Tiada menyesal PAS keputusan PRN Sarawak

SUBKY LATIF | .

PRN Sarawak 7 Mei lalu tidak memberi sebarang kerusi kepada PAS. Adakah ia kecewa?
    
Semua propembangkang kecewa dengan keputusan buruk pembangkang dan menyesal ia adalah natijah perpecahan sekutu parti-parti pembangkang bermula dengan PAS putus tahaluf dengan DAP.
     
Pandangan sekalian propembangkang PAS lah akan terkesan besar petaka itu dan DAP tidak akan banyak dilanda kecederaan.
     
Sekalipun DUN Sarawak tidak diisi barang seorang PAS pun, tetapi ia tidak pernah menyesal. Pengalamannya sejak menyertai pilihan raya tahun 1955 di Semenanjung rata-rata pencapaiannya seperti yang ada di Sarawak itu. Barulah dalam dua PRU lalu ia boleh kerusi di Perak, Selangor, Pahang dan Johor.
     
Jika lebih separuh abad baru ia merasa satu di Negeri Sembilan dan satu di Melaka, maka ia tidak dapat memikirkan keajaiban dengan percubaan awal di Sarawak. Tetapi Islam yang jadi pegangannya tidak mengajar penganutnya berputus asa. Ia sabar dan yakin dengan bersendirian ia boleh menuju kejayaan dan keredhaan masa depan.
    
Tetapi yang poranda adalah bekas sekutu pakatan pembangkangnya. Sekalipun DUN Sarawak masih berisi  DAP dan PKR, tetapi PRN11 itu adalah lebih buruk dari PRN10. Paling kecewa ialah DAP.  
    
Jika yang terjadi di Sarawak itu adalah bayangan PRU14, maka harapan Pakatan Harapan tidak memberi banyak harapan. Mungkin semuanya mahu meletakkan bala itu pada PAS, tetapi marahkan PAS tidak menyelesaikan masalah muafakat sekutu pembangkang. PAS cabut dari sekutu itu kerana apa yang pembangkang hendak capai tidak memberikan banyak keuntungan politik pada perjuangannya.
      
Bahkan semuanya mengira ketiadaan PAS dalam muafakat iu adalah lebih baik kerana tempat PAS  itu tidak dibiarkan kosong. Lebih setahun sebelum PAS bertempur dengan DAP, pengganti PAS telah disediakan yang tentunya  tidak akan memaksa politik hudud kepada mereka.
     
Pakatan Rakyat pasca PRU13 tidak banyak membantu memperkuat PAS, tetapi lebih didorong bagi memecahkan PAS. Gara-gara Pakatan cenderung bagi menjadikan ia sekutu tiga parti kepada sekutu empat parti, yang ke empat itu ada dari kalangan PAS sendiri, maka PAS bertindak secara teknikal mengekalkan tahalufnya dengan PKR saja.
    
Dari tahaluf tiga parti, PAS mahu Pakatan tinggal dua. Tanpa DAP. Usaha menjadikan ia pakatan empat parti diusahakan juga dengan menukar jenama kepada Pakatan Harapan, tetapi jenama baru itu kekal tiga juga tanpa PAS.
     
PRN Sarawak adalah ujian pertama bagi pakatan jenama baru. PAS memang sudah tidak masuk kira. Ia memang sendirian berhad. Tanpa PAS, jenama baru gagal mempamerkan tanpa pertandingan sama sendiri.
     
Selepas ditinggal PAS itu DAP tidak dapat mengulang kejayaannya dalam PRN10. Pengaruh PAS tidak ada di kawasan yang DAP bertanding, tetapi setelah tiada PAS yang disangka tiada pengaruh itu tidak pula dapat mengekalkan sepakatan seperti zaman PAS ada dalam Pakatan dulu.
     
Sekalipun DAP mungkin akan dapat bangkit, tetapi kesan politik anti PAS yang terdekat ialah semua kecewa atas PRN itu. PAS saja tidak kecewa kerana belum dapat apa-apa. PAS akan terus dengan caranya selagi ada Islam dan Agong. – HARAKAHDAILY 13/5/2016

Share on Myspace