Muhyiddin berpeluang kembali kepada Umno

SUBKY LATIF | .

KATA Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad dalam dialog Umno di Port Dickson, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih diberi peluang kembali kepada Umno.
     
Adakah suara Dr. Abdul Latif itu satu polisi Umno setakat ini atau ia tidak lebih dari satu propaganda?
     
TS Muhyiddin mungkin sudah jauh daripada klik yang berkuasa dalam Umno sekarang, tetapi keadaan itu adalah suatu yang mereka rancang.
     
Muhyiddin sejak awal tidak berbalah dengan Umno. Dia hanya tidak dapat penjelasan yang dikehendakinya atas beberapa perkara termasuk 1MDB dan derma RM2.6 bilion. Dia minta daripada Najib tetapi Najib tidak beri penjelasan yang dapat diterimanya. Ia tidak lebih daripada suatu perbezaan antaranya dengan Najib.
     
Mungkin banyak lagi yang Muhyidin tidak  puas hati kerana takwil orang atas Najib adalah beraga-raga. Mungkin yang lain itu ditelan bulat-bulat oleh Muhyiddin tetapi dia tidak dapat telan atas beberapa perkara yang disebutnya.
     
Bukan Muhyiddin saja tidak puas hati. Ramai yang bersungut dengannya. Tetapi dia berani menyatakan tidak puas hati itu. Ia tidaklah terbuka banyak sebelum dia digugurkan daripada Timbalan Perdana Menteri.
      
Apabila seseorang tersingkir secara keliru siapa yang sanggup jadi macam Hang Tuah terima saja apa yang pembesar Melaka lakukan kepadanya. Kerana ia bersifat politik, pada zaman demokrasi ini payahlah mangsa menjadi oang bisu.
     
Semua akui keduanya ada masalah. Tetapi Muhyiddin tidak ada masalah dengan Umno. Yang jadi masalah ialah Majlis Tertinggi Umno mengganggu haknya sebagai Timbalan Presiden Umno. Dia dihalang daripada meneruskan tugas biasa merasmikan Perhimpunan Agung semua sayap Umno sebelum Perhimpunan Agung diadakan.
     
Tugas Timbalan Presiden itu adalah begitu sejak Umno ada sayap Pemuda dan Kaum Ibunya dulu lagi. Itulah Tun Razak buat di zaman Tunku, Tun Musa Hitam di bawah Mahathir dan Najib di bawah Tun Abdullah dan sepanjang Muhyiddin jadi timbalan hanya sekali ini dia dinafikan hak.
     
Yang menjauhkan Muhyiddin dari Umno perdana bukan dia, tetapi klik Najib yang mentadbir Umno.  Apa yang Muhyiddin buat dan cakap sesudah dia dipinggirkan adalah untuk membela diri dan menyatakan hak yang sepatut diberikan kepadanya.
     
Muhyiddin tidak melihat ada peluang utuk membela diri melalui mahkamah. Dan perlembagaan Umno selepas kejadian penyokong Tengku Razaleigh membuat bantahan di mahkamah atas politik Dr. Mahahir dulu, tidak lagi membolehkan masalah Umno dibawa ke mahkamah.
     
Apa yang dibuat Muhyiddin sekarang ada kerja-kerja politik yang bukan dituju kepada Umno atas sebab anti Umno, tetapi dia sekadar memberi amaran akan bahaya yang Umno akan hadapi jika kepincangan pimpinan Umno  itu tidak diberi perhatian.
    
Umno tutup pintu baginya membuat penjelasan kepada ahli-ahli Umno. Orang Umno tidak berani berjumpa dengannya. Hanya Umno tidak pecat isterinya atau beri amaran kepadanya sebagai ahli Umno  duduk serumah dengannya.
     
Menyeru Muhyiddin kembali kepada Umno tidak berbangkit kerana dia tidak pernah keluar Umno  dan dia masih orang Umno. Mesyuarat Umno yang dia patut hadir pun dia tidak diberitahu, macam mana hendak kata Umno beri peluang kepadanya kembali kepada Umno.
     
Kenyatan Dr. Abdul Latif itu tidak perlu dan tidak dikehendaki. Ia adalah loyar buruk yang amat kelakar. – HARAKAHDAILY 25/4/2016

Share on Myspace