Mahathir pun makan dedak, tetapi

SUBKY LATIF | .

TAMSIL yang Dr. Mahathir guna bagi mereka yang mabuk Najib ialah mabuk makan dedak, hampas padi yang jadi makanan ayam dan itik.
     
Itulah yang bekas Perdana Menteri sifatkan bagi sekalian fanatik Najib, tidak kira Najib betul atau salah. Itulah sifat Hang Tuah terhadap Sulatan Melaka, tidak kira baginda adil atau zalim.

Analisis terakhir tentang kesetiaan Hang Tuah itu tidak dikira adil dan terpuji, terutama bagi masyarakat dunia terbuka lagi demokrasi kini, ia adalah sifat hina kaum hamba abdi, yang wujud zaman purbakala, tidak releven dengan alam maju teknologi maya.
     
Tamsil yang Mahathir buat mendapat reaksi para hulubalang Najib, tidak menolak rezeki dedak yang dilambakkan kepada sekalian penyokong Umno, baik kelas pemimpin mahupun kelas akar umbi.
     
Berkata dia, soalnya bukan yang menyokong itu makan dedak, tetapi soalnya yang menentang tak dapat dedak.
     
Orang makan dedak melambang hina dan papa. Ia terkeluar daripada kehidupan insani tetapi masuk ke alam haiwani. Yang makan dedak itu tidak memiliki sifat manusiawi dan memberi orang makan dedak pula adalah haiwan bertopeng manusia.
     
Ibarat yang Mahathir sifatkan itu tidak ditolak oleh sang pembela. Makan dedak, makan dedaklah. Mereka senang dedak jadi makanan asal yang memberinya Perdana Menteri bernama Najib.
     
Tetapi Mahathir membuat tamsil itu ditempelak ia adalah justeru tidak berpeluang makan dedak. Orang yang bersamanya pun tak dapat dedak.
     
Mahathir selama di bawah pentadbiran Najib ditimbun dan tertimbus dalam bukit dedak. Jika dia ayam atau itik, bukan saja boleh kenyang dedak tapi boleh mati kekenyangan dedak.
     
Tetapi di bawah timbunan dedak itu, dia bersuara tentang ketempangan pimpinan Najib dan kucar kacir pentadbirannya, lalu disarannya Najib yang tidak transformasi itu berundur tanpa memikirkan   dia selama ini di bawah timbunan dedak.
     
Rezeki dedak yang dilambakkan kepadanya mungkin jauhlah besar jumlahnya dibandingkan jumlah dedak yang diberi kepada semua. Timbunan dedak itu tidak dapat menutup mulutnya dan tidak pula memejamkan matanya.
     
Dia tidak lemas dengan dedak tetapi dia lemas dengan perbuatan menabur dedak, sehingga orang mabuk dedak rasa pasir juga serupa dedak.
    
Dari celah timbunan dedak itu Mahathir keluar, bukan sekadar dia tidak tertimbus oleh gunung dedak, dia buang semua busut dedak penuh anai-anai yang dibebankan atas pundaknya.
    
Dia tahu akan kehilangan rezeki lumayan sebagai pengerusi Petronas. Dia kemudiannya melepaskan beberapa pengerusi persyarikatan berkaitan kerajaan yang juga mengumpulkan dedak kepadanya.
     
Semua lambakan kemewahan tidak menjadikan dia mabuk dedak. Dia bukan saja jadi sepat tidak makan pacing emas tetapi melihat dedak berwarna emas adalah menjahanamkan kemanusiaan umat dan negara.
     
Ia mahu rakyat hidup dengan nasi kerana nasi adalah rezeki manusia, tetapi tidak menjadikan mereka gila dengan nasi. Nasi sekadar membantu manusia hidup dengan izin Allah, tetapi yang utama jadikan mereka makhluk boleh berfikir tentang kehidupan dan alamnya, tetapi menjadi ayam dan itik yang tidak boleh berfikir asal dilambakkan dedak.
     
Dedak bukan semuanya untuk haiwani berfikir. Manusia mahu mereka dilayan sebagai manusia, bukan sebuah kerajaan dan pimpinan yang menjadikan manusia itu ayam dan itik. Jika manusia sudah seperti itik dan ayam, maka Perdana Menteri adalah berakyatkan ayam dan itik.
     
Sekalipun Nabi Sulaiman jadi raja kepada semua makhluk, tetapi baginda tidak beri dedak kepada manusia. – HARAKAHDAILY 14/4/2016

Share on Myspace