Nanti rakyat doa YB banyak mati

SUBKY LATIF | .

KETIKA membantu calon PAS PRK Kuala Kangsar saya sebut dalam ceramah, sekalian kita sedih dan pilu atas kematian nahas helikopter wakil rakyat yang menyebabkan Pilihan Raya Kecil itu diadakan.
     
Begitu juga semua sedih atas musibah atas Anggota Parlimen Sungai Besar. Dan di mana juga wakil rakyat mati baik justeru sakit atau tragedi semuanya dukacita dan insaf.
    
Tetapi sedih yang amat sangat itu seolah-olah untuk kurang dari seminggu saja. Hanya keluarga yang terasa lama kehilangan itu. Sekalian penduduk kawasan itu dan kawasan sekitarnya seolah rasa bertuah atas kematian itu.
    
Saya ikut calon PAS naik bas tua dari Kuala Kangsar ke lokasi dekat Manong. Saya masuk ke lorong-lorong sempit beberapa desa dekat Manong. Beberapa lorong masih pekat hitamnya. Baru diturap semula. Ada tayar motokar masih lekat batu tar yang belum cukup kering.
    
Menjelang berbuka puasa antara Kuala Kangsar dan Manong beberapa jentera menyodok permukaan jalan lama untuk diturap tar. Kenderaan terpaksa berbaris. Habis motokar dari arah bertentangan melalui jalan yang sedang diturap itu baru boleh meneruskan perjalanan.
     
Malam itu saya ke Sayong. Jumpa juga jalan yang baru diturap.
    
Sebelum itu Perdana Menteri kempen juga di Kuala. Diumumnya Kolej Universiti Komuniti di situ serta merta dinaikkan taraf universiti penuh dengan nama Universiti Sultan Azlan Shah. Diumumkan juga peruntukan RM43.5 juta untuk membina Jambatan Manong menyeberang Sungai Perak untuk kemudahan penduduk di kedua tebing berulang alik.
    
Banyak lagi kampung dari hulu dan muara Sungai Perak itu yang penduduknya menggunakan sampan/bot untuk ke pekan penting berhampiran. Tetapi wakil rakyat mereka tidak mati, maka tiada jambatan dihadiahkan kepada penduduk. Jika mahu jambatan doakan wakil rakyat mati.
    
Banyaklah lagi durian sudah runtuh dan janji durian runtuh lagi ditawarkan kepada Kuala Kangsar dan demikian jugalah di Sungai Besar.
    
Semua pemberian menyolok mata itu tidak termasuk perbelanjaan kempen BN yang melimpah ruah. Rumah kosong dan rumah yang dikosong untuk tujuan kempen disewakan beribu untuk musim PRK itu. Tanah terbiar pun masa itu naik harga.
     
Memang ada orang membuat duit banyak dalam masa tiga minggu menjelang hari mengundi. Pembangkang yang kurang dana sakit untuk mendapat rumah penginapan.
    
Pernah anak saudara saya yang menganggur di kampung bersungut apabila tempoh kempen disingkatkan. Katanya, ‘Kali ini tak dapat duit banyak macam dulu. Kempen pendek sangat.’
   
Memanglah kempen memerlu perbelanjaan besar. Duit disediakan berguni-guni hingga ada orang keluar parti berganti motokar. Kerajaan pula masa itu berbelanja membaiki jalan, membaharui titi dan macam-macam lagi hingga pilihan raya kecil itu dilihat sebagai satu pesta dan peluang untuk mengaut semaksima keuntungan, maka PRK sudah tidak lagi menjadi satu kewajipan yang mesti ditunai, tetapi ia kesempatan mencurahkan syurga kepada kawasan tersebut dan rezeki besar buat penduduknya.
     
Tidakkah budaya pincang ini nantinya menjadikan orang seronok jika wakil rakyat mati dan mendoakan supaya wakil rakyat selalu mati. Tidak mustahil ada orang selepas dapat wakil rakyat baru mendoakan dia mati juga supaya ada tiga empat kali PRK di situ. – HARAKAHDAILY 20/6/2016

Share on Myspace