Tiada satu lawan satu di Sungai Besar, Kuala Kangsar

SUBKY LATIF | .

PERTANDINGAN satu lawan satu dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang diideal oleh parti-parti pembangkang amat payah dilaksanakan.
    
PAS telah menempah dari awal kedua-dua PRK Parlimen itu justeru ia adalah calon dalam PRU13 dulu. Kerana PAS telah membuat pengumuman awal, payah hendak difikirkan ia akan mengubah pendirian itu.
     
PKR sebagai rakan tahaluf PAS yang masih bertahan dilihat mengelak dari bertindan dengan PAS, bahkan minatnya yang utama ialah mahu PRK itu pertandingan satu lawan satu. Maka ia sedia menjadi orang tengah merundingkan supaya tiada yang mencabar PAS nanti.
     
DAP telah menyatakan ia tidak berminat menyertai PRK itu, samalah seperti sikapnya sebelum tercapainya konsep satu lawan satu selepas kemunculan PKR. Sekalipun tiada apa-apa persefahaman antara PAS dan DAP masa itu, DAP tidak meletak calon di kawasan yang PAS bertanding.
     
Tetapi Pakatan Harapan berminat dan dipercayai tidak melepaskan peluang. Sekalipun DAP tidak meletak calon seperti yang disebutnya, tetapi ia akan menyokong proksinya dari parti perkongsiannya.
     
Sekalipun orang Melayu yang benci Umno mulai tertarik kepada DAP, ia tidak gopoh meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu. Pada waktu DAP cuba menarik orang Melayu menyokongnya, ia cuba mengelakkan berulang kejadian seperti Tunku Aziz. Tunku diangkat jadi Timbalan Pengerusi DAP dan senator, kemudiannya keluar menjadi  anti DAP yang tiada tara.
     
Dari DAP dimalukan sekali lagi seperti itu, maka DAP lebih berminat dalan suasana yang ada kepada proksinya dalam Pakatan baru.
    
Kerana DAP dirasakan mewakili pengundi bukan Melayu, maka majoriti pengundi bukan Melayu akan memberi sokongan kepada calon proksi DAP.
     
PRK ini adalah ujian awal bagi mereka yang meninggalkan PAS apakah ia dapat menggantikan PAS bagi mewakili parti pro-Islam. Banyak pandangan mengira ia tidak dapat memudarkan populariti yang PAS peroleh selama ini, tetapi pada ketika orang mengira pengundi bukan Melayu tidak akan menyokong PAS justeru setia mereka pada DAP, maka majoriti pro-DAP itu akan memberi undi kepada proksi DAP.
     
MCA dan Gerakan belum dilihat pulih terutama di luar bandar. Dengan segala kerenah yang kerajaan Umno dan BN alami sekarang lagi payah mereka menyokong BN. Maka baki yang tidak menyokong DAP dan proksinya terbagi dua kepada BN dan PAS.
    
Kebanyakannya ragu BN boleh dikalahkan dalam pertandingan lebih dari dua penjuru. Dan harapan BN pun bergantung kepada kecelaruan yang menimpa pembangkang pada masa ini. PAS juga mengira ia terganggu kiranya ada calon pembangkang yang lain. Baginya ia adalah ujian benarkah ia tidak lagi dapat meraih sokongan bukan Melayu.
     
Sekalipun ia mungkin mengganggu PAS, tetapi PAS mahu mempertahankan maruahnya. Bertanding dalam PRK itu demi menjaga maruahnya. Ia telah memaklumkan ia pernah kalah dan pernah menang, pernah ada seorang saja Anggota Parlimen, pernah jatuh dan pernah bangkit, ia bersedia mengharungi badai dan gelombang.
    
Ia mahu menang di Kuala Kangsar dan Sungai Besar dalam PRK iu, tetapi penyertaannya itu adalah bagi menempah moral dan kedudukan yang kuat untuk PRU akan datang. Jika ia tidak bertanding kali ini, harapannya dalam PRU kemudian bertambah kabur.
     
Untuk semua, PRK ini adalah ujian terakhir menjelang PRU. Jika tidak bertanding, payah baginya menghadapi PRU. Maka satu lawan satu jadi pertimbangan kedua. – HARAKAHDAILY 27/5/2016

Share on Myspace