Perak diam atas hudud, taja sekolah tahfiz

SUBKY LATIF | .

AGAK memberangsangkan terdapat lebih dari 40 buah madrasah tahfiz al-Quran di seluruh negeri Perak langsung mendorong Menteri Besarnya, Dr. Zamberi Abdul Kadir merancang mewujudkan sekolah tahfiz di setiap daerah dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Boleh diberi syabas kepadanya atas tindakannya itu. Seolah-olah tercabar kerajaan Kelantan yang Membangun Bersama Islam yang ada sekolah agama YIK di banyak daerah tetapi tidak diketahui ada sekolah tahfiz kerajaan di setiap jajahan. Maahad tahfiz negeri ada.
     
Perak membanggakan dengan maahad tahfiz kerajaan di setiap daerah sebagai tambahan kepada yang lebih 40 buah yang dipercayai diusahakan oleh rakyat.
     
Kerajaan BN Perak tidak pernah mewawasankan untuk mendaulatkan syariah di negeri itu. Yang bercakap tentangnya kerajaan Kelantan dan orang-orang PAS yang tidak memerintah di setiap negeri.
    
Apabila bercakap tentang pemerintahan al-Quran dan sunnah Nabi SAW semuanya – dari penoreh getah hingga pemegang takhta – kata sistem itu baik. Tetapi tentang pelaksanaan hudud semua diam. Kesempurnaan perundangan Islam disimpan dalam hati, jadi institusi sempurna yang tidak untuk dilaksana.
     
Sekalipun ia kelu, ia mengambil tindakan untuk mewujudkan sekolah tahfiz di setiap daerah, yang dengan sendirinya akan melahirkan sebilangan rakyat yang hafaz al-Quran dan seterusnya menguasai kandungan dan menghayati ajarannya.
     
Kerajaannya kelu tetapi ia melahirkan orang yang hendakkan hudud. Kerajaannya membisu tentang pelaksanaan hudud, tetapi ia menanggung melahirkan orang yang hendakkan hudud.
     
Macam Firaun. Dia menolak bertuhankan Allah kerana dia sendiri merasakan dia tuhan. Tetapi  dia menyara Musa di istananya sebagai anak angkat. Dia tidak mahu agama tauhid, tetapi dengan menyara Musa dia telah menggunakan sebahagian daripada kewangan negara untuk membesarkan Musa dan Musa pula menyeru Firaun dan sekalian rakyat kepada agama tauhid yang bertuhankan Allah.
     
Bezanya Firaun menolak agama tauhid, kerajaan Perak rasminya menganut agama tauhid. Firaun kuatkuasakan undang-undang yang diakui oleh agamanya. Negeri Perak kuatkuasakan undang-undang yang tidak diakui oleh agama tauhid iaitu agamanya atau undang-undang yang bukan undang-undang agamanya.
      
Kita biarkan saja apa yang kerajaan Perak buat dengan sikap membisu terhadap hudud atas apa jua alasannya tetapi ia membiayai sepenuhnya sekolah yang hendak mendidik rakyat memahami al-Quran.
     
Kita tidak tahu apa yang kerajaan Perak hendak buat dengan generasi yang dididiknya untuk menguasai al-Quran? Adakah ia mahu jadi seperti Rusia yang membenarkan rakyat yang beragama Islam membincangkan Islam sebagai sebahagian daripada kebudayaan rakyat tetapi bukan menghayati akidahnya.
     
Atau adakah kerajaan Perak menerima perkembangan di Turki iaitu kerajaan sekular anti Islam terpaksa mewujudkan Sekolah Imam Hatib unuk membekalkan imam dan khatib yang hampir pupus setelah hampir 30 tahun khilafah Othmaniah ditumbangkan.
     
Kerajaan Ataturk itu biayai sekolah mendidik bakal imam dan khatib. Tetapi rakyat yang terdidik di sekolah itu kemudian bangun untuk membawa semua bangsa Turki menjalani hidup secara Islam. Presiden Erdogan adalah orang yang dididik oleh Sekolah Imam Hatib.
      
Tidak mustahil murid keluaran maahad tahfiz di Perak – baik dari sekolah yang ditanggung rakyat dan yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, akan bergabung 30 tahun dari sekarang menuntut Perak dikembalikan kepada pemerintahan Islam.
     
Pandangan mereka tentang peranan Islam sama sekali tidak sama dengan yang difikirkan oleh pencetus sekolah tahfiz kerajaan di setiap daerah. – HARAKAHDAILY 11/3/2016

Share on Myspace