David Cameron beli kereta terpakai buat isteri

SUBKY LATIF | .

PERDANA Menteri British David Cameron tentunya tidak berasa malu membeli kereta terpakai untuk isterinya yang harganya sekitar dua ribu paun.
     
Kereta yang dua ribu paun di Britian adalah kereta yang baik yang tidak banyak masalah.
     
Perdana Menteri itu boleh beli kereta baru untuk isterinya. Tetapi kerana ada kereta terpakai yang keadaannya masih baik dan harganya murah pula, maka ia adalah satu sikap yang baik bagi keluarga seorang pemimpin.
     
Bahkan bagi orang kita yang ada status sedikit dalam masyarakat, bukan sekadar tidak mahu guna kereta terpakai, memilih pula jenama yang terbaik dalam pasaran.
    
Orang tidak pertikai jika David Cameron guna duit sendiri untuk beli kereta baru untuk isterinya. Dan mungkin orang tidak kisah sangat kalau isterinya menggunakan kereta kerajaan sekalipun dalam urusan persendirian.
     
Boleh dikira isteri David Cameron memilih hidup yang sederhana dan menjaga nama baik suaminya sebagai pemimpin kerajaan, kerana pemimpin negara adalah contoh terbaik bagi rakyat.
    
Dan jika menggunakan kereta terpakai itu mencerminkan kehidupan keseluruhannya, mengelak bermewah-mewahan, mengelak mengambil kesempatan menggunakan kemudahan kerajaan, tentulah dia mengelakkan fitnah untuk suaminya sebagai seorang Perdana Menteri. Tentulah ia contoh yang baik bagi mana-mana pemimpin apa lagi kalau dia Islam.
    
Mungkin itu adalah contoh amal Islam daripada orang bukan Islam.
    
Saya teringat apa yang diriwayatkan tentang kunjungan seorang ulama Mesir ke Britain. Komennya orang barat mengamalkan kehidupan yang dikehendaki Islam, tetapi ajaran Islam itu tidak amalkan oleh orang Islam di negara Islam sendiri.
     
Pemimpin adalah perhatian rakyat. Pada zaman terbuka ini, isteri juga jadi perhatian. Isteri kadang-kadang lebih sudu dari senduk.
    
Masyarakat takwil apabila mendapati Saidina Umar al-Khatab ada dua jubah. Orang lain ada sehelai jubah, maka dari mana beliau ada dua helai. Orang takut khalifah salah guna duit baitulmal. Anaknya menjelaskan, jubah yang sehelai lagi adalah untuknya tetapi diberikannya kepada bapanya.
     
Khalifah Umar Abdul Aziz memadam pelita rasmi kerajaan apabila anaknya datang mengenai urusan peribadi dengannya. Dia tidak mahu harta kerajaan digunakan untuk urusan keluarga.
    
Mungkin David Cameron ada imbasan amal Islami yang ada pada khalifah Umar Abdul Aziz yang masyhur itu.
     
Amat berbeza cara hidup Perdana Menteeri Inggeris dan isterinya. Ia mungkin jelmaan dari amalan telus masyarakat. Amalan telus pemimpin dan kerajaan tidak terjadi begitu saja, tetapi kepekaan dan kewaspadaan rakyat yang bermaruah dan merdeka mendorong pemimpin dan kerajaan bersikap mulia.
     
Amat malang bagi masyarakat feudal, orientasi bangsanya yang leka dan lalai, orang biasa yang jadi pemimpin berlagak dan mengambil kesempatan untuk menjadi feudal juga, bahkan lebih teruk daripada feudal purba.
   
Baru dua tiga hari jadi menteri, anak sudah bermotokar besar. – HARAKAHDAILY 7/6/2016

Share on Myspace