Pimpinan Najib kian kuno

SUBKY LATIF | .

KERAJAAN yang ada ini sudah berkuasa dua tahun sebelum merdeka dan sejak merdeka ia saja yang memerintah.
     
Sepatutnya dengan pengalaman yang lama dan banyak itu ia bertambah mantap dan cemerlang. Lepas ia berPerdana Menterikan Najib mulai 2009 ia langsung tidak cemerlang, gemilang pun tidak dan langsung tak terbilang.
     
Yang terakhir ia jadi bertambah kuno. Tiba-tiba Marina Chin Abdullah, aktivis terkenal masyarakat dilarang meninggalkan negara. Tiada apa-apa penjelasan. Dan sekarang orang yang tak sehaluan dengan kerajaan mesti pastikan dulu nama masing-masing boleh keluar negara atau tidak.
     
Era perang dingin 50-an, 60-an hingga 80-an negara-negara tabir besi komunis yang fasis dan kuno saja menghalang rakyatnya keluar negara, justeru ia dikira satu pelarian dan mereka mencari suaka politik di luar negera.
    
Orang yang jadi pelarian itu mendedahkan segala keburukan dan kuno negaranya dan mereka ada yang bekerja untuk menggulingkan kerajaan yang tertutup itu.
     
Masyarakat yang macam itu tiada lagi. Dunia sekarang sudah terbuka. Pemerintahan yang releven, prorakyat, terbuka dan telus tidak rasa bimbang kerja memburukkan kerajaan di luar negara, kerana masing-masing cukup keterangan untuk menangkis semua tidak berasas.
     
Hanya kerajaan yang hidup atas propaganda, tidak dapat meyakinkan dunia akan ia telus, bersih dan adil saja yang curiga rakyatnya keluar negara.
    
Ketika Cuba yang kuno itu pun mula mengendurkan orang yang hendak ke Amerika, maka Malaysia di bawah Najib cuma mahu masuk ke sistem yang Cuba hendak keluar daripadanya.
    
Jika Marina itu bahaya dan ancaman tidak pula dia dihalang ke mana-mana dalam negeri. Orang-orang yang mungkin terlarang juga bebas berkempen dalam pilihan raya dan boleh masuk pilihan raya. Keluar negara tak boleh.
     
Saya ada pengalaman semasa jadi pemimpin PAS dulu. Saya keluar negara melalui Rantau Panjang. Semasa keluar sistem komputer imigresen tak berfungsi. Semasa balik tiga jam kemudian, saya disekat kerana nama saya adalah antara orang tak boleh tinggalkan negara. Saya terpaksa tunggu Polis Rantau Panjang lebih sejam bagi melepaskan saya balik.
    
Lepas itu kalau saya hendak keluar negara, saya terpaksa jumpa polis lapangan terbang minta jasa baiknya memberi laluan pergi. Saya difahamkan pemimpin PAS banyak yang kena macam itu.
    
Tindakan kuno itu lenyap. Kini ada semula. Mengapa bertambah mundur?
    
Patutnya, bertambah banyak pengalaman kerajaan tidaklah jadi macam zaman batu lagi. Orang yang ada masalah dengan jenayah, muflis dan lain-lain mungkin wajar diperhati polis. Tetapi orang yang tak setuju dengan kerajaan dan politik negara jadah apa disekat?
       
Bagi kerajaan yang kuno dan pemimpn yang penuh keburukan, tiada pembangkang keluar negara pun dunia tahu pekungnya.
     
Najib ada akaun bank RM2.6 bilion bukan pembangkang yang beritahu orang luar negara. Media luar negara yang bagitahu orang dalam negara. Kedutaan asing di Kuala Lumpur lebih banyak tahu tentang haprak kerajaan dan pemimpinnya daripada Kit Siang  dan Mahfuz Omar.
      
Lama berkuasa patutnya bertambah matang. Tidak seperti lama hidup yang lazimnya banyak tak ingat dan ada jadi bayi semula. Itu sebabnya satu kerajaan tidak boleh terlalu lama. Bila lama ia kuno. Walapun Najib baru enam tahun tetapi dia mewarisi sistem usang, lapuk dan kering daya berfikir. Barang kuno yang terpakai yang antik saja. – HARAKAHDAILY 2/6/2016

Share on Myspace