mahu mati dalam Umno, tetapi mungkin dia di tempat lain baik Umno ada ataupun tiada. Kan ada kejadian tiba-tiba dia tak mati dengan Umno disebabkan oleh keadaan Umno yang tidak menentu sekarang.
     
Boleh diagak Najib mahu mati dalam Umno, tetapi bergantung jika dia masih Presiden Umno. Jika dia seperti bapanya mati semasa dalam perkhidmatan, maka ghalibnya dia mati dalam Umno.
    
Tetapi kalau dia sudah tidak lagi jadi Presiden, belum tentu dia akan mati dengan Umno. Dengan masalahnya yang banyak dalam kerajaan dan dengan Umno, belum tentu dia dikekalkan berada dalam Umno. Jika masalah dalam Umno dikira sebagai hutang, hutangnya pada Umno bukan sekadar hutang keliling pinggang, maka hutangnya keliling tubuh – dari depan ke belakang, dari kanan ke kiri dan dari hujung rambut ke hujung kali.
    
Jika dia tidak lagi jadi Presiden atas sebab dia berundur atau dia diundurkan, dia dikalahkan dalam pertandingan Presiden atau dia tidak dicalonkan lagi, maka nasibnya dalam Umno akan ditentukan oleh Umno masa itu. Jika dia dipecat dan dia mati, maka tidak mati dia dalam Umno.
    
Jika pemergiannya sebagai Presiden Umno cara baik, maka harapan terus berada dalam Umno adalah mungkin. Tetapi kalau perginya cara paksa dan dia melawan pula, maka payah hendak diramalkan kemungkinannya.
     
Akan tetapi jika Najib tidak lagi jadi Presiden, sempat Dr. Mahathir jadi ahli Umno semula, maka dapatlah dia mati dalam Umno. Kalau tak sempat, Umno boleh batalkan tindakannya meninggalkan parti disengajakannya, tapi seperti Nabi Adam makan buah dari pokok yang dilarang di syurga, ia tidak kesengajaan, maka segera Allah terima taubatnya.
    
Adapun Presiden PAS yang mati  uar PAS, Haji Ahmad Fuad dan Tan Sri Asri. Yang mati dalam PAS Dr. Abas Alias, Dr. Brhanuddin al-Helmy, Haji Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Nor. TG Haji Hadi tidak dijangka ada kejutan. – HARAKAHDAILY 8/3/2016

Share on Myspace