Gempa 10 hari terakhir Ramadhan

SUBKY LATIF | .

SEKALIAN yang berpuasa bersiap siaga menunggu 10 hari terakhir bulan Ramadhan justeru tempoh pengampunan yang Allah sediakan itu adalah masa rombongan Malaikat Lalatul Qadr turun ke langit dunia.
     
Siang menjelang malam pertama pencarian Lailatul Qadr, gempar sekaliannya seolah-olah terjadi gempa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan adik seperjuangannya Mukhriz Mahathir ditamatkan daripada jadi ahli Umno tanpa kerelaan mereka.
     
Melemparkan mereka jauh-jauh dari Umno yang aktif telah lebih setahun diagak oleh banyak tetapi tidak menyangka tempoh pengampunan tahunan dari langit itu ia digempar oleh gempa adunan manusia.
     
Orang berpuasa yang mendapat pengampunan masa sepuluh hari itu adalah orang yang mendapat syafaat taqwa daripada puasanya, justeru puasa di bulan penuh barakat itu adalah tawaran menganugerah taqwa kepada ummat.
    
Muhyidin dan Mukhriz tidak dapat pengampunan dari partinya, tentunya mereka tidak mencari pengampunan daripada klik pimpinannya.
     
Tawaran pengampunan 10 hari terakhir itu bukan sekadar telah menunaikan puasa terbaik selama 20 hari tetapi dipenuhi dengan permohonan ampun yang sebanyak-banyaknya. Permohonan ampun itu dibuat kerana si pemohon merasa dipenuhi dosa sedang Allah yang Maha Pengampun itu mustahil berdosa kepada sesiapa. Maka mohon ampun itu adalah satu tuntutan, yang menyombong saja yang tidak pernah merasa berdosa.
    
Mustahil bagi Muhyiddin dan Mukhriz minta ampun kepada pimpinan Umno dan kliknya, pada keyakinannya yang hendak memberi ampun itu tidaklah lebih bersih daripadanya. Dan mereka dipinggirkan daripada parti dan klik pimpinannya adalah justeru mereka menyeru Umno bebas daripada pimpinan yang tidak bersih.
     
Banyak yang tidak sekadar berpersepsi pimpinan tidak bersih tidak berani menuntut pimpinan mesti bersih. Muhyidin yang terlalu tidak tertahan lagi dengan penuh sedar mengambil risiko untuk bercakap benar.
     
Kerana tidak mahu minta maaf sambil istiqamah dengan tuntutan dikatakan kebenaran, mereka tidak diberi ampun pada tempoh Lailatul Qadr berada di langit dunia.
     
Keduanya ditimpa gempa yang menggemparkan itu dikatakan bukan justeru memilih untuk  berbalah dengan pimpinan parti tetapi kerana bersekongkol dengan pmbangkang di pentas yang sama mencerca pimpinan parti.
     
Tamadun dunia biasanya memberi surat tunjuk sebab mengapa dia tidak boleh dipecat kerana mengecam pimpinan di khalayak umum bersama musuh parti. Ia mungkin dalih, tetapi tindakan termasuk dalam rangka klik pimpinan tidak boleh ditakwil baik dalam politik parti dan dalam pentadbiran awam.
     
Gempa yang terjadi itu menyaksikan gerakan pembersihan mengosongkan parti dan pentadbiran awam daripada anasir tidak sedap hati kepada pimpinan. Hukum terhadap Muhyiddin dan Mukhriz telah didahului dalam pentadbiran. Yang terjadi menjelang malam 10 terakhir puasa itu adalah penyempurnaannya.
     
Jika bantahan Muhyiddin itu dibuat kerana Allah, maka gempar yang dihadapinya adalah ujian besar pada malam-malam Qadr. Memang orang-orang sayangkan keduanya terganggu di malam-malam terakhir bulan puasa. Jika khusyuk masing-masing tidak terganggu oleh ujian yang melanda, bermakna besarlah Ramadhan ini bagi mereka.
     
Ramadhan memang besar ujiannya. Jika ujian itu menguatkan lagi penyerahan diri kepada Allah, nescaya puasa bagi mencari taqwa menemui sasarannya.
    
Ingatkan Allah nescaya Allah ingatkannya. Ingatkan Najib belum tentu diingat Najib. 50 tahun Muhyidin bersama Najib, dia tidak diingat Najib. – HARAKAHDAILY 28/6/2016

Share on Myspace