BN jangan ganggu ahli kubur!

SUBKY LATIF | .

MENGAPA balu yang dalam idah diwajib tidak melanggar pantang idah yang digariskan oleh Islam?
     
Justeru menjaga akhlak dan adabnya sebagai balu yang baru meninggal. Dan sebarang tindakan balu itu dalam pantang empat bulan sepuluh hari itu nescaya ada ganjaran dan kesannya kepada suami yang baru menjadi ahli kubur.
     
Kiranya balu menjaga adabnya, maka tenang, sejuk, terang dan lapanglah kuburnya, justeru dia meninggalkan seorang balu yang menjaga semua pantang larangnya. Dan jika melanggar adab yang ditentukan, dibimbangi gelisahlah ahli kubur.
    
Gerangan itu balu dikehendaki sangat menjaga adab dalam tempoh idah dan semua waris serta sekalian jiran yang soleh membantu supaya balu itu dapat melalui tempoh yang amat mencabar itu.
    
Datin Mastura Yazid, balu MP Datuk Wan Khairil Anuar yang terkorban dalam kemalangan helikopter di Sarawak dijadikan calon oleh BN dalam PRK Kuala Kangsar.
     
Niat mencalonkannya mungkin baik dan mungkin satu kesedaran baru sebagai mengenang dan menghormati Waibi yang kematian. Ia boleh dikira cara menghormati Waibi yang pergi itu.
     
Tetapi niat mesti mengikut kaedah yang ditentukan. Solat mesti dimulakan dengan niat khusyuk kerana Allah, tetapi kalau rukun 13 solat dilanggar, solat mungkin cacat bahkan batal.
    
Tanggungjawab orang Islam tidak sekadar menjaga kebajikan balu dan sekalian waris yang terdekat, tetapi kebajikan ahli kubur juga wajar dihormati. Selain dari amal soleh dan sedekah jariah yang dibawanya ke kubur, doa anak-anak yang soleh serta doa/adab balu memberi kebahgiaan kepadanya.
     
Orang ramai terutama rakan/taulan mesti membantu orang dalam kubur dengan segala yang boleh menenangkan balu dan anak-anaknya reda dengan kejadian supaya ahli kubur tidak gelisah dengan tindakan orang di luar kubur.
     
Dibimbangi  tindakan orang di luar kubur, dengan menjadikan balunya sebagai calon dalam tempoh idahnya, boleh mengganggu ketenangannya. Memang dalam tempoh itu Datin Mastura menghadapi ujian dan cabaran besar. Jadi calon itu adalah satu ujian yangbelum pernah dialami oleh mana-mana balu sebelum ini.
    
Calon banyak tanggungjawab berkempen dan menemui pengundi. Ia boleh menjerumuskannya dalam satu fitnah yang menonjol. Alhamdullilah Datin itu dapat membebaskan diri dari fitnah itu apabila dia dibebaskan oleh partinya dari kempen.
    
Mungkin beberapa ujian besar dapat dilalui tetapi dicalon ketika dalam idah itu sendiri adalah mendedahkan  semua dalam fitnah. Jangan kata orang dalam kubur tidak terkesan dengan sebarang hubungan dan perkiraan semasa menawarkannya menjadi calon.
     
Sekalipun beberapa ujian besar dapat dilalui, maka belum tentu semua  tuntutan pantang larang itu dapat ditangkis. Siapa yang begitu arif bahawa segala pantang larang dapat dielakkan dengan menjadi calon?
    
Di dunia Datin telah diganggu ketenangannya untuk menumpukan kesetiaan kepada suami yang menjadi arwah. Dikubur juga arwah boleh terganggu atas masalah yang dihadapi oleh balu. Gangguan atas sebab idah itu hanya akan habis setelah tempoh idah itu habis.
     
Kebimbangannya ialah BN boleh dikata mengganggu orang hingga sampai ke alam kubur. Ia boleh dielakkan. Mengapa tidak dielakkan? – HARAKAHDAILY 9/6/2016

Share on Myspace