Puteri KPN saudagar senjata

SUBKY LATIF | .

MAKA menjadi virallah apabila anak perempuan Ketua Polis Negara menjadi saudagar senjata.
     
Maka KPN sendiri, yang biasanya mudah memberikan pencerahan tentang apa saja, tetapi lambat tampil membuat pencerahan tentang perniagaan senjata dilesenkan kepada anaknya. Anak berniaga  senjata itu bukan anak laki-laki, tetapi anak perempuan.
     
Maka yang mula membuat penjelasan ialah orang bawah KPN. Memanglah bapak sendiri payah untuk memberi justifikasi tentang penglibatan anak-anak terutama dalam perkara yang boleh mendatangkan fitnah dengan bidang kuasa si bapa.
    
Di mahkamah pun orang yang ada hubungan darah dan pertalian keluarga payah diterima sebagai saksi yang bebas. Hakim tidak membicara kes anaknya, bahkan hakim juga mesti mengelak jadi hakim kepada kes besannya.
     
Demikian kebijaksanaan sistem keadilan mengelak sebarang kes yang bersifat saksi ke lutut.
     
Mungkin KPN tidak membuat pencerahan awal bagi mengelak jadi saksi ke lutut yang boleh mendatangkan fitnah. Tetapi tidak pula boleh ditolak KPN mungkin dapat beri pejelasan yang terbaik dan memuaskan orang ramai dalam hal yang sedang disiasat itu.
    
Kenyataan Bukit Aman atas keadaan itu ialah sesiapa bebas dan berhak untuk menjalankan sebarang perniagaan. Anak raja, anak polis atau anak ulama bebas menjalankan apa-apa perniagaan.
    
Tetapi dalam dunia yang fobia dengan rasuah, kronisma dan nepotisma, pembabitan keluarga terdekat dalam perniagaan di bawah bidang pengaruhnya mudah mendatang buah mulut orang atau fitnah sekalipun ia tidak bercanggah dengan peraturan.
    
Orang tidak boleh takwil anak polis mengambil kontrak membina masjid atau membina lebuh raya. Jika Samy Vellu semasa menjadi menteri kerja raya tiba-tiba katakanlah anaknya dapat konsesi membina jalan raya, maka orang akan bising.
    
Ramai anak raja terlibat dalam perniagaan, tetapi kalau anak raja dapat kontrak membina istana, nescaya bising seluruh alam.
     
Orang tidak bising jika anak KPN dapat permit sebagai pembekal gula dan tepung. Tetapi perniagaan senjata adalah perkara keselamatan dan amat berkait rapat dengan KPN.
     
Dalam berita awal perniagaan anak KPN tidak disebutkan lesen itu untuk satu daerah atau satu negeri atau pembekal tunggal senjata bagi seluruh negara. Nescaya mudah menimbulkan persepsi negatif. Katakan lesen itu diluluskan oleh menteri dan mungkin KPN tak tahu, pun mengundang fitnah juga.
    
Yang diberi lesen itu pula anak perempuan. Senjata adalah bidang yang payah melibatkan orang perempuan. Pistol, bom, peluru berpandu, lembing dan tombak biasanya bukan benda yang cocok dengan sifat kelemahlembutan orag perempuan. Kecualilah anak perempuan berwatak tomboy. Mana-mana ibu bapa malu kalau anak perempuannya berwatak laki-laki.
      
Orang laki-laki tidak suka kahwin dengan perempuan bersifat jantan. Dan kalau anak KPN itu laki-laki  pun akan jadi fitnah juga diberi lesen jual senjata. Eloknya elak desas-desus, perniagaan senjata beri kepada orang lain. Anak KPN buat perniagaan lain. Kita ada 1,001 perniagaan.
     
Kalau permit diberi kepada anak Tun Hanif Umar atau anak laki-laki Rahim Noor, fitnah itu boleh dielakkan kerana mereka bukan lagi berkhidmat dengan polis.
     
Apapun perniagaan anak KPN ini orang kira perniagaan KPN sendiri. Jika KPN rasa ia satu perniagaan yang perlu diceburinya dan keluarganya, dia mesti bersara dan mohon perniagaan. – HARAKAHDAILY 4/5/2016

Share on Myspace