Tun M seru pembangkang bersatu kalahkan BN

SUBKY LATIF | .

DEMI mengalahkan calon BN dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar 18 Jun ini, Tun Dr. Mahathir menyeru parti-parti pembangkang supaya bersatu dengan mengulangi strategi satu lawan satu.
     
Ramai orang boleh gila dan mengira Dr. Mahathir juga sudah gila kerana menyeru pembangkang yang ditentangnya sepajang hidupnya supaya bersatu mengalahkan calon parti yang pernah dipimpinnya sebelum menjadi Perdana Menteri, semasa menjadi Perdana Menteri dan selepas menjadi Perdana Menteri.
     
Mahathir mengambil masa lebih dari dua tahun menegur pimpinan dan pentadbiran Perdana Menteri Najib. Bermula dengan menyindir pendiriannya tidak tetap, menggesanya bertegas dengan membetulkan dasarnya, menyerunya supaya berundur secara terhormat dan akhirnya menyeru supaya dia ditumbangkan.
     
Kerana Umno bukan sekadar tidak ikut anjurannya, bahkan mereka kutuk dia, maka dia ulangi apa yang pernah dilakukannya keluar Umno. Kemudian dia berpakat dengan pembangkang dan sekalian orang yang sudah penat dengan PM Najib mengadakan kempen Deklarasi Rakyat, mengumpulkan sejuta tanda tangan sekurang-kurangnya bagi diserahkan kepada sekalian Raja-Raja.
   
Tanda tangan itu sudah melewati sejuta, masih diteruskan, akan disampaikannya sendiri kepada para Raja sebagai satu usaha menjatuhkan maruah Perdana Menteri. Tidaklah dengan tanda tangan itu Perdana Menteri dapat digantikan serta merta, tetapi ia telah menjadi Perdana Menteri seorang Perdana Menteri tidak bermaruah.
    
Apapun Mahathir tetap berhati Umno dan belum memikirkan untuk menyertai parti pembangkang. Selama Najib jadi Perdana Menteri dan Presiden Umno dia tidak akan kembali kepada Umno.
     
Sekarang dia gesa pula pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar termasuk Umno jangan mengundi calon Barisan Nasional. Orang dia sudah sanggup seru orang jangan undi lagi calon BN kerana dia tidak setuju lagi dengan PM dan pimpinan Umno.
    
Dia tidak gila dan dia tahu apa yang dibuatnya. Dia tahu dia akan dicerca oleh orang Umno tetapi dia adalah orang politik yang tidak berpolitik secara membabi buta.
    
Dia suruh turunkan Pak Lah kerana mendapati penggantinya itu  lemah. Dan sekarang dia mendapati Najib tidak berguna kepada negara dan rakyat. Dia mahu negara ditadbir oleh orang pada pandangannya baik dan berguna besar kepada negara dan rakyat.
    
Bukanlah apa yang dibuatnya itu semata-mata perangai dan sikap buruknya. Tetapi dia buat apa yang pernah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Tunku menyerang tiga Perdana Menteri berturut-turut iaitu Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahahir.
    
Tunku sokong penubuhan parti baru oleh kalangan orang Umno bagi menentang Umno. Tunku naik pentas PAS bagi mengkritik kerajaan dan pemimpin Umno. Malah dalam PRK Pantai Merdeka, Kedah, Tunku kempen bagi pihak calon PAS menentang calon Umno.
     
Apa yang Mahathir buat sekarang sama seperti apa yang Tunku buat dulu. Tiada siapa kata Tunku gila dan jahat. Tiada siapa mencadangkan supaya gelaran Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia yang diberi kepadanya ditarik balik.
     
Mengapa Tunku dan Mahathir buat begitu? Kerana mereka tahu politik dan politik itu adalah satu kesempatan bagi membela kesejahteraan bangsa dan negara. Parti adalah alat bagi mencapai cita-cita pembelaan itu. Bila parti dan pemimpinnya tidak dapat memberikan kebaikan, bahkan meruntuhkan negara dan rakyat, maka orang tahu politik mesti buat sesuatu.
    
Itulah yang Tunku dan Mahathir buat. Adakah saya setuju dengan dasar mereka. Ia adalah perkara lain. Mereka tidak gila. – HARAKAHDAILY 24/5/2016

Share on Myspace