Terengganu berembi baru

SUBKY LATIF | .

BARU sekitar sebulan Cikgu Ahmad Razif Abdul Rahman terselamat daripada percubaan menggulingkannya sebagai Menteri Besar Terengganu oleh bekas MB Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.
      
Selamatnya itu nampaknya untuk sementara.
     
Sekonyong-konyong ribut tidak, guruh pun tidak semua bintang kebesaran dari istana padanya dilucutkan oleh Sultan Mizan. Jadilah dia orang yang tidak berbintang. Tinggallah gelaran asalnya sebagai Cikgu.
     
Gerangan apa tidak usahlah dibaca, memadailah jika dikata orang yang dirasa baik yang amat berbeza dengan Menteri Besar yang digantikannya, adalah seorang bermasalah bagi istana dan setengah rakyat bawah yang bukan PAS.
     
Rencana ini ditulis sebelum Perdana Menteri Najib mengadap Sultan atas perkembangan yang mengejutkan itu dan dia masih Menteri Besar.
     
Sultan melucutkan semua bintang saja. Jawatan Menteri Besar diketahui umum disentuh atau tidak. Ia tidak didiamkan dulu. Mungkin sudah ada ketentuan tetapi belum dimasyhurkan. Bergantung pada hasil mengadap Perdana Menteri.
     
Apapun hajat bekas MB Ahmad Said hendak melihat Cikgu Razif digantikan seperti telah makbul.
    
Cikgu Razif tidak tumbang oleh tindakan Ahmad Said, tetapi kedudukannya tidak menentu lagi gara-gara bintangnya diambil balik.
    
Dengan kejadian itu dapat diagak tentang hubungan antara Menteri Besar dengan Sultan. Seminggu sekali Menteri Besar mesti mengadap Sultan bagi memaklumkan perkembangan dalam kerajaan dan perkembangan yang akan datang. Dan dalam sebarang acara rasmi Sultan mesti diiring oleh Menteri Besar.
     
Apabila masalah sudah ada antara mereka, maka sudah tidak selesa lagi. Ia akan jadi perhatian dan tontonan semua.
     
Sepanjang perkembangan selepas merdeka di mana negeri jua, apa wujud hubungan tidak mesra antara Sultan dan ketua kerajaannya, maka jalan keluarnya ia negeri itu mesti beroleh ketua kerajaan baru.
     
Sama ada pertemuan Sultan dengan Perdana Menteri menentukan nasib masa depan Cikgu Razif elok atau sebaliknya, Cikgu Razif mesti membuat keputusan supaya tidak menserbasalahkan lain-lain pihak. Dan supaya Menteri Besar tidak menjadi bola mainan orang-orang terutama yang memperleceh kerajaan.
     
Sama ada Najib tukar Menteri Besar atau tidak, Cikgu Razif tidak selesa jadi ketua kerajaan lagi. Dia secara sukarela mesti memberi laluan kepada orang lain.
      
BN mesti mencari MB baru, baik dibuat serta merta atau menunggu hingga PRU akan datang yang tinggal dua tahun lagi. Menuggu PRU adalah terlalu lama dan macam-macam kerajaan akan diperleceh. Umno dan kerajaan nescaya banyak dimasuk angin.
     
Apa yang terjadi hingga bintangnya dilucutkan, dilihat sebagai satu kelemahan dan tidak berwibawanya. Terengganu tidak wajar berembi sementara. Akan menambah perebutan kuasa sesama Umno apabila tidak wujud ketua yang  jelas di negeri itu.
     
Dengan kejadian itu markah Ahmad Said naik. Seolah-olah dia membuat tindakan betul bila mahu Razif digantikan dulu.
     
Semua yang berlaku itu jadi cerita baik untuk PAS. – HARAKAHDAILY 29/4/2016

Share on Myspace