Kes Guan Eng dua dalam satu

SUBKY LATIF | .

KOMEN saya apabila isu pembelian rumah banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dikatakan rendah daripada harga pasaran, ialah ia boleh menyusahkan Lim Guan Eng.
     
Tidak dinafikan MP BN Tasek Gelugur membangkitkan hal itu dan mendesak SPRM bertindak memang bermotif politik. Rasuah bukanlah keutamaan bagi sistem Umno. Pandangan umum ialah ia tidak kisah apakah negara ini diselimuti rasuah atau tidak dan adakah para pimpinan negara dan pembesar parti rasuah atau tidak.
    
Boleh ditohmah, sistem pencegahan rasuah ditubuhkan sekadar satu solekan, biar negara dan pemerintahan dilihat indah.
    
Akan tetapi ia amat perlu digunakan jika ada sesiapa yang klik pemerintah tak suka berdepan sebarang kelemahan seperti tak bayar cukai pendapatan, tak bayar pinjaman Mara dan Bank Bumiputara atau apa jua yang boleh dikaitkan rasuah. Kelemahan itu akan digunakan bagi menutup mulut orang yang dikira boleh menyusahkan kerajaan dan pemimpinnya.
     
Maka dengan membeli rumah di bawah harga pasaran, Guan Eng sebagai Ketua Menteri, pemegang jawatan awam telah diuji oleh sistem yang berkuasa.
     
Kes Guan Eng itu bercampur dua dalam satu, politik pun ya dan rasuah pun ya. Apa pun dalam negara rasuah bukan benda  yang asing, boleh dikira politiklah yang lebih menonjol. Walaupun motif politik tidak ditolak, kes ini tidak boleh dijawab dengan politik. Ia kena jawab mengikut undang-undang juga.
      
Guan Eng adalah pemimpin besar DAP. DAP sekarang dilihat sebagai seteru politik utama Umno/BN. Lim Kit Siang dan Guan Eng pula adalah orang paling digeruni Umno. Baik banglo itu dihadiahkan oleh penyokong tegar DAP, atau dibeli murah, maka ia peluang terbaik untuk menyusahkan Guan Eng dan politiknya.
      
Mungkin ada gejala perkauman. Tetapi Umno juga kena tindakan kepada orang Umno yang dikira mengancam politik kerajaan dan pemimpin kerajaan seperti yang berlaku terhdap Datuk Harun Idris, Menteri Besar Selangor zaman Tun Razak dulu.
    
Datuk Harun adalah pemimpin Pemuda Umno yang popular, dikira orang paling berpengaruh selepas Tun Razak. Dia dikira orang mudah mencabar Tun Razak.
    
Semua rasa mana ada pemimpin kerajaan yang bersih. Tetapi Datuk Harun dikira dijadikan ujian politik. Kelemahan Datuk Harun pun ada, tetapi rata-rata orang Umno juga kata, tindakan terhadapnya adalah politik.
     
Anwar Ibrahim juga tidak terlepas daripada jadi bahan ujian kes politik. Bagi mensabitkannya tilam pun naik saksi dibawa ke mahkamah.
     
Barang yang tidak ada, kadang-kadang boleh diadakan, apatah lagi dalam kes Guan Eng ini mereka jumpa dia beli banglo rendah daripada harga pasaran.
      
Pemegang jawatan awam kena ingat, jauhkan daripada kejadian yang boleh difitnah dan mendatangkan fitnah. Nabi Sulaiman menolak hadiah daripada Puteri Balqis kerana tak mahu Raja dilihat menerima sogokan. Saidina Umar al-Khatab disoal kerana memiliki dua jubah baharu. Dari mana sehelai lagi jubah didapati?
    
Dibimbangi sebagai khalifah menggunakan jawatan mengambil barang yang bukan haknya. Syak itu selesai apabila anaknya memberitahu, jubah sehelai lagi itu adalah kepunyaannya. Dia hadiahkan kepada ayahnya.
     
Memang Guan Eng telah disusahkan. Jerat memang dipasang di sekelilingnya. Itu semua mesti faham. Jerat tidak pernah lupa pelanduk. Tapi pelanduk lupa jerat. Lainlah kalau kita Umno yang rapat dengan JPM.
    
Orang tanya Saidina Umar tentang takwa. Jelasnya berhati-hati berjalan di jalan penuh duri. – HARAKAHDAILY 11/7/2016

Share on Myspace