Yayasan Kepimpinan Perdana tanpa bantuan kerajaan

SUBKY LATIF | .

YANG orang nampak Yayasan Kepimpinan Perdana yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir hidup dan bergerak atas bantuan kewangan daripada kerajaan.
     
Dan kedudukan istimewa dan pengaruh Dr. Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri, sebagai Pengurusi Petronas dan Proton, tidak sukar bagi YKP menjalankan kegiatannya.
    
Orang kira YKP itu adalah pusat kegiatan Mahathir yang semua percaya dia tidak akan meninggalkan politik 100 peratus dan bagi mempertahankan semua dasar dan tindakannya selama berkuasa. Malah ada yang menyangka ia adalah bagi menentukan kuasa politik negara termasuk siapa yang hendak barkuasa.
    
Dan dari situlah dia menentukan Tun Abdullah Badawi boleh terus jadi Perdana Menteri atau  tidak. Dan dari situ juga dia bekerja bagi menggantikan Perdana Menteri Najib.
    
Itu persepsi orang.
    
Tetapi ia sebenarnya adalah seperti Memorial bagi setiap Perdana Menteri. Memorial Tun Mahathir tidak ada. Itulah memorialnya bagi mengumpulkan segala dokumentasi mengenainya, membuat kajian dan merancang pembangunan masa depan.
     
Oleh sebab Mahathir berpejabat di situ, dia mahu ia dinamakan YKP dan bergerak bagi kemajuan demokrasi, menekan keadilan dan kebenaran, jika boleh jadi pusat penting bagi kesejahteraan antarabangsa.
    
Jika orang tidak pasti apa yang diperoleh daripada Memorial Tunku Abdul Rahman, Memorial Tun Abdul Razak dan Memorial Tun Hussein Onn, maka dengan Mahathir sendiri boleh dikira CEO di YKP, ia mahu YKP lebih bermakna daripada kewujudan memorial yang terdahulu.
     
Pernah dunia digemparkan sidang antarabangsa mengenai kekejaman zionis Israel yang disertai sama oleh individu Yahudi yang anti kekejaman zionis. Ada idea bagi membentuk mahkamah membincangkan kekejaman regim tertentu yang tidak dipeduli oleh mahkamah antrabangsa dunia barat.
     
Semua kerja besar memerlukan penglibatan penuh kerajaan. Tetapi beliau terperangkap dengan hubungan tegang dengan Perdana Menteri Abdullah dan sejak sekian lama hubngan dingin dengan pimpinan Najib.
     
Masa banyak tercurah di situ. Apapun yayasan yang beliau pimpin itu penting dan jika negara kita menjadi sebuah negara yang kuat, bersih dan bermoral, ia boleh melonjakkan keharuman negara.
    
Kerana dia berkelahi dengan Najib bagi pihak rakyat yang tertindas, maka Najib yang kononnya didesak oleh Pemuda Umno memotong segala bantuan kewangan. Mulai sekarang ia tidak ermasuk  dalam bajet negara.
     
Pabila keistemwaan itu sudah tidak ada, cukupkah duit yang disimpannya selama ini dan segala keuntungan syarikat yang dimilik oleh anak-anaknya untuk menghidupkan YKP? Takut pencen Perdana Menteri tak cukup bagi menjelaskan bil air dan lampu pejabat.
    
Kita yakin YKP tidak tutup kedai. Ia mungkin akan berjalan perlahan hinggalah Perdana Menteri digantikan. Jika tidak mampu di pejabat besar, ia boleh pindah menyewa di mana-mana rumah kedai dengan beberapa orang pekerja dengan duit pencen suami isteri bagi meneruskan perjuangan menegakkan demokrasi, keadilan dan kebenaran.
    
YPK itu pada saya penting dan patut diteruskan. Negara dan rakyat rugi jika yayasan seperti itu ditutup. Barat memang suka ia tutup supaya tiada suara dari negara kecil untuk membela nasib orang yang tertindas.
    
Jika Mahathir yang kini tidak mengirakan kepentingan diri lagi mati meragan, tiada lagi dalam kalangan Umno mahu bangunan menentang kezaliman. Jika dulu diapun zalim, tidaklah yang pernah zalim tidak layak bersama orang ramai menentang kezaliman lagi. Mungkin ini satu cara yang zalim menebus kezaliman lampaunya. – HARAKAHDAILY 30/6/2016

Share on Myspace