Malang tak dapat dengar persamaan Islam-Hindu

SUBKY LATIF | .

AMAT malang bagi negara dan rakyat atas kunjungan pendakwah terkenal dunia, Tuan Zakir Naik dari benua India telah menimbulkan ketegangan tak bersebab. Malang bagi Tuan Zakir tidak dapat menyampaikan atas tajuk yang dipersetujui penganjur dengannya.

Lebih malang lagi tidak dapat mendengar akan apa yang dikatakan tentang persamaan Islam dan Hinduism.
     
Tuan Zakir Naik diketahui mahir dan menguasai perbezaan dan persamaan kedua agama itu dan mungkin tidak ramai orang semahirnya dalam topik yang hendak dibincangkannya di Melaka itu.
     
Selama ini yang banyak ketahui kedua agama itu tiada persamaan. Sama ada semuanya tahu atas apa yang ada pada kedua-dua agama itu, semuanya kata perbezaannya macam langit dengan bumi dan macam siang dengan malam.
     
Dunia sekarang, tidak dapat hendak dikatakan bertambah terbuka atau bertambah tertutup banyak membincang dan perbandingan sesama agama-agama yang banyak di dunia, tidak sekadar perbandingan antara Islam dan Hinduism saja.
    
Maka pengajian tinggi kita khususnya di Melaka, entah justeru apa memilih tajuk itu bagi tetamunya yang masing-masing selalu tonton di TV.
    
Saya amat tidak sabar unuk mendengar apa yang tetamu itu hendak sampaikan yang pada andaian awal saya boleh memberi faedah kepada semua khususnya penganut Islam yang majoriti di negara ini dan penganut Hindu ada antara minoriti terbesar di negara ini.
    
Semuanya berkata masyarakat majmuk negara ini harmoni. Saya tidak pasti yang dikatakan harmoni itu sekarang lebih baik daripada dulu atau dulu lebih baik dari sekarang? Saya terasa sebelum ada akta hasutan tak berbangkit isu harmoni.
    
Apapun seawal pentadbiran Tunku/Tun Razak dirasakan ada gangguan harmoni itu, lalu dibentuk di Jabatan Perdana Menteri semua Jabatan Perpaduan dipengerusikan Tun V.T. Sambanthan, seorang Hindu, bekas Presiden MIC.
     
Kita tidak tahu kemajuan harmoni kaum itu tetapi dari semasa ke semasa Ketua Polis, pemimpin politik mengingatkan harmoni kaum dan memantaunya. Seperti memantau dadah. Komunis tidak dipantau lagi kerana komunis tak berketul lagi. Dadah terus dipantau kerana dadah penyakit besar. Maka memantau harmoni kaum logiknya ia barang teruk
    
Jabatan perpaduan negara dan akta hasutan seolah-olah tidak berkesan. Jika berkesan tentulah tidak timbul larangan Tuan Zakir hendak bercakap tentang Persamaan Islam dan Hinduism. Kerajaan yang ada sejak tahun 1955 gagal menyemai keharmonian kaum.
    
Perpaduan kaum itu bukan dengan makan durian yang mendiang Tun Sambanthan buat dulu. Tetapi mungkin bercakap tentang persamaan seperti yang Tuan Zakir hendak sampaikan boleh membuka medan bagi merapatkan hubungan. Jika bercakap tentang perbezaan mungkin diteorikan meluaskan lagi perbezaan.
     
Perikatan sebelum digantikan oleh Barisan Nasional bermula dengan bercakap tentang persamaan antara Melayu, Cina dan India. Ia dapat berkuasa dari tahun 1955 hingga sekarng. Tetapi apabila kerabat BN bercakap banyak tentang perbezaan kaum masing-masing BN sudah hilang majoriti dua per tiga.
     
Tuan Zakir baru hendak bercakap tentang persamaan dua agama itu, negara bagaikan di ambang perang. Teruknya harmoni kita. Teruk itu dikatakan kerana tidak terbuka. Masa tidak terbuka dulu kurang teruk. Teruk ini justeru terlalu terbuka.
    
Terbuka dan demokrasi tidak salah, yang salah ialah kepimpinan dari sistem yang lemah. Lagi lama lagi teruk.
    
Justerunya saya hilang peluang untuk mengetahui persamaan dua agama besar itu. – HARAKAHDAILY 27/4/2016

Share on Myspace