Najib tak kata dia pencuri, penyangak

SUBKY LATIF | .

PERDANA Menteri Najib ketika bercakap di Pekan memberitahu, dia bukan pencuri, perompak dan penyangak.
      
Dia cakap betul. Bukan dia yang cakap dia pencuri, penyangak dan perompak. Yang kata dia pencuri, penyangak dan perompak adalah orang lain. Orang lain itu ramai. Nak dituding pun payah.
     
Jika dia dibawa ke mahkamah dipercayai dia tidak akan kata dia pencuri, perompak dan penyangak. Hanya hakim yang akan tentukan dia macam yang orang kata itu atau tidak.
    
Lepas itu dia kata pula, dia tidak kejar kuasa. Ini pun dia betul juga. Masa ini memang dia tidak kejar kuasa kerana kuasa itu sudah ada padanya. Lainlah sebelum dia ada kuasa dulu. Adakah dia diberi percuma kuasa dan dia tidak buru?
    
Tetapi sekarang oleh kata dia gila kuasa, pertahan kuasa dan boleh juga orang kata, salah guna kuasa.
     
Penjajah Inggeris dulu tidak kata ia mencuri dan merompak kekayaan negara ini. Ia kata ia datang untuk membangun dan memajukan negara ini. Mengaku penjajah pun ia tidak. Tetapi semua orang tahu, ia punggah segala kekayaan bawa pulang ke negaranya.
     
Yang kata ia penjajah, pencuri dan perompak ialah kita. Ia tak kata dan ia tak mengaku.
     
Najib sebagai Perdana Menteri tidak pergi cari dan rompak harta orang lain terutama harta yang ada tuan miliknya. Tetapi sebagai Perdana Menteri dia pegang amanah tanah dan harta kerajaan. Dia tidak pergi cari dan ambil tanah orang lain masuk dalam kuasanya. Semua yang milik kerajaan sudah terkumpul di depannya.
    
Terserah kepadanya cara menggunakan harta itu. Tanah dan harta kerajaan itu adalah harta dan tanah rakyat. Dia ada kuasa dan diberi amanah atas harta itu. Dia boleh beri tanah itu kepada 1MDB dengan harga yang murah dan benarkan 1MDB jual kepada pihak lain antaranya termasuk kepada Tabung Haji dengan harga mahal berlipat ganda.
     
Mungkin dia kata dia tidak niagakan tanah itu. Yang macam itu tidak niaga pun tak apa. Orang tahu tahu niaga pun akan boleh niaga kalau diberi tanah yang mahal itu RM60 sekaki sedang ia boleh dijual dengan harga RM6,000  sekaki.
     
Hal-hal seperti ini orang tidak kata lagi dia curi harta, rompak harta kerajaan dan orang juga tak kata dia niagakan tanah rakyat. Orang kata, dia salah guna kuasa. Orang diberi amanah apa dikatakan salah guna kuasa, maka tiada yang keburukan yang lebih teruk dari itu.
     
Curi, rompak dan samun adalah salah. Tetapi dibandingkan dengan salah guna kuasa, rompak, curi dan samun itu tidak besar. Salah guna kuasa jauh lebih besar.
     
Sepatutnya Najib diam saja apa yang orang kata. Biar berbuih orang kata, dia diam saja. Akhirnya orang penat mengata itu dan ini. Bila dia kata tidak itu dan tidak ini, orang pun komen, curi, rompak dan rempit adalah kecil kerana yang disamun adalah lebih besar.
     
Percayakah orang? – HARAKAHDAILY 29/3/2016

Share on Myspace