Nazri berguru tak habis?

SUBKY LATIF | .

MENTERI Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz mengaku bahawa dia bermati-matian mempertahankan Perdana Menteri Najib daripada serangan Tun Dr. Mahathir adalah berdasarkan apa yang dipelajarinya semasa berguru dengan bekas perdana menteri itu.
    
Dia mengaku bahawa dia berguru dengan Dr. Mahathir dan istiqamah berpegang kepada apa diajar kepadanya.
    
Antara yang diajar kepadanya semasa gurunya itu adalah perdana menteri dulu ialah seorang ahli Umno mesti setia kepada perdana menteri yang juga presiden umno kerana dia adalah pemimpin Umno.
    
Dia pun tidak mempersoalnya, lalu dia memberi kesetiaan kpada Perdana Menteri Mahathir, Perdana Menteri Tun Adullah Badawi dan sekarang kepada Datuk Seri Najib.
    
Tiba-tiba apabila memberi kesetiaan tidak berbelah bagi kepada Datuk Seri Najib, Dr. Mahathir pula menyeru sekalian ahli Umno dan rakyat menentang Perdana Menteri supaya berundur.
    
Sikap Nazri ialah dia patuh kepada ajaran tok gurunya kepadanya dan sekarang bersedia untuk berlawan dengan tok gurunya apabila tok gurunya pula tidak patuh tentang apa yang diajarnya dulu.
    
Adapun orang berlawan dengan tok guru sendiri ada berlaku tetapi jarang-jarang. Paling masyhur orang yang tidak setia kepada tok gurunya ialah kisah agama Kristian, seorang murid/pengikut paling rapat dengan Nabi Isa (Jesus) telah jadi orang depan memandu tentera Rom untuk menangkap Nabi Isa.
     
Yang kita hendak tahu ialah adakah habis perguruannya dengan Dr. Mahathir atau Dr. Mahathir telah menyampai semua ilmu hingga khatam. Takut dia tak mengaji habis atau ada yang tok gurunya belum sampaikan dan belum beri ijazah kepadanya.
     
Mengikut kelaziman orang menuntut, sama ada ilmu agama atau ilmu persilatan selepas habis pengajian, tok guru beri ijazah kepada murid dan halalkan semua ilmu yang diajarnya. Selepas itu layak murid itu beramal dan berpegang dengan ilmu yang diturunkan kepadanya.
     
Ada murid yang banyak mengaji tapi tak sempat diberi ijazah dan tok guru belum halalkan ilmu.  Murid macam ini lazimnya tidak berkat dan berlawan dengan tok guru.
    
Nazri sebagai murid tahu atau tidak, sebelum dia mengaji pada tok gurunya, tok gurunya itu pernah berlawan dengan perdana menteri dan presiden Umno sebelumnya iaitu Tunku Abdul Rahman Putra. Nazri tanya atau tidak tok gurunya, apa yang membolehkan tok gurunya berbalah dengan pemimpin Umno dan Perdana Menteri serta menentangnya?
    
Jika Mahathir sebagai tok guru pernah menentang PM dan presiden Umno sebelum jadi perdana menteri dan selepas jadi perdana menteri tentu Nazri tidak diberi ilmu itu atau tidak habis dipelajarinya dari Mahathir.
      
Satu perkara yang Nazri tak habis kajinya, apabila tok gurunya kata, Umno mesti setia kepada perdana menteri kerana dia juga presiden Umno, dia tidak minta jelaskan taat kepada PM/presiden Umno itu mutlak seperti taat kepada Allah dan Rasul. Sedang taat kepada ulil amri pun tidak mutlak, bagaimana dia terima bulat mutlaknya taat kepada PM dan pemimpin Umno.
     
Jika sekarang tok gurunya suruh tidak taat kepada Najib belum tentu tok guru itu langgar apa yang diajarnya, tetapi kemungkinan murid mengaji tak habis. Sebelum murid putus untuk lawan tok guru, baiklah murid mengaji lagi. Berlawan dengan tok guru bukanlah kerja yang mulia. – HARAKAHDAILY 22/4/2016

Share on Myspace