Tiada kuasa raja henti Najib?

SUBKY LATIF | .

APAKAH Deklarasi Rakyat pimpinan Tun Dr. Mahathir dapat sejuta atau lebih tanda tangan memungkinkan Raja menekan Najib digantikan dipertikai oleh rata-rata penganalisis politik.
     
Gambaran yang diberikan ialah ia akan sia-sia jika usaha itu mengharapkan tindakan daripada Majlis Raja-Raja.
     
Alasannya ialah perlembagaan tidak memberi peruntukan itu kepada Raja. Sekalipun 10 juta yang menandatangan, tiada apa yang Raja dapat buat.
     
Belum ada yang menyanggah pandangan itu bahkan Dr. Mahathir sendiri belum memberi pencerahan atas isu itu. Setakat ini yang difahamkan kumpulan tandatangan itu akan diserahkan kepada Majlis Raja-Raja.
     
Sebagai penganjur tandatangan Deklarasi Rakyat, itu saja langkah awal yang penyokong dapat buat.
     
Jika Raja tiada kuasa membuang ketua kerajaan, apakah kita boleh kembali kepada perkembangan membuang Menteri Besar Pakatan Rakyat di Perak oleh Sultan Perak tahun 2009?
     
Masa itu ada pandangan bahawa, MB Datuk Seri Nizar Jamaludin tidak boleh dibuang oleh Raja mengikut cara yang dilakukan pada masa itu. Para penganalisis politik dan perlembagaan tidak memberi pandangan yang meluas.
    
Menteri Besar boleh dilucutkan setelah usul undi tidak percaya diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri. Setakat MB hilang majoriti, tetapi DUN tidak bersidang bagi membincangkan usul tidak percaya itu, masih Raja tidak boleh pecat dia.
    
Itulah pandangan yang diberi oleh penyokong Pakatan Rakyat tetapi tiada siapa mendengarnya. Sultan tidak dihalang oleh pengamal undang-undang mengadakan acara perlantikan Menteri Besar baru. Yang menghalangnya orang-orang jalanan saja.
     
Perlembagaan negara dan perlembagaan negeri Perak tidak dicabar tentang perlucutan ketua kerajaan itu.
    
Jika tiada peruntukan perlembagaan Raja boleh lucutkan Perdana Menteri, apakah boleh demokrasi ini mengambil perlucutan Menteri Besar Perak itu sebagai kaedah melucutkan Najib?
     
Maka isu Najib tidak boleh dilucutkan oleh kuasa Raja, maka ia boleh mengundang orang membuka semula perlucutan jawatan Nizar dulu.
    
Tak usahlah kita bangkitkan orang makan gaji dengan kerajaan tidak menyoal peristiwa di Perak itu, tetapi apabila mereka membangkitkan isu Najib tidak boleh Raja buat apa-apa, tidakkah ia menyindir  dan memberi tafsiran yang betul terhadap tindakan di Perak itu dulu?
    
Jika isu ini jadi polemik, maka bolehlah diertikan kewajaran cara membuang Nizar boleh dipertikai. Atau apa yang Dr. Mahathir cuba lakukan terhadap Najib, Raja dan perlembagaan adalah satu kiasan terhadap kesahihan tindakan Najib mendalangi pembuangan Nizar dulu.
    
Apapun, apakah ia tidak ikut perlembagaan atau tidak, maka dengan mengumpul sejuta atau lebih tandatangan, adalah isyarat ramainya orang tidak sukakan ketua kerajaan. Sekalipun ia tidak jadi kaedah membuang PM mengikut perlembagaan, tetapi ia tanda kelemahan ketua kerajaan dan kerajaan. Ketua kerajaan dan kerajaan yang lemah tidak elok bagi rakyat dan sebuah negara.
    
Negara yang elok ialah ketua kerajaannya bermaruah dan kerajaannya stabil.
     
Kita tunggu apa pula Dr. Mahathir kata tentang isu yang membabitkan Raja itu? – HARAKAHDAILY 17/5/2016

Share on Myspace