RM100 juta duit kementerian dilesap pegawai

SUBKY LATIF | .

KHAIRY Jamaluddin adalah seorang anak muda Umno yang pintar dibandingkan dengan lain-lain anggota kebinet yang ada. Justeru kepintarannyalah maka PM Najib memilihnya untuk menjadi menteri pengiring semasa lawatan rasmi Obama ke sini tidak lama dulu.
     
Tidaklah untuk memperkecilkan kehebatan Datuk Seri Zahid Hamidi dijadikan pengganti Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Jika Najib mengambil Khairy menggantikan Muhyiddin pun nescaya tiada siapa pertikai. Sebagaimana semua menyambut besar terhadap Tun Razak dan Anwar Ibrahim jadi TPM, begitulah sambutan semua kepada Khairy yang dirasakan boleh menjadi tokoh terbilang hari depan.
     
Orang pintar mesti berdepan cabaran besar. Sepintar Khairy boleh duit Kementerian Belia dan Sukan dilesapkan oleh pegawai lebih dari RM100 juta. Ujian ini besar dan amat memalukan kerajaan terutama menterinya Khairy.
     
Menteri itu seorang yang terserlah pintarnya. Sebagai ujian Allah hantar pegawai yang pintar juga sebagai cubaan kepada kepintarannya.
    
Melesapkan duit negara adalah perbuatan keji. Tetapi kehebatan pegawai tidak sekadar perdayakan duit kerajaan ratus ribu atau sejuta dua. Sebagai ada pemimpin lesapkan ratus juta sepanjang masa, maka pegawai tidak ambil sedikit, dia ambil betul-betul banyak. Lebih seratus juta.
    
Kena tangkap dan kena hukum pun berbaloi. Tidak seperti setengahnya sempit dan curi beberapa ribu, nikmatnya tak sebanyak mana tetapi hukumnya berat dan memalukan. Akan pegawai itu memalukan kerana dia terperangkap. Kalau dia tidak dikesan, maka sampai mati jadi orang senang.
     
Inilah juga kejayaan Wawasan 2020. Nak curi biar betul-betul banyak.
    
Pencurian itu amat memalukan kerajaan dan menteri Khairy. Ia mencabar kecekapan dan wibawa kerajaan. Kerajaan BN telah banyak diuji seperti ini. Dan ujian yang terbaru ini terkena pada batang hidung khairy yang pintar.
     
Kecuaian seperti jika berlaku di Jepun dan India, sekalipun yang curang itu orang bawah, tetapi orang seperti Khairy akan menerima dan mengambil tanggungjawab bagi menjamin kerajaan dan politik negara kekal bermaruah.
     
Menteri di Malaysia tidak sekali-kali akan jaga maruah seperti Jepun dan India. Jika boleh kerajaan akan tolong selamat dan lindungi para penyangak terhormat ini.
    
Adapun kecurangan pegawai kementerian itu bukan baru. Telah bermula sejak 2011 lagi. Masa itu Khairy belum jadi menteri. Yang jadi menteri di situ masa itu Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Khairy jadi menteri tahun 2013.
    
Nasib Shabery baik kecurangan tidak terbongkar. Yang belum terbongkar itu tidaklah menjadi perkhidmatannya mulia, bersih dan cekap. Ia tetapi mencerminkan cuai, kelemahan dan tiada wibawa.
   
Mungkin mengira Shabery tiada sebarang kecuaian dan kelemahan, maka Khairy yang mengambil alih kementerian tiada sangkakan tak baik terhadap orang sebelumnya.
     
Tidak dipastikan juruaudit negara sudah mengesannya atau tidak. Shabery seolah-olah tidak dibantu oleh audit negara. Tidak dipastikan ketika SPRM mulai mengesan kecurangan pegawai tadi, Khairy sedar atau tidak.
     
Penyangak jika disabitkan akan terima kesannya tetapi menteri yang tidak menyedari apa yang berlaku, apakah tidak bercadang untuk mengambil tanggungjawab atas kecuaiannya. Jika ujian itu dapat diatasi oleh Khairy, maka selamatlah masa depannya. Sekadar pintar belum tentu jaminan menjalan dan menjaga amanah. – HARAKAHDAILY 31/3/2016

Share on Myspace