Misi PAS di PRK mulakan perubahan sistem

SUBKY LATIF | .

APAKAH tawaran PAS kepada pengundi dua Pilihan Raya Kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun ini?
    
Ialah untuk memulakan perubahan sistem yang menyeluruh dalam politik, ekonomi, sosial dan kehidupan seharian penduduk yang kemuncaknya dilaksanakan dalam PRU14 nanti. Pada PRU itu melalui perubahan sistem itu dengan sendiri perubahan pimpinan Perdana Menteri Najib dapat diselesaikan.
     
Masalah tidak selesai dengan menukar Perdana Menteri jika sistem dikekal. Sistem yang ada menawarkan rakyat makan dedak sebagai makanan asas, sedang makanan yang diperlukan ialah nasi dan lauk pauk yang berkhasiat. Makanlah menentukan kita manusia atau haiwan.
    
Maka perubahan itu boleh dimulakan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Jadilah orang Kuala Kangsar dan Sungai Besar sebagai pelopor kepada permulaan harapan itu.
     
Apabila PAS menawarkan perubahan itu orang akan tanya apakah PAS sendiri berubah? PAS sendiri mula berubah mulai Muktamar 61 di Kuala Selangor setahun lalu apabila ia merungkai tahaluf siyasinya  dengan DAP setelah berada dalam politik Pakatan Rakyat sejak tahun 2008.
     
Sekalipun Muktamar itu mempertahankan kepimpinan ulamanya yang diperkenalkan tahun 1982, tetapi ia telah mematahkan percubaan mengambil alih oleh anasir luar yang tujuannya adalah mahu melarikan PAS perjuangannya asalnya tahun 1951 dan penekanan semula tahun 1982 apabila konsep kepimpinan ulama dipertegas semula.
      
Sistem yang PAS mahu ialah menegakkan kehidupan Islam dalam masyarakat majmuk di Malaysia yang merdeka penuh. Merdeka itu belum bererti apa-apa apabila sistem Islam itu tidak dijadikan peraturan. Lemahnya sistem yang ada hingga kemerdekaan melalui jalan yang sempit untuk memperkasakan mahkamah syariyah melalui RUU persendirian yang bacaan pertamanya baru dikemukakan.
     
Sekalipun pimpinan ulama sejak tahun 1951 diteruskan, tetapi PAS menghadapi permulaan perubahan besar dalam pengurusan partinya. Muktamarnya ke-62 meluluskan pendekatan politik baru yang dikira Inilah Penyelesaian Kita yang sarannya sarat dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
     
Perubahan yang PAS sedang lalui dalam BPMS sekarang ialah bagi membentuk masyarakat majmuk tanpa paksaan, negara berkebajikan dengan maksud yang luas mengikut Islam yang sempurna, politik ibadah, ekonomi yang adil, kehebatan undang-undang dan berwawasan dunia hingga akhirat.
     
Bagi menggerakkan perubahan itu BPMS mengariskan tujuh ciri utama yang perlu dihayati iaitu politik bertunjangkan prinsip, politik dakwah dan amar makruf nahi mungkar, politik penyelesaian  berasaskan Islam, politik utamakan rakyat, politik damai dan diplomasi, politik kebenaran bukan persepsi, dan politik rasional dan profesional.
     
Inilah perubahan bagi PAS sekarang setelah ia berani berubah daripada politik Pakatan Rakyat yang tidak menjamin perjuangan tulin PAS dapat diteruskan. Pakatan Rakyat juga menggerakkan perubahan di Putrajaya tetapi ia menyekat PAS mencapai cita-cita politiknya.
    
Dalam perubahan ini PAS masih pembangkang dan belum jadi pemerintah, tetapi pendekatannya ialah sama jarak antara pembangkang dan pemerintahan. Ia tidak jauh dari pembangkang dan tidak dekat sangat dengan kerajaan atau tidak jauh dari kerajaan tapi tidak dekat sangat dengan pembangkang yang tidak menghormatinya sebagai pembangkang.
     
Inilah tawaran PAS kepada pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar supaya memulakan perubahan sistem bersama PAS. Sebagai pembangkang BPMS menjadikan PAS pembangkang bercorak baru, tidak lagi pembangkang anti/benci kerajaan. Itulah berdiplomasi namanya.
     
Tuhan tidak mengubah nasib orang makan dedak, melainkan orang makan dedaklah yang mesti mengubah nasibnya. – HARAKAHDAILY 14/4/2016

Share on Myspace