Tidak siapa boleh larang tanding tiga penjuru

SUBKY LATIF | .

DI mana-mana sekarang, baik dalam Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Kecil di luar Pulau Pinang bertanding tiga penjuru atau lebih akan memberikan kemenangan selesa kapada Barisan Nasional.
     
Ia ada realiti politik di negara ini. Itulah sebabnya menjelang PRU 1999 semua parti pembangkang terutama PAS dan DAP menyuarakan politik satu lawan satu. Semua tahu pertandingan tiga penjuru adalah yang amat selesa bagi BN.
    
Maka dalam beberapa PRU yang lalu pembangkang berjaya mewujudkan politik satu lawan satu dan ia memang nahas bagi BN dan sepanjang Mahathir memimpin BN, dia buat apa saja menghalang wujudnya politik satu lawan satu.
     
Politik satu lawan memang sukar berlaku di mana-mana di dunia. Apabila Pakatan Rakyat dapat capai, ia ada keajaiban. Pada PAS ia adalah anugerah Allah.
    
Mewujudkannya susah, maka mengekalkannya pun susah. Patutnya dicari formula mengekalkannya. Tetapi semuanya tidak mencari formula itu. Maka ia berkecai bila PAS tarik diri bertahaluf dengan DAP. Hendak mencantumkan benda yang pecah memang payah.
    
PAS bila tarik diri, tiada mahu bersama dengan yang lain kecuali PKR. Tapi yang masih bersama dalam Pakatan Harapan pun tak upaya pertahankan satu lawan satu. DAP ada hujah dan PKR ada hujah mengapa tak boleh elak lawan banyak penjuru?
    
Sekarang datang PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. PAS dari awal isytihar akan bertanding di kedua-duanya. Siapa nak lawan silakan. Ia mungkin tidak dapat dielak.
     
Banyak pro satu lawan satu menyesalinya, justeru politik pecah itu mengutungkan BN. Pro pembangkang yang tidak menyertai pertandingan berhak menyesalinya. Mereka berhak membantah dan pandangan mereka betul.
    
Akan tetapi ada yang kata begitu tidak berhak menyesalinya kerana mereka dari belum politik itu pecah menyumbang kepada perpecahan itu khususnya mereka yang meninggalkan PAS. Mereka menyediakan diri unuk menggantikan PAS dalam Pakatan dengan menubuh NGO. Ada juga orang PAS ikut. Mereka tak keluar PAS dulu tapi sudah jadi parti dalam parti.
     
Kemudian mereka sertai orang PAS yang menubuhkan parti sendiri. Menubuhkan NGO anti PAS dan parti lain menentang PAS, puncaknya adalah bertentang dengan PAS dalam pilihan raya. Dalam PRN Sarawak mereka berlawan dengan PAS. Bila PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar mereka ajak PAS jangan lawan banyak penjuru kerana ia untungkan BN. Dianjurkan PAS berunding.
    
Yang ini tidak layak menganjurkan begitu. Jika mereka sendiri mengadakan kumpulan baru menentang PAS, maka mereka tidak layak bercakap tentang satu lawan satu. Tindakan mereka menambah bilangan parti pembangkang yang tujuannya juga untuk bertanding. Di mana mereka hendak bertanding yang tidak disertai oleh PAS sedang semasa dalam PAS dulu mereka tidak biarkan BN menang percuma?
     
Adakah dengan mereka keluar PAS, maka PAS tak usah bertanding! Biar mereka saja bertanding?
     
Ia adalah politik kartun. Tidak ada dalam dunia orang berpolitik begitu. Maka ia adalah politik buluh kasap. Hujung ilang, pangkal lesap. – HARAKAHDAILY 20/5/2016

Share on Myspace