Ada orang Semenanjung disekat ke Sarawak

SUBKY LATIF | .

SAYA keliru atas helikopter nahas yang membawa MP Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang berlepas dari Betong, Sarawak ke Kuching. Saya sangka dari Bentong Pahang. Maka saya komen atas ia dari Bentong. Bila saya sedar ia bukan dari Bentong bahkan dari Betong, saya tawakuf penyiarannya bagi mengelakkan kekeliruan. Tetapi isu yang disentuh adalah releven baik ia dari Betong atau dari Bentong.
     
Maka saya siarkan sepenuhnya apa yang ditulis pada 06 Mei lalu. Moga-moga anda ketepikan apa yang keliru, pakai yang releven saja.

KITA katakan ‘Inna lillah wainna ilaihirajiun’ atas helikopter dan orang di dalamnya dari Semenanjung yang tidak tiba di Sarawak hari yang ia patut tiba.
     
Ucapan itu tidak semestinya ia terhempas dan penumpangnya terkorban. Moga-moga ia selamat dan ia tiba beberapa hari kemudian. tetapi tidak tiba itu satu musibah dan setiap musibah itu disampaikan oleh orang Islam dengan ‘Inna lillah...’
     
Tidakkah kejadian itu ingatan Allah terhadap larangan manusia berkuasa terhadap orang Semenanjung tertentu tidak boleh ke Sarawak ketika tertentu dan kalau sudah berada di Sarawak mesti keluar masa tertentu? Orang yang dikehendaki saja boleh datang dan yang tidak dikehendaki tidak boleh datang.
    
Sekalipun ada  peruntukan itu ketika Malaysia dibentuk 1963 dulu tetapi adakah masih releven selagi ada bulan dan matahari?
    
Pengembaraan yang musibah itu adalah membawa orang Semenanjung yang dipercayai bagi meraikan Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 7 Mei, yang sepatutnya tidak boleh masuk lagi selepas 5 Mei. Jika yang sudah di dalam mesti keluar pada 5 Mei, maka bagaimana yang di luar boleh masuk pada  5 Mei?
    
Macam hendak menyamai kuasa Tuhan, yang berkuasa mengizin masuk sesiapa yang dikehendaki-Nya dan tidak mengizin masuk sesiapa yang dikehendaki-Nya.
    
Sekalipun ia acap dilakukan oleh pembesar-pembesar yang Allah pinjam kuasa kepadanya, tetapi apa rasionalnya kuasa itu diguna sewenang-wenangnya? Apa jua kuasa yang diguna tanpa rasional yang jelas mudah jadi zalim. Zalim mengikut al-Quran adalah sedarjat kesalahan fasik  dan kafir.
    
Bukanlah yang dilarang itu tidak boleh ke Sarawak langsung. Masa tertentu saja justeru hendak menunjukkan ia ada kuasa. Dia guna bila dia mahu. Kalau raja, itu namanya beraja di hati.
    
Saya bersama Almarhum TG Nik Aziz datang berceramah PAS di Kuching pada zaman Ketua Menteri Taib Mahmud. Hotel yang ditempah membatalkan tempahan. Tiada hotel menerima kami. Nasib baik kami diselamatkan oleh Tun Patinggi Abdul Rahman Yaakub, bekas Yang Dipetua Negeri. Kami jadi tetamu di kediamannya.
    
Kuasa yang dipinjamkan kepada manusia itu boleh dicabut bila-bila masa terutama bila ia digunakan ikut sekehendak hati. Itulah yang dinamakan mengikut hawa nafsu.
    
Allah hendak tunjukkan betapa hamba-Nya tidak boleh bertindak seperti kuasa Tuhan. Bila orang yang kerajaan tidak suka tidak boleh berada di Sarawak selepas 5 Mei bagi tujuan pilihan raya, maka Allah tunjukkan orang kerajaan suka tidak boleh tiba juga ke Sarawak pada 5 Mei.
    
Ia mahu mengisyaratkan kepada yang berkuasa, berhati-hatilah mengguna kuasa. Pastikan ia diguna seadilnya, bukan ikut hawa nafsu.
    
Hari ini Sarawak sekat orang Semenanjung hendak ke Sarawak. Sangat gembira pembesar Sarawak dapat buli orang Semenanjung. Apa kata kalau orang Semenanjung sekat orang Sarawak masuk Semenanjung? Atau benar masuk beberapa hari saja. Lepas itu mereka disuruh balik?
    
Maka mereka akan mengugut hendak keluar Malaysia. Maka orang Semenanjung pun gugup. Sarawak boleh sekat orang Semenanjung. Orang Semenanjung tunduk dan runduk.
    
Apa kata kalau Semenanjung setelah disekat ke Sarawak. Ugut pula Semenanjung hendak keluar Malaysia?  Seronokkah Tan Sri Adenan Satim?
 
Ha! Ha! Ha! – HARAKAHDAILY 28/5/2017

Share on Myspace