Kita bertuah kalau Donald Trump menang

SUBKY LATIF | .

SEKALIPUN calon Parti Republikan dalam pilihan raya Presiden Amerika, Donald Trump tidak popular di kalangan masyarakat antarabangsa, malah bagi ramai pengundi Amerika, tetapi mungkin ada tuahnya bagi kemerdekaan Malaysia jika dia terpilih menjadi Presiden negara itu.
     
Saya adalah bersama sekalian orang Islam di seluruh dunia getik dan benci terhadap pendiriannya terhadap Islam.
    
Dia dipercayai tidak akan dapat satu pun undi Islam dengan dasarnya terhadap orang Islam. Dia tidak mahu orang Islam masuk ke negara itu baik untuk melancong, lawatan sosial, apa lagi datang menetap bagi mencari rezeki atau hijrah.
    
Dasarnya itu menghina penduduk Islam negara itu dan ia boleh menambah buruk hubungan Amerika dan barat dengan dunia Islam. Jika pembesar Amerika yang tidak berkata buruk tentang Islam pun memberi banyak kebaikan kepada Islam dan orang Islam, apa yang diharapkan kepada seorang sepertinya yang benci kepada Islam.
    
Memang asasnya agama Yahudi dan Nasrani tidak redha barang sekelip matapun terhadap Islam, tetapi dalam dunia yang terbuka sekarang kebanyakan mereka berdiplomasi mahu hidup bersama dengan semua orang termasuk Islam. Pada ketika dasar Amerika tentang Israel adalah 100 peratus pro Yahudi, tetapi rata-rata pemimpin Amerika cuba melunakkan Israel tentang Palestin.
    
Justeru pengaruh lobi Yahudi itu amat besar di kalangan pengundi di Amerika, maka setiap calon terpaksa jadi pro Israel. Akan tetapi Donald Trump jelas menyuarakan sikap anti Islam seperti ajaran agama Yahudi dan Nasrani.
     
Apapun Islam tidak ada pengaruh dalam penentuan kalah menang calon dalam pilihan raya Presiden. Bahkan 100 pengundi Islam tidak memberi undi kepada Trump belum tentu boleh menjejaskan kemenangan Trump.
     
Sekalipun dengan dasar benci Islamnya itu tidak jadi penentu kemenangannya untuk menjadi Presiden Amerika yang baru, tetapi tidak boleh dipandang rendah sikapnya itu dapat menarik perhatian puak pelampau di Amerika.
     
Islam tidak mengharapkan apa-apa dari calon yang berhati dan berotak Abu Jahal dan Abu Lahab itu tetapi rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kedaulatan dan kemerdekaan Malaysia mungkin ada  tuah jika calon yang kita getik itu dapat jadi Presiden.
     
Dia telah menyatakan secara lantang bahawa dia tidak berminat dengan projek dan dasar TPPA tajaan Amerika yang Malaysia adalah anggota dan pencarumnya. Suara popular rakyat Malaysia adalah menentang pakatan kerjasama dagang dan ekonomi Transpasifik itu kerana para saudagar gergasi Amerika akan menelan kemerdekaan dan wibawa rakyat dan negara kita.
     
Dalam dagang bebas yang berpayungkan kapitalisma yang menindas itu, mana ada pedagang bersikap belas dan kasihan kepada pihak yang lemah dan tidak cukup banyak modal. Yang terkaya dan terkuatlah yang menguasai segala-galanya.  
     
Semua yang prihatin mengingatkan kerajaan kita betapa perkongsian TPPA itu Malaysia akan kenyang dengan kuah tetapi isi habis masuk tembolok kalau modal Amerika.
    
Rakyat Malaysia dan negara yang tidak berdaulat itu tidak dapat halang kerajaan yang sudah dimabukkan oleh para pelobi Amerika. Tiada cara kita dapat lepas dari belenggu yang kita sudah sertai itu. Tiada jalan bagi Malaysia untuk merdeka kembali.
     
Mungkin kita bertuah kerana Donald Trump tidak suka perkongsian itu. Jika dia menang perkongisan itu mungkin diketepikan. Demikian saja kita terlepas dari perangkap kaum yang zalim itu.
    
Tuah itu bukan kerana kita bijak tetapi kerana calon Presiden yang tidak bijaksana. – HARAKAHDAILY 9/6/2016

Share on Myspace