Buang PM luar musim bukan kesalahan

SUBKY LATIF | .

BANYAK menyelar usaha Dr. Mahathir dan kumpulannya untuk menyingkir Perdana Menteri Najib di luar pilihan raya.
    
Dikatakan tidak boleh Perdana Menteri ditukar melainkan melalui pilihan raya. Seolah-olah wajib setiap ketua kerajaan memenuhi penggalnya sama ada ia genap sepenggal atau penggal itu dipendekkan.
     
Apa keadaan pun sabarlah hingga penggalnya matang. Kehendak itu adalah sepatutnya. Seelok-eloknya biar dia menamatkan penggalnya. Sepatut itu bukan syarat. Ada ketikanya tidak patut menunggu genap penggal.
     
Sebuah negara merdeka demokrasi yang terbuka, boleh ketua kerajaan disingkatkan tempohnya dan boleh digenapkan tempohnya.
    
Dunia purbakala, atau dunia sekarang tetapi politiknya purbakala, tidak boleh ada percubaan menukar kerajaan atau pemimpin kerajaan. Suara seperti itu dikira khianat. Yang bersuara begitu alamat pendeklah umurnya, nasib baik kalau jadi tahanan politik seumur hidup.
    
Dunia demokrasi membolehkan sesiapa bersuara minta ditukar perdana menteri tanpa menunggu pilihan raya, baik ada sebab atau tak bersebab. Ia tidak menyalahi undang-undang. Yang salah ialah menggulingkan kerajaan tak ikut perlembagaan atau secara kekerasaan seperti rampasan kuasa.
    
Tetapi kalau sekadar seperti yang dibuat oleh Dr. Mahathir, buat deklarasi rakyat dan adakan tanda tangan seramai-ramainya, bukan satu kesalahan. Cuma kita boleh nilai, patut atau tidak patut.
     
Kalau adakan demonstrasi umum. Baik ada permit atau tidak. Demokrasi membenarkan sekalipun tidak diiklankan secara aman. Ia mungkin salah kalau pesertanya mencecah setengah juta. Tapi kalau berjuta-juta seperti menggulingkan Shah Iran atau menggulingkan Suharto atau ketika membuang Hosni Mubarak di Mesir tidak lagi mudah untuk dikira salah. Cuma kita setuju atau tidak saja.
     
Sejak dunia membuang Raja dari satu negara ke satu negara, hari-hari kita dengar orang England hendak membuang Raja. Tiada siapa bertindak terhadap orang berkata begitu. Ditanya mengapa dibiarkan orang berkata begitu. Mereka jawab negara itu demokrasi. Sampai hari ini Raja England kekal.
    
Kalau yang Mahathir buat terhadap Najib itu tidak bijak, mungkin ada alasannya. Mahathir semasa jadi orang tak parti pernah usaha singkir Tunku Abdul Rahman. Semasa jadi Timbalan Perdana Menteri cuba gulingkan kerajaan PAS Kelantan yang dipilih secara sah. Mungkin dia orang tak rasional.
     
Kalau buang ketua kerajaan separuh jalan satu kesalahan, Najib juga buang Menteri Besar Terengganu dan Menteri Besar Kedah tanpa tunggu pilihan raya. Mungkin sebagai ketua parti dia boleh buang orang-orangnya bila-bila masa. Tapi dia juga buang Menteri Besar Perak dan gulingkan kerajan Pakatan tanpa tunggu pilihan raya.
      
Kalau benda itu salah, masakan Najib dalangi pertukaran ketua-ketua kerajaan di negeri-negeri yang ada kedaulatan dan perlembagaan di Perak, Kedah dan Terengganu. Jika Najib secara teknikal boleh buang PM Abdullah Badawi dan MB Nizar Jamaludin, maka apa salahnya dia pula dibuang.
    
Ada yang kata setakat satu dua kesalahan Najib berilah peluang dia menamatkan penggal dulu. Najib bukan buat satu dua keslahan. Bertimbun-timbun kesalahan. Dibenarkan terus berkuasa, bertambah timbunan kesalahannya.
    
Pemerintah yang baik dan bersih tidak benarkan sekalipun satu kesalahan dan kesalahan kecil pun tak boleh. Dosa sehalus zarah pun dihisab, inikan pula dosa sebesar Gunung Tahan.

Rakyat persoal Saidina Umar al-Khatab kerana ada dua jubah baru. Patutnya sepasang saja. Jelas anaknya, sehelai lagi miliknya. Diberinya kepada ayahnya.
    
Siapa kata kerja Dr. Mahathir tidak ikut perlembagaan. Yang dibuatnya dibenarkan oleh demokrasi. Demokrasi inti dan roh perlembagaan. – HARAKAHDAILY 20/4/2016

Share on Myspace