Budi bicara Zubir Embong

SUBKY LATIF | .

APAKAH Adun Kijal cukup bijaksana mengemukakan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Rizal akan dihakimi oleh orang ramai, tetapi dia ada hak untuk membuat cadangan itu.
      
Cara mana usulnya dibuat adalah soal teknik tetapi usulnya ditolak bukan oleh undi majoriti Adun Terengganu dalam Dewan, bahkan oleh Speaker Zubir Embong. Ia ditolak oleh Speaker kerana apa? Bukan kerana tidak ikut peraturan tetapi oleh budi bicara Speaker.
      
Speaker diberi kuasa oleh peraturan Dewan menggunakan budi bicaranya, menerima atau menolak usul Ahmad Said itu. Zubir Embong menggunakan kuasa yang diberi itu menolak usul itu.
      
Apakah Speaker telah cukup bijaksana menolak usul itu daripada dibahaskan? Kebijaksanaannya itu boleh dipersoal bahkan boleh dikira lebih tidak bijaksana daripada kebijaksanaan Ahmad Said membuat usul  tidak percaya itu.
     
Mungkin Ahmad tidak cukup bijaksana, tetapi dia tidak melakukan sebarang percanggahan dengan peraturan Dewan. Boleh usulnya dibahaskan. Tetapi Speaker yang ada budi bicara menentukannya memilih untuk menolaknya.
     
Persoalan besar sekarang ialah kebijaksanaan si Zubir Embong. Adakah dia telah menggunakan kuasa yang diberi dengan betul dan adil? Kebijaksanaan Zubir telah diuji dan tindakannya boleh dipertikai.
     
Zubir telah diberi penghormatan untuk melakukan keadilan dan kebijaksanaan. Hak menggunakan budi bicara itu adalah satu ujian dan cabaran besar bagi orang diberi hak seperti itu. Hak seperti ini juga diberi kepada hakim.

Hakim terlepas dari dakwa-dakwi jika hukuman yang dijatuhkan dibuat dengan peraturan yang digaris. Jika ada kes yang memerlukan budi bicara, maka ia adalah amat mencabarnya.
     
Dalam kes tuduhan rasuah terhadap Datuk Harun Idris dari sebuah bank, saksi bank dan saksi Datuk Harun tidak ingat siapa yang membuat cadangan atas jumlah bayaran yang diberi bank. Jika jumlah dicadang oleh bank, maka Datuk Harun terlepas.

Jika cadangan itu datang dari pihak Datuk Harun, maka beliau disabitkan. Apabila kedua-dua saksi tidak ingat, terserah kepada budi bicara hakim. Hakim mensabitkan Datuk Harun. Kebijaksanaan hakim dipertikai secara meluas.
     
Kesilapan memutuskan hal-hal seperti ini boleh menyebabkan hanya seorang dari tiga kadi masuk syurga, dua lagi tak tahu ke mana.
    
Hak atau kuasa yang sedemikian bukanlah sebenarnya satu keistimewaan untuk berbuat sesuka hati. Ia terpuji jika digunakan dengan betul. Tetapi dari tiga hakim/kadi dijamin satu saja betul. Yang satu itu dijamin masuk syurga.
    
Speaker Zubir jadi Speaker kerana dia penyokong BN. Penyokong BN payah jadi hakim yang adil atau peguam negara yang adil. Mereka mudah jadi saksi ke lutut atau ikut peribahasa hakim dari spesies haiwan.
     
Yang berwatak seperti Saidina Umar dan Umar Abdul Aziz yang mempu menunaikan hak budi bicara ini. Itulah payahnya melaksanakan keadilan.
    
Yang wajarnya ialah Zubir jangan prejudis terhadap sesuatu yang mengancam kerajaan. BN punya majoriti cukup sekalipun kecil. Jika usul itu dibincangkan, sekalipun Ahmad Said tidak bersama MB, undi tidak percaya boleh ditolak. Ditakdirkan undi seri, Speaker diberi peluang gunakan budi bicara bagi menyokong MB.
     
Menolak usul daripada dibahas mendatangkan lebih banyak fitnah. Jika dibahaskan orang tahu apa kelayakan dan kelemahan MB Razif. – HARAKAHDAILY 22/3/2016

Share on Myspace