Keputusan Peguam Negara muktamad?

SUBKY LATIF | .

KENYATAAN Tun Zaki, mantan Ketua Hakim Negara betapa keputusan Peguam Negara atas siasatan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kes skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion dalam akaun banknya adalah muktamad.
     
Perdana Menteri dikatakan tidak melakukan sebarang jenayah dan siasatan itu ditutup. Siasatan tidak wajar diteruskan dan mahkamah wajar tidak melayan sebarang pertikaian atasnya.
    
Mungkin Tun Zaki telah mentafsirkan kehendak undang-undang? Dan biasanya hakim atau bekas hakim bercakap tentang sesuatu perkara seperti itu tentulah bercakap tentang undang-undang, tiada politik dan sebagainya.
    
Kita tidak pasti apakah beliau diminta membuat penjelasan itu atau sebagai ahli undang-undang sekalipun tidak diminta membuat komen oleh sesiapa, maka dia dengan suka hati terpanggil untuk membuat penjelasan.
    
Saya tidak bercadang untuk membincangkan ada lain selain bertakhta ada kekebalan dalam undang-undng? Dan tidak hendak membincangkan Peguam Negara Afandi Ali telah silap dalam keputusannya atau tidak. Tetapi terasa ajaib Peguam Negara diberi kekebalan dan seolah-olah dia tidak mungkin melakukan kesilapan.
    
Hatta raja bertakhta yang ada kekebalan selama ini pernah dibincang apakah kekebalan itu patut dikekalkan atau digugurkan. Sekalipun tidak dimuktamadkan perbincangan bagi mengkaji kekebalan itu, tetapi institusi yang kebal itu pernah dibangkitkan apakah ia wajar begitu?
    
Bahkan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra selepas bersara daripada politik pernah menyebut  tentang kesilapannya tidak membuat peruntukan melucutkan raja daripada takhta semasa jadi Perdana Menteri dulu.
     
Saya tidak kata perkara itu wajar dipanjangkan tetapi masyarakat kita pernah membangkitkan tentang kedudukan istimewa bagi raja-raja. Ini memberi gambaran betapa selain daripada kekebalan bagi Raja-raja tidak munasabah ada orang lain ada kekebalan.
     
Jika keputusan hakim boleh dirayu dari satu mahkamah ke satu mahkamah, malah pernah keputusan mahkamah di negara ini dirayu sampai ke England, maka apa lebihnya Peguam Negara tidak boleh ditakwil sedang dia adalah seorang manusia biasa dan manusia itu tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan kesalahan.
     
Nabi Adam dan isterinya pernah silap semasa transit di syurga, maka mengapa apabila kita jadi Peguam Negara maka keputusannya tidak boleh diusik?
    
Sedang Saidina Abu Bakar Siddiq yang menantunya Nabi SAW timbangan imannya lebih berat dari kumpulan iman sekalian manusia memberitahu bahawa beliau bukan orang terbaik bagi menjadi khalifah pertama dan membuka ruang kepada sekalian menyokongnya kiranya tindakannya betul kerana itulah tindakan amanah tetapi adalah khianat jika yang tidak betul didiamkan.
     
Begitu juga Saidina Umar al-Khattab yang mengikut Nabi, jika adalah lagi nabi selepas baginda, maka nabi itulah Umar. Umar juga membuka ruang bagi membetulkan sebarang kesilapannya.
    
Islam diajar betapa yang tidak boleh dipersoal dalam sebarang tindakan hanya Allah dan Rasul-Nya. Sejak bila kita memberi martabat Tuhan dan Rasul kepada seorang pegawai yang hanya seorang manusia awam yang ada dosa dan pahala?
     
Saya amat takut jika mengangkat Peguam Negara Afandi Ali begitu kebal menjerumuskan semua ke sangkar syirik. Berilah kepercayaan sekadar apa yang patut kepada manusia biasa dan jangan bebankan dia dengan yang tidak patut dipikulnya.
     
Afandi Ali itu sudah selesa di tempat lamanya. Mengapa dia dipaksa beban yang boleh dikira menzaliminya dan menzalimi orang lain? – HARAKAHDAILY 24/3/2016

Share on Myspace