Yang di sisi saya Ustaz Halim Abdul Rahman

SUBKY LATIF | .

SAYA tiba awal di Dewan Putik lokasi Muktamar PAS ke-62. Khamis, 2 Jun lalu.
     
Bentara memandu saya ke baris depan di depan pentas pimpinan. Protokol mendudukkan saya di sebelah seorang warga emas yang sudah sedia di situ. Kerusi kami setentang dengan kerusi Presiden TG Haji Abdul Hadi dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Ahmad Yaakub.
     
Saya bersalam dengan tetamu itu dan terus duduk di sebelahnya. Saya tidak membuka mulut terhadapnya, Saya senyum saja. Dia juga senyum dan tidak menyapa saya.
    
Untuk beberapa minit kami tidak bertegur saya. Mulanya saya hendak memperkenal diri saya kepadanya sambil hendak bertanya siapa dia dan dari mana. Tetapi tak terkata. Kepala saya ligat hendak mengetahui siapa dia. Dia tentulah orang penting PAS kerana itulah dia didudukkan sebelah saya.
    
Dia warga emas dan saya pun sepertinya.
    
Saya pun bangun bertemu sapa tetamu-tetamu lain di bahagian lain di baris depan juga. Sambil bercakap dengan diplomat asing dan tetamu dari Turki dan Palestin, saya perhatikan juga orang di kerusi sebelah saya itu. Tiada kenal saya akannya.
    
Saya kembali ke kerusi saya dan terus tidak mengetahui siapa yang di sebelah. Macam mula-mula tadi juga.
     
Ramai yang datang bersalam dengannya dan dengan saya. Saya percaya saya kenal dia tetapi tidak tahu siapa dia. Dia pula  tidak juga bersuara semasa bersalam dengan orang yang menyapanya.
    
Allah mengilham saya, tanpa sesiapa beritahu, dia rupanya adalah Ustaz Abd Halim Abd Rahman, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan dan bekas Bendahari PAS Pusat.
    
Saya tidak tunjukkan terkejut kerana baru menyangkanya. Saya tidak nampakkan yang saya baru mengecamnya. Saya tujukkan seolah-olah saya tahu dia sejak saya mula tiba.
    
Saya bercakap tentang suatu yang umum. Dia membalas. Dari suaranya saya tahu dia adalah dia. Kalau dari mula tadi dia bersuara begitu tidaklah otak saya terbang hingga ke langit ke tujuh untuk mengetahui siapa orang di sisi saya.
     
Kami menyelesaikan kebuntuan itu seolah-olah saya tidak mengecamnya dari mula. Dia memang telah beberapa tahun uzur, tidak keluar rumah. Pergerakannya pun dipantau sepenuh masa. Saya pernah menziarahinya di rumah selepas Muktamar ke-61 dulu. Banyak soal politik semasa yang segar baginya, tentang perkembangan dalaman PAS dan analisanya tentang politik masa depan pembangkang.
     
Pada pagi itu dia juga segar pengetahuan pergolakan politik termasuk tindakan merajuk ahli-ahli tua parti hingga mendiri kumpulan sendiri.
    
Ternyata yang uzur hanya kesihatannya. Hati dan otak politiknya tidak uzur.
    
Dia bertanya usia saya. Itulah soalan yang banyak dikemukakan kepada saya oleh orang-orang yang hadir baik tua mahu pun muda. Jawab saya, kurang dua bulan 76. Beritahunya, dia sudah 77 tahun.
     
Saya bercadang untuk menziarahinya sekali lagi. Pertemuan pagi itu telah memenuhi hajat saya itu.
    
Saya perhati dia dari dekat dan kemudian dari jarak jauh sedikit. Apa yang menyebabkan saya tidak camnya dari mula? Tiada apa beza dulu dan sekarang. Cuma muka berisi sedikit.
    
Itulah kudrat Allah. Kadang-kadang dilupakan-Nya orang dekat dengan kita tapi diingatkan-Nya orang jauh dan lama tidak berjuma. Kadang-kadang kita lupa nama orang di depan kita dan ingat nama orang tak pernah dijumpai seperti Puteri Diana.
     
Semasa saya uzur Ustaz Halim ziarah saya memberi beberapa botol minyak kelapa. Saya tidak minum kerana takut ia menyumbang kolestrol. Saya baca pendapat doktor pakar Amerika, amalan minum minyak kelapa memulihkan ingatan orang nyanyuk. Saya hendak tanya dia di mana dia dapat minyak itu? – HARAKAHDAILY 13/6/2016

Share on Myspace