Jika Trump jadi presiden, TPPA ke bakul sampah

SUBKY LATIF | .

WALLAH wa’lam apakah dunia akan sejahtera atau petaka jika Donald Trump jadi Presiden Amerika menggantikan Barack Obama Februari depan?
     
Dari apa yang disuarakannya dalam kempennya, ia amat menggerunkan. Penyokong Parti Republikan meletakkannya calon di depan.
    
Cuma harapan orang Malaysia yang menolak gagasan TPPA, Perjanjian Trans Pasifik ialah jika dia jadi Presiden Amerika, dia berjanji untuk membakulsampahkan gagasan itu.
    
Apa alasannya kita tidak kira sangat. Tetapi TPPA pada rakyat Malasyia yang patriotik, ia akan membawa petaka, seperti negara kita dijajah semula, industri dan perdagangan kita akan ditelan oleh saudagar-saudagar Amerika. Ia sudah dapat kita halang justeru Parlimen cop getah sudah meluluskannya.
    
Kita menunggu bala itu datang saja.
    
Kini Doland Trump berjanji, dia akan membatalkan penyertaan Amerika dalam TPPA atau TPPA itu mati begitu saja tanpa Amerika.
     
Trump belum disahkan menjadi calon Presiden dari Parti Republikan tetapi dia adalah calon yang mendahului. Peratus yang menyokongnya setakat ini tinggi.
    
Modal kempen Trump dikira tidak rasional untuk sebuah dunia yang damai, tetapi majoriti pelampau dari partinya setakat ini menyokongnya. Politik dan polisi tidak rasional itu telah meninggalkan saingannya jauh ke belakang. Hanya keajaiban tidak menjadikannya calon.
    
Jika dia menjadi calon dalam suasana penduduk Amerika cenderung kepada suara Amerika di atas semua seperti dalam bahasa Hitler, Dautchland (Jerman) uber alles, tidak mustahil pengundi Amerika yang fobia IS dan keganasan Islam memihak kepada Trump.
    
Jika undi kepada Trump itu adalah undi menolak TPPA, maka ia adalah satu harapan bagi Malaysia terlepas daripada belenggu TPPA yang menggerunkan.
   
Tetapi adakah TPPA sebenarnya peluang kemakmuran untuk semua anggotanya atau ia demi kemaharajalelaan Amerika saja? Negara anggota yang lain seperti memberi ufti kepada Amerika?
    
Jika semua anggota TPPA akan beroleh peluang dan kekuatan yang sama iaitu equel footing, ketiadaan Amerika tentu tidak akan mengurangkan faedah yang hendak dicari. Tetapi kalau ketiadaan Amerika TPP seperti tidak ada, maka itu tanda bahawa adalah demi Amerika dan Malaysia  adalah tukang angguk.  
   
Bolehkah TPPA jalan sendirian tanpa Amerika?
   
Inilah yang Dr. Mahathir semasa jadi Perdana Menteri dulu sarankan pembentukan Kaukus Pasifik bagi muafakat semua negara yag berpantaikan Lautan Pasifik. Gagasan Mahathir itu tidak memasukkan Amerika.
   
Amerika melalui beberapa negara anak buahnya mendesak supaya Amerika disertakan. Mahathir tidak mahu Amerika ada. Apakah kerana ada Amerika maka Amerika jadi Tuan?
     
Mungkin Kaukus itu tidak bertujuan untuk mengancam Amerika, tetapi ia adalah bagi mencari suatu kekuatan supaya boleh berdiri sama tinggi dengannya. Kaukus itu terbengkalai kerana ditentang Amerika.
     
Sekarang TPPA mungkin Kaukus visi baru yang Amerika ubah suai. Ia menyertakan Amerika, apa yang Mahathir hendak elakkan dulu. Apa yang Amerika tidak dapat dulu, ia peroleh daripada TPPA.
    
Kalau Donald Trump memenangi Rumah Putih, ia peluang bagi kita terlepas daripada belenggu yang menunggu. Itupun jika Trump tidak mengubah wawasannya. – HARAKAHDAILY 11/4/2016

Share on Myspace