Orang tiada OSA laporan Ketua Audit Negara

SUBKY LATIF | .

BIASANYA Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan di Parlimen, terbuka untuk perbahasan semua orang baik dalam Parlimen atau luar Parlimen.
    
Tujuan Audit Negara itu diadakan pun adalah demi menjadikan semua perbelanjaan negara oleh kerajaan telus. Jika boleh tiada sesen pun tidak diguna unuk tujuan yang betul.
     
Itulah amalam semua negara demokrasi di dunia.
     
Akan tetapi di bawah Perdana Menteri Najib ini, sekonyong-konyong Laporan Ketua Audit Negara tentang tadbir kewangan 1MDB diOSAkan. Sedang yang anjurkan Ketua Audit Negara mengaudit itupun kerajaan juga setelah bising perjalanan syarikat itu ditakwil.
     
Maka mengikut loghat orang Perak kerajaan sengaja hendak maru atau membuang tabiat mangOSAkannya. Maru itu bererti mencari nahas dan buang tabiat itu tanda ganjil seorang sebelum mati.
      
Tiada mana-mana kerajaan dan ketua kerajaan yang sihat dan terbuka akan meletakkan laporan itu di bawah OSA, apa lagi jika laporan itu tidak membawa sesuatu yang buruk yang menyulitkan lagi kerajaan khususnya ketua kerajaan.
     
Tindakan itu sengaja meletakkan kerajaan dan Perdana Menteri dalam fitnah apa lagi ia dan dia memang penuh diselubungi fitnah.
     
Pernah Tan Sri Ahmad Nordin, Ketua Audit Negara ketika Dr. Mahahir baru jadi Perdana Menteri dulu mengetuai satu jawatankuasa penyiasat tentang pembunuhan seorang pegawai Bank Bumiputera yang dihantar menyemak syarikat kewangan bank itu di Hong Kong.
     
Laporan yang disiapkan dibentang kepada umum. Cuma kerajaan pada masa itu tidak terima kandungannya. Apakah kerajaan wajar bersikap begitu? Baik wajar atau tidak wajar, kerajaan masa itu membenarkan ia didedahkan. Tidak pula ia diOSAkan. Terbuka kepada semua orang untuk membincangnya.
     
Tetapi sekarang laporan Ketua Audit Negara yang semua sebelumnya dibentangkan kepada umum, tiba-tiba yang ini diOSA dan jika ia bocor nescaya adalah orang didakwa dan hukum.
      
Undang-undang seperti OSA ini lazimnya terdapat dalam negara fasis dan pemerintahan komunis. Semua yang berlaku dalam negara dirahsiakan. Hanya yang tertentu saja orang boleh diketahui umum. Dunia mengira apa yang diumum itu bukanlah fakta bahkan ia penuh dengan propaganda.
     
Sebelum Jabatan Audit Negara menjalan arahan tentang 1MDB ini telah ada arahan juga kepada Jabatan Peguam Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (Public Accounts Committee - PAC), SPRM dan Bank Negara membuat kerja yang serupa.
     
Semua agenda ini telah diganggu. Peguam Negara bertukar, Pengerusi dan beberapa ahli PAC dijadikan timbalan menteri hingga kerjanya terbengkalai, petugas SPRM ditukarkan ke JPA dan belum sempat mula kerja ditukar balik SPRM dan pandangan Bank Negara dipersoal mendorongkan Gabenornya bersara. Ketua Audit Negara tidak kedengaran diapa-apakan, tetapi laporannya diOSA.
     
Semua orang baru di agensi yang diganggu tadi yang telah menamatkan penyisatannya mendapati Perdana Menteri bersih. Di semua negara fasis pemberitahuannya dikira propaganda, maka apa yang menghalang menyangka pembersihan itu adalah satu propaganda?
     
Dipercayai laporan Ketua Audit itu diOSA kerana ia bukan propaganda. Propaganda tidak diketahui betul atau tidak betul. – HARAKAHDAILY 10/5/2016

Share on Myspace