Kursus kahwin bukan syarat sah nikah

SUBKY LATIF | .

DULU orang Islam tak perlu kursus untuk kahwin. Tetapi sekarang kedua bakal pengantin kena tunjuk sijil telah menjalani kursus kahwin.
     
Ia bukan rukun nikah tetapi ia kaedah bagi mempermudah pasangan yang hendak mendirikan rumah tangga menjalani hidup berumah tangga. Maka ia mempermudah jurunikah tidak perlu tanya itu dan ini pada pengantin laki-laki dalam istiadat akad nikah.
     
Eloknya kursus ini boleh dijadikan peluang dakwah kepada pasangan pengantin.
    
Tidak banyak kita melihat nikah itu satu ibadat. Nikah seolah-olah untuk menghalalkan laki-laki dan perempuan hidup serumah dan bagi menyambung zurait. Justeru banyak acara jahiliyah menyerikan acara perkahwinan kita.
     
Tetapi nikah itu jadi senang jika diingatkan bakal pengantin bahawa nikah adalah satu ibadat. Rukun nikah yang dipenuhi selama ini adalah tuntutan ibadat. Ia adalah syarat sah nikah.
    
Adapun syarat sah itu saja belumlah menjadikan pernikahan itu satu ibadat yang sempurna atau terbaik.
   
Seperti solat. Orang solat mesti menutup  aurat. Aurat bagi laki-laki dalam solat memadai menutup antara lutut dan pusat. Sah sembahyangnya tetapi ahli fekah menasihatkan orang solat berpakaian seindah selayaknya semasa berhadapan Allah. Kalau rakyat berpakaian sopan mengadap raja, masakan mengadap Allah sekadar berkain dan tidak berbaju sekalipun solatnya sah.
    
Aurat antara pusat dan lutut itu buat masa kecemasan. Tidaklah sama pahala solat berpakaian sempurna dengan sekadar menutup  aurat sedang baju ada dan kopiah pun ada.
    
Maka apa yang boleh mengindahkan nikah sebagai satu ibadat supaya ia dapat pahala penuh. Bukan sekadar pahala cukup makan saja.
    
Sepanjang yang dikatakan acara perkahwinan, semua pengantin pada zaman pembangunan berpakaian indah tetapi tidak menutup aurat terutama pengantin perempuan. Menutup aurat itu wajib. Tidak menutup aurat haram. Maka yang tidak menutup aurat itu menjadi ibadat dalam berdosa.
    
Ada yang berkata, laki-laki tidak boleh berinai kecuali menginai rambut. Perempuan tidak salah. Jika pengantin laki-laki berinai, dia telah buat benda yang tidak boleh semasa ibadat nikah itu.
    
Jurukursus dan pejabat agama yang menetapkan kursus kahwin itu patut memperincikan apa yang boleh mencacatkan ibadat nikah pengantin. Ibadat nikah yang sempurna akan memudahkan hidup rumah tangga yang sempurna dan akan melahirkan zuriat yang elok akhlaknya.
    
Jika sepanjang nikahnya diiring dengan kegiatan yang tidak berpahala atau mengurangkan pahala, bererti padangan itu menempah hidup rumah tangga dan zuriat yang tidak terjamin kehidupan Islamnya. Tidaklah padan bagi seorang Islam itu menjadi orang Islam awam saja. Dia patut orang Islam lebih baik dari Islam awam.
     
Maka kesempatan bakal pengantin dikenakan kursus, patutlah dakwah terakhir diberi sebelum mereka kahwin, supaya mereka memastikan nikahnya berlangsung sebagai ibadat yang sempurna.
    
Zaman kita ini masyhur dengan motivasi. Bagilah melalui kursus itu satu motivasi berkesan kepada bakal pengantin supaya mengingatkan keluarganya jangan jadikan nikah dicampur dengan amalan orang jahiliyah. Moga-moga rumah tangganya bebas daripada debu dan daki jahiliyah dan supaya zuriat yang dilahirkan tidak mewarisi dan mengembangkan budaya jahiliyah. – HARAKAHDAILY 5/6/2016

Share on Myspace