Kerajaan campuran PAS - Umno II

SUBKY LATIF | .

AHMAD Nazlan, MP dan Ketua Umno Bahagian Jerantut menggesa PAS dan Umno menyahut segara saranan Dr. Zakir Naik supaya bersatu dengan membentuk kerajaan campuran.
    
Kerajaan campuran PAS dan Perikatan pertama kali dibentuk tahun 1973 oleh Almarhum Tun Razak dan Almarhum Datuk Asri.
    
Ia berakhir dengan berkecai.
    
Sekarang zaman anak Tun Razak, Perdana Menteri Najib dan TG Haji Abdul Hadi pula agar mengulangi sekali lagi apa yang gagal tahun 70-an itu. Logiknya dielakkan kegagalan lagi.
     
Semua tahu PAS serik akan politik seperti itu. Maka tiadalah ia memikirkannya. Bukan tidak menghormati saranan Dr. Zakir dan tidak juga menghampakan sekalian Umno. Cuma ia serik.
    
Justeru Umno nampaknya hendak sangat, apa kata PAS bersetuju dengan syarat-syarat yang boleh diterima oleh kedua pihak. Pertama apa yang Umno hendak beri kepada PAS?
    
Tentulah yang pertamanya tentang kabinet. Orang PAS yang jadi Anggota Parlimen sekarang jadi menteri, timbalan dan setiausaha parlimen jika jawatan itu ada lagi. Jika hendak sama banyak mungkin semua MP PAS berjawatan belaka.
    
Umno tidak keberatan.
    
Tapi siapa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri? Kalau Perdana Menteri Najib juga, setujukah TG Haji Hadi jadi Timbalan Perdana Menteri? Tak acilah kalau Zahid juga TPM.
    
Maka menjadikan orang PAS TPM adalah kewajaran yang amat minima. Bukan suatu keterlaluan juga dikira hendak harga perpaduan yang dicadangkan tadi. Umno menjunjung sangat perpaduan, maka ia perlu sedia memberi kerana PM itu amat kecil dibandingkan dengan perpaduan.
     
Bahkan demi perpaduan dan masa depan orang Melayu, Umno jangan kira sangat tentang Perdana Menteri. Apalah Perdana Menteri dibandingkan dengan masa depan orang Melayu. Mungkin tidak adil PAS menuntut jadi Perdana Menteri.
     
Tetapi tidak ganjil kiranya Perdana Menteri itu digilirkan. Enam bulan TG Haji Hadi jadi Perdana Menteri, DS Najib jadi Timbalan Perdana Menteri. Lepas enam bulan Najib jadi PM semula dan TG Haji Hadi pula jadi TPM begitulah seterusnya disambung hingga PRU 14.
    
Di Kelantan pula enam bulan Datuk Ahmad Yaakub jadi MB dan Datuk Mustapa Mohamad jadi Timbalan Menteri besar. Lepas enam bulan Tok Pa pula jadi MB dan Datuk Mat jadi TMB.
     
Bilangan Menteri tak perlu dibesarkan. Maka setengah daripada menteri Umno sekarang mesti sedia turun jadi penyokong kerajaan.
     
Umno jangan bantah pula jika PAS mahu kuatkuasakan hudud di Kelantan. Najib jangan banyak takwil hal itu.
      
Paling berat yang PAS terpaksa tanggung apabila ia setuju ialah beban penipuan 1MDB, derma RM2.6 bilion. Perdana Menteri dan semua jawatan kabinet itu tidak menjadi apa erti dengan biawak hidup PAS bakal pikul dalam kerajaan campuran itu.
     
Semua hutang negara dan segala beban GST yang mencekik rakyat itu PAS kena tanggung. Bukan berkongsi jadi menteri saja tapi berkongsi segala pelentung yang Umno buat. Itu sebagai satu tanggungjawab yang cuba diselesaikan.
     
Apa Umno fikir? Tak apa PAS sedia pikul beban itu kerana ia satu tanggungjawab semua orang. Umno jangan fikir PAS mencari kesempatan, tetapi lebih berat daripada perpaduan yang Umno kata itu ialah, ia terpaksa menyelamatkan Umno.
     
Tiada apa rugi PAS jika Umno tak setuju. Yang susahnya kalau Umno setuju. – HARAKAHDAILY 9/5/2016

Share on Myspace