Pemuda Umno tak tahan tak diberi duit

SUBKY LATIF | .

BARU dua kali Umno kalah di Selangor, Pemudanya bersungut tidak diberi peruntukan bagi menjalankan kerja politik hingga mereka terpaksa mengeluarkan wang sendiri terhadap sebarang kegiatan.
     
Mungkin masalah Pemuda Umno dan Umno seluruhnya tidak dapat duit secukupnya bagi menjalankan kegiatan khususnya bagi merampas semula kerajaan Selangor daripada Pakatan, tetapi mereka juga dipercayai tidak cukup duit untuk hidup mewah lagi seperti zaman berkuasa dulu.
     
Semua tahu bahawa orang Umno sejak berkuasa di mana-mana, yang berjawatan dalam parti, mereka bukan saja diupah menjalankan kerja parti, bahkan mereka hidup mewah kerana jadi pemimpin parti.
     
Bukan sekadar dapat habuan daripada sumber partinya tetapi beroleh rezeki dan peluang daripada berbagai-bagai sumber kerajaan. Apa jua yang dikatakan pembangunan dan projeknya, maka ia adalah rezeki kepada orang Umno. Ramailah orang Umno jadi orang kaya baru dan segera kerana menjadi orang Umno.
     
Semua peluang itu, secara halal atau sebaliknya seolah-oleh hak istimewa bagi ahli Umno.
     
Politik itu bukan tempat orang mencari makan. Ia wadah perjuangan bagi mencapai cita-cita  sebuah perjuangan. Jika sesiapa dapat rezeki sewajarnya daripada perjuangan, ia bukan matlamat tetapi pulangan kemerdekaan dan pembangunannya adalah untuk kemakmuran semua orang.
    
Orang PAS selama-lamanya tidak pernah menunggu habuan daripada kerja politik partinya dari PAS, bahkan menghabiskan banyak wang sendiri bagi menegakkan perjuangan. PAS tiada sumber kewangan sedangkan kerja politik itu memerlukan peruntukan besar.
     
Maka PAS mengira seolah-olah wang di saku baju dan seluar mereka sendiri adalah duit PAS. Ia seperti PAS menyimpin duitnya di poket baju ahlinya. Apabila PAS perlukan belanja, maka ahli akan mengeluarkan duitnya dari sakunya.
     
Perjuangan itu adalah pengorbanan termasuklah berhabis duit dan harta sendiri bagi menghidupkan perjuangan. Dengan duit sendiri itu mereka menguasai Kelantan dan dua kali menang di Terengganu. Ia pernah menang di Kedah dengan duit ahli.
    
Almarhum Ustaz Fadzil Noor, Datuk Abu Bakar Umar, Tan Sri Azizan Razak. Mahfuz Umar, Muhamad Sabu adalah antara orang miskin di tengah sekalian ahli PAS yang miskin. Dengan duit yang sedikit itulah mereka pernah berjaya menumbangkan Umno berduit banyak.
    
Orang PAS Selangor mana ada duit. Mereka hadapi Umno Selangor yang dapat banyak nikmat daripada negeri selangor yang terkaya di seluruh negara itu.
     
Semasa Umno hanya kalah di Kelantan dulu, orang Umno mewah berhadapan dengan pembangkang khususnya PAS yang miskin. Duit yang banyak ia pernah kalah di Terenggau, Perak, Kedah dan Selangor.
    
Ia sekarang tidak banyak peluang untuk menyedut duit keraajan Selangor. Bukanlah tiada duit sangat bagi Umno Selangor. Ia ada sumber dari kuasa Umno yang banyak suara atas Petronas, dan semua syarikat GLC. Mungkin cara pengagihan di Selangor itu tidak telus.
     
Najib dapat derma RM2.6 bilion dikatakan untuk politik. Masakan ia tidak boleh melimpah sedikit ke Selangor. Tetapi Pemuda Umno Selangor baru ada pengalaman politik yang PAS alami selama ini. Ia sudah terasa susah. Ia tidak tahan. Pemimpin Umno di negeri lain senang. Hanya Pemuda Umno Selangor yang bangsat.
     
Jika Umno tidak berkuasa lagi di Putrajaya, dengan semangat penat yang dialami Pemuda Umno Selangor, tidak mustahil Umno tutup kedai seperti Parti Negara yang Datuk Onn tubuh dulu.
    
Nampaknya Umno bukanlah wadah perjuangan tetapi tempat orangnya cari makan dan membolot kekayaan. – HARAKAHDAILY 3/4/2016

Share on Myspace