Mengisi guru Sarawak dari anak Sarawak

SUBKY LATIF | .

BAGI mengatasi dilema guru dari Semenanjung yang mengajar di Sarawak, maka dicadangkan pelaksanaan dasar mengisi 90 peratus dari guru-guru di Sarawak terdiri dari anak Sarawak.

Ia satu dasar yang munasabah tetapi tentunya tidak dibangkitkan atas sentimen Sarawak untuk Sarawak. Ia adalah bagi mengatasi masalah guru-guru dari Semenanjung itu hatinya tidak di Sarawak sebaliknya sejak hari pertama tiba di Sarawak, mereka mohon ditukarkan segera mungkin balik ke Semenanjung.
    
Masalah yang sama bagi mereka yang dihantar ke Sabah.
    
Menunggu balik ke Semenanjung itu bukan kerana mereka bencikan Sarawak dan Sabah, tetapi dorongan semula jadi manusia kebanyakannya suka hidup dan berkhidmat di kampung sendiri. Anak Pahang yang mengajar di Perak jika boleh tak mahu lama di Perak.

Kemahuannya balik ke Pahang juga. Orang Temerloh mengajar di Bentong, bertubi-tubi mohon tukarkan ke Temerloh. Padahal Bentong sudah dekat dengan Temerloh.
    
Apa lagi orang-orang Semenanjung dari lokaliti yang tidak jauh dari bandar, lengkap dengan prasarana dan macam-macam kemudahan, tiba-tiba dihantar ke pedalaman yang sehari suntuk bermotokar dari Sibu, tempatnya serba kekurangan, tentulah siang malam nak balik ke Semenanjung. Jika yang mengajar di kota Kuching jika boleh mahu balik segera apa lagi yang jauh di hulu.
     
Ini masalah sejak pembentukan Malaysia tahun 1963 lagi.
     
Maka menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ini, ada pula semangat keutamaan anak Sarawak, guru Sarawak mesti 90 peratus anak Sarawak. Bagi menaikkan semangat mungkin betul, tetapi mengisi guru bukan seperti mengisi pekerja JKR, jabatan hutan atau polis. Boleh diisi oleh yang sihat dan tahu menulis dan membaca.
    
Guru adalah orang terlatih, berpelajaran, cerdik dan ada kemahuan. Sekadar tahu membaca dan mengira jadi guru, nanti murid yang sekadar tahu membilang dan membaca saja. Yang keluar  sekolah bodoh belaka.
    
Saya ke Atlanta, Amerika hampir 50 tahun lalu. Penduduk Atlanta 55 peratus hitam, 45 peratus putih. Demi berlaku adil diwujudkan kuota guru 55 hitam, 45 putih. Saya tanya adakah itu namanya adil? Jawab mereka, adil.
     
Adakah cukup guru kulit hitam yang layak bagi memenuhi kuota itu? Mereka mengira ada masalah sikit. Tetapi inilah yang dikira adil mengikut kehendak majoriti komuniti.
    
Saya kata, Amerika telah silap memahami keadilan. Profesion guru memerlu guru yang layak. Jika tidak cukup 45 peratus kulit putih yang layak, yang putih bodoh dijadikan guru juga bagi memenuh kuota, maka Amerika akan melahir murid yang bodoh. Demikiannya juga kuota kulit hitam tidak penuh.
    
Ia satu kesilapan bagi Amerika Atlanta. Jangan kesilapan sama diulangi di Sarawak dan Sabah. Ia tidak boleh dilaksanakan selepas Pilihan Raya  Negeri. Mungkin menunggu 50 tahun lagi.
    
Tetapi kerajaan Sarawak dan Sabah boleh menawarkan insentif kepada  guru dari Semenanjung yang menggalakkan mereka datang ke Sarawak dan memilih menetap terus di situ sebagai orang Malaysia. Ketika mula-mula Felda diperkenalkan, orang Kedah, Melaka, Perlis dan lain-lain sanggup meninggalkan negeri masing-masing jadi peneroka Felda di Pahang, Perak, Selangor dan lain-lain justeru tawaran yang baik. Mereka sedia mati di negeri angkat.
    
Jika Sarawak memikirkan guru itu kerja mulia, bagi memuliakan mereka tawarkan sesuatu yang baik. Mereka nescaya menyerah jiwa dan raga jadi guru di situ dan sedia mati di situ.
    
Nabi secara tersembunyi menawarkan pahala dan syurga bagi siapa mengembara hingga ke China. Sahabat pun mengembara dan ramai di China. Jika Yadim suntik semangat kepada guru rebutlah peluang dakwah dan upah besar daripada Allah, ramai orang semenanjung tawar jadi guru di Sarawak. – HARAKAHDAILY 23/3/2016

Share on Myspace