Bersihkan PM dari jenayah

SUBKY LATIF | .

ISU Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno dikatakan tidak tidak membantu tugas Presiden adalah ibarat hama dibandingkan dengan dakwaan TS Muhyiddin yang menyebut dalam kenyataannya Peguam Negara dikatakan memberitahunya, Perdana Menteri dikatakan melakukan jenayah.
     
TS Muhyiddin dalam jawapan terbukanya terhadap penggantungan daripada tugas Timbalan Presiden Umno ada menyebut dia berjumpa Peguam Negara sebelum ditamatkan perkhidmatannya bagi mendapatkan penjelasan atas isu wang 24 juta dari SRC International dimasukkan ke akaun Najib.
 
Dia diberitahu oleh mantan Peguam Negara berserta dengan buktinya sekali adalah sah merupakan satu jenayah. Muhyiddin juga ada menyebut tentang derma RM2.6 bilion dan skandal 1MDB.
     
Tidak membantu Presiden adalah hujah yang amat kartun yang dikategorikan sebagai dongeng jenayah dalan cerita rakyat seperti Nujum Pak Belalang, Luncai dengan labu-labunya, Lebai Malang, Pak Pandir dan lain-lain.
    
Jika Umno hendak menyamakan politik lucunya dengan cerita lucu itu adalah masalah partinya yang negara dan rakyat tak berkesan sangat. Tetapi kalau Perdana Menteri sudah digelumangkan dengan jenayah, ia adalah isu nasional yang perlu diberi perhatian.
     
Justeru Umno mendakwa ia ada amanah bagi membela rakyat dan negara, maka bertanggungjawab memastikan Presiden Umno dan Perdana Menteri seorang yang amanah. Seorang yang amanah mesti bersih daripada jenayah. Rakyat dan negara tidak mahu ia dipimpin oleh seorang penjenayah.
      
Umno tidak boleh biarkan tohmah terhadap Najib. Ia mesti peduli dan bersihkan namanya jika mahu dia dikekalkan atau bertindak membersihkan dia daripada Umno.
     
Orang beriman diingatkan oleh al-Quran, apabila datang berita dari orang fasik, telitilah kesahihannya. Jangan terus percaya. Berita fitnah jangan dibiarkan kerana ia menghuruharakan.
    
Kita tidak kata Muhyiddin orang fasik. Saya kira dia orang yang boleh dipercayai. Tetapi dia menyampaikan apa yang didengarnya daripada Peguam Negara masa itu. Peguam Negara sudah digantikan serta merta.
     
Demi berlaku adil kepada Najib, Muhyiddin dan mantan Peguam Negara, berita Najib dikatakan ada jenayah mesti diadili. Umno jika ia amanah mesti mengambil tindakan membersihkan nama Najib kerana Malaysia tidak boleh berperdana-menterikan seorang penjenayah. Umno mesti amanah. Hakimi isu ini.
    
Muhyiddin tentu bersedia untuk mempertahankan apa yang disampaikannya. Sekalipun kita percaya kepada Muhyiddin tetapi kita boleh terima bulat-bulat cakapnya sebelum dipastikan kesahihannya. Sekalipun kita ragu terhadap Najib, kita jangan burukkan dia tanpa diadili.
     
Umno mesti ada rasa sayang pada Najib, tetapi sayangnya pada Umno mengatasi sayang kepada Najib. Umno juga mesti sayang pada Muhyiddin, tetapi sayangnya tentu lebih kepada Umno sebagaimana yang dikatakannya daripada sokongannya penyingkirannya daripada jawatannya.
     
Sayang kepada Umno tidak sampai menzalimi Muhyiddin. Jika Muhyiddin betul, maka Umno sepanjang menzalimi Muhyiddin. Umno tidak boleh menzalimi ahlinya dan pemimpinnya. Jika Najib tidak betul, menyayangi Najib bukan sekadar menzalimi Muhyiddin tetapi adalah menzalimi Umno.
      
Umno patut sayang pada Umno tetapi sayangnya jangan melebih sayang kepada rakyat dan negara. Inilah yang Dr. Mahathir buat sekarang. Dia sayang Umno tetapi ditinggalnya Umno kerana sayangnya kepada rakyat dan negara melebihi sayang kepada Umno. Sayang kepada negara dan rakyat adalah sayang kepada diri sendiri.
     
Jika sayang pada Najib melebihi sayang kepada Umno, maka Umno tidak sayang kepada negara dan rakyat serta tidak sayang pada dirinya sendiri.
      
Jika Umno itu kartun dibesarkannya isu Muhyidin tidak tolong Najib, tidak peduli ia isu pemimpinnya dikatakan dihinggapi jenayah. – HARAKAHDAILY 15/3/2016

Share on Myspace