Mustahil Azmin mahu singkir PAS

SUBKY LATIF | .

PERKARA yang paling tidak masuk akal Menteri Besar Azmin Ali mahu menyingkirkan PAS daripada Pakatan Kerajaan Selangor atas isu siapa patut menentang BN dalam PRK Sungai Besar?
     
Antara PKR bertanding di situ dengan isu satu lawan satu, maka lebih utama bagi Azmin ialah bertanding satu lawan satu. Bagi tujuan itu dia hendak sangat berunding dengan PAS.
     
Bagi PAS pula perundingan bukan bagi menentukan siapa akan bertanding tetapi bagaimana PKR dan parti-parti yang bersama dengannya dapat membantu PAS dalam PRK itu.
    
Sekalipun Azmin berharap sangat partinya diberi laluan tetapi tidaklah sampai dia hendak memecat tiga exco pas dalam kerajaan Selangor.
     
Dalam semua kemungkinan Azmin tidak akan buat kerja itu kerana kerajaan yang ada di bawah pimpinannya yang mahu dan mempertahankan PAS ada di dalamnya ia sikap tegas Azmin sendiri.
     
PAS Tidak ada kuasa dan bukan pihak yang menentukan ia mesti ada dalam kerajaan Selangor apabila Pakatan Rakyat secara teknikalnya berakhir setelah PAS putus tahaluf dengan DAP.
     
PAS memang mempertahankan keberadaannya. Tetapi DAP mahu penyertaannya dalam kerajaan diakhiri. Tidak ada yang PAS dapat buat kerana penentunya Azmin. Azmin dapat redakan sikap DAP bagi mengekalkan PAS dalam kerajaan.
     
Maka setelah dia berjaya menstabilkan politik kerajaan di Selangor, dan PAS senang dengan kerajaan Azmin, tidak termasuk dalam akal Azmin akan runtuhkan kerajaan yan dipimpinnya.
      
Bacaan saya Azmin mahu PAS bersamanya bukan sekadar dalam menghadapi PRK di Sungai Besar ini bahkan dia mahu bersama PAS dalam PRU yang akan datang.
     
Mungkin PKR tidak seronok desngan reaksi PAS atas Langkah Kajang dan sokongan kuatnya kepada Tan Sri Khalid Ibrahim, tetapi selepas isu itu selesai, Azmin dan PKR mahu terus bersama PAS sekalipun PAS tidak akan bersama dengan Pakatan Harapan.
     
Ketika semua orang tidak mahu lagi PAS berada dalam pakatan pembangkang, PKR tidak putus asa mahu menjelang PRU nanti PAS boleh dibawa bersama dalam poliik satu lawan satu.
     
Maka dengan senario itu tidak diterima akal Azmin mahu memecat PAS dari kerajaan Selangor hanya atas perbezaan sikap tentang ketegasan PAS untuk bertanding dalam PRK.
     
Saya tidak dapat bayangkan apa yang diributkan itu datang dari sikap Azmin dan PKR. Masa depan politik PKR, secara matang dan bijaksana adalah bersama PAS antara lainnya. Tidak nampak PAS boleh ditiadakan dalam politk negara setidak-tidaknya bagi 50 tahun lagi.
     
Selagi PAS ada maka tidak boleh dan tidak bijak PKR tidak bersama PAS.
     
Yang diributkan konon Azmin mahu menyingkir PAS, mustahil atas kebijaksanaan PKR dan Azmin, tetapi ia adalah gara-gara kelicikan dan kegiatan kaum perisik dalam dan luar negeri yang mahu mencemarkan PAS dan mahu menyekat terus peluang Putrajaya bertukar tangan.
     
Jika PAS dan PKR dapat dipecahkan politik rasuah dapat dikekal. Sekuat manapun anti rasuah DAP, dengan membalut DAP dalam selimut perkauman, selesalah bagi kaum zalim mengekalkan Putrajaya dalam genggamannya.
     
Maka jangan sesiapa patut masuk dalam perangkap melagakan PAS dan Azmin atas PRK Sungai Besar. – HARAKAHDAILY 7/6/2016

Share on Myspace