Tahniah Datin Mastura

SUBKY LATIF | .

TAHNIAH buat Datin Mastura, calon BN yang berjaya meraih undi majoriti tinggi ke atas calon-calon lain dalam PRK Kuala Kangsar meskipun dalam pantang menjalani idah dengan cara yang sebaik-baiknya.
     
Dunia menyaksikan menang PRK itu dan bersama calon BN di Sungai Besar dikira berjasa besar menyambung hayat pimpinan Perdana Menteri Najib dan Umno yang laksana embun di hujung daun. Kemenangan lebih baik daripada PRU 13 itu mungkin memberanikan lagi PMnya untuk meneruskan politik berani matinya.
    
Apapun PAS dan calonnya, Dr. Najiha yang bertanding atas tuntutan Islam, sebagai yang dijanjikan Islam betapa fisabililah tidak pernah mengenal kalah, meski pun dilihat kalah oleh dunia, tetapi hakikatnya disedar banyak orang tetap dalam kemenangan. Justeru ia layak juga menerima tahniah.
     
Kelebihan yang Datin Mastura peroleh selepas keputusan PRK itu adalah lebih mencabar pantang idahnya. PJ PAS Perak memberitahu saya, sepanjang kempen Datin itu dirasakan berjaya melalui disiplin idah. Itupun kemenangan juga baginya.
     
Tetapi kejayaan PRK itu mendedahkannya banyak tanggungjawab baru yang menjadi lebih banyak ujian sebelum menamatkan tempuh pantangnya. Takut terlanggar pantang tanpa niat dan tidak diketahui.
    
Pemilihannya sebagai calon adalah secara simbolik bagi mengantikan suaminya atas musibah helikopter itu. Tetapi tidakkah juga ia dikira jadi ganti bagi MP Sungai Besar dan Timbalan Menteri yang sama musibah itu?
    
Wanita Umno tentu menuntut kekosongan jawatan Timbalan Menteri diganti dengan golongannya juga. Imej dan kelayakannya yang diwarwarkan Umno bagi menggalas kerja kegiatan Umno, maka tidak mungkinkah dia mengisi dan menggantikan arwah?
     
Apa lagi dia pula peguam lulusan sekolah undang-undang terpenting England Lincoln Inn. Ia adalah sekolah bagi kebanyakan hakim dan peguam terbilang. Mungkin juga ia kemunculan calon pelapis bagi pimpinan Wanita Umno.

Wanita Umno memang sedang mencari calon yang sesuai untuk pimpinan selepas Shahrizat. Kelulusannya, pengalaman guaman enam tahun dan pengapit suami dalam banyak kegiatan Umno serta ditambah dengan disiplin kuat menjalani pantang idah semasa kempen, tidak mungkinkah Wanita Umno sudah jumpa orangnya?
     
Saya tidak kenal Datin dan suaminya. Tapi saya kenal bapa mertuanya semasa dia cergas dalam Umno Kuala Kangsar dulu. Dia pernah memberi saya RM100 kerana puas hati atas satu tulisan saya
    
Datin Mastura mencatat sejarah, menjadi calon BN bagi menggantikan suami yang meninggal. Apakah ia satu isyarat baru bagi BN. Jika berlaku sesuatu kepada PM Najib, maka calon BN Pekan adalah Datin Seri Rosmah?
     
Tentu Datin itu tetap dalam kesunyian atas pemergian suami. Ia adalah pengalaman yang dilalui oleh semua balu. Sekalipun kesunyian itu tiada gantinya, tetapi dengan kedudukan barunya kesepian itu akan terangkat.
     
Kita tidak tahu harta yang ditinggalkan oleh suaminya. Cukup atau tidak bagi meneruskan hidup keluarganya. Rasanya dia tidak akan menghadapi masalah kewangan. Elaun MP adalah lumayan.
    
Jika khidmat suaminya sebagai MP cukup tempoh matang balu akan dapat pencen. Saya terbaca suaminya adalah bekas ADUN. Jika benar dia juga layak dapat pencen ADUN. Dicampur dengan pencen MP suami dan elaun MPnya maka dia dan keluarganya tiada masalah kewangan bagi meneruskan hidup dan cabaran tentangan PAS dalam PRU akan datang.
     
PAS akan jadi cabaran tetap selagi jadi Umno. – HARAKAHDAILY 22/6/2016

Share on Myspace