Daruratkah Umno calon orang dalam idah?

SUBKY LATIF | .

ADALAH benar politik dunia itu tiada yang mustahil. Tetapi amat payah bagi orang Islam yang konservatif untuk merasionalkan balu MP Kuala Kangsar dijadikan calon BN dalam PRK sedang dia dalam idah.
     
Datin Mastura Mohd Yazid, balu Almarhum Wan Mohamad Khair-il diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri menjadi calon mengganti suaminya sekalipun hukumnya sebagai seorang yang dalam idah telah diambil kira.
    
Hukum yang diterima pakai umat Islam semua mazhab idah seorang balu empat bulan sepuluh hari dan bagi yang hamil hingga selesai urusan kelahiran anaknya. Dalam tempoh idah itu dipantangkan meninggalkan rumah.
     
Bagi dunia yang terbuka balu yang berkerjaya dipercayai ada kelonggaran untuk menunaikan tanggungjawab di pejabat tetapi tidaklah dikira manis melencong ke lain selepas pejabat. Kelonggaran pantang ini pun patut diberi pencerahan supaya tiada yang melanggar pantang.
     
Pada hari pengumuman calon itu dia tidak hadir kerana menjaga adab dan pantang itu. Tetapi calon patutnya berada di tengah masyarakat di luar rumah bagi menunaikan kempen. Bagaimana calon hendak bertemu pengundi di merata lokaliti dalam kawasan supaya tidak terlanggar pantang larang?
    
Ia tidak pernah berlaku dalam masyarakat Islam sebelum ini. Maka ahli-ahli hukum wajar memberi penjelasan yang dapat disepakati supaya orang Islam tidak melanggar hukum atau meremahkan hukum justeru politik.
    
Penganut agama yang konservatif biasanya berpegang kuat pada hukum idah ini. Lebihnya Islam itu  ia berpegang pada hukum. Jangan sampai orang Islam dikira cincai tentang pantang larang.
    
Takut kita malu dengan adat resam dan pegangan agama lain. Mendiang Dr. Lim Chong Eu, Presiden MCA yang bermasalah dengan Perikatan di bawah Tunku menjelang PRU 1959 dikatakan menolak menjadi calon kerana berkabung atas kematian bapanya. Kita tidak tahu apa sandaran hukum dan pegangan mengikut agamanya dan adatnya.
     
Yang jelas dia tidak meremahkan kepercayaannya.
     
Mengapa Umno sengaja memilih orang dalam idah sedang Umno punya ribuan ahli untuk jadi calon? Adakah kerana ia sengaja hendak mencabar hukum idah yang dikira ketat? Atau mahu mengubah pegangan terhadap hukum itu selama ini.
    
Rasulullah SAW menikahi janda anak angkatnya bagi membatalkan adat jahiliyah pantang kahwin janda anak angkat kerana anak angkat dikira anak sendiri. Tindakan baginda untuk membetulkan hukum. Tetapi untuk apa Umno mencalonkan balu dalam idah.
     
Waris diajar tidak melakukan sesuatu yang bercanggah dengan peraturan bagi mengelakkan keresahan ahli kubur. Dalam tempoh idah seseorang dikehendaki tidak membuat sesuatu yang boleh mendatangkan fitnah. – HARAKAHDAILY 8/6/2016
    
Menjadikan calon orang dalam idah membuka medan pertembungan pandangan bagi orang Islam sedang orang Islam banyak isu yang belum selesai.
    
Begitu ramai ahli Umno yang tidak jadi masalah boleh dicalonkan, mengapa memilih orang yang dalam idah? Lainlah jika Umno dalam darurat. Kerana darurat balu berkerjaya terpaksa ke pejabat. Datin tidak berdepan darurat. Mencalonkannya menyebab timbul isu baru.
     
Bolehkah calon dikecualikan daripada kempen kerana idah dan kiranya menang tungguh tamat idah baru memulakan sendiri duti wakil rakyat dan tangguh angkat sumpah sehingga tamat idah?
    
Amat membimbangkan Umno telah menyediakan ruang bagi calonnya terdedah dalam perlangaran pantang larang idah. Apakah ia tidak mengganggu ketenangan ahli kubur? – HARAKAHDAILY 8/6/2016

Share on Myspace